loading...
Wednesday, January 25, 2012
Anak 6 Tahun Maut Dihempap Van
Inalillahi wainailaihi rojiun
SEREMBAN 25 Jan. - Kegembiraan sebuah keluarga selepas bercuti di Langkawi tidak berpanjangan apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 254.1, Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan dekat Senawang di sini, hari ini.
Danish Abdul Latif, 6, maut di tempat kejadian selepas van jenis Joylong yang dinaiki bersama lapan ahli keluarganya terbabas di tepi longkang lebuh raya tersebut.
Nahas yang berlaku pukul 6.45 pagi itu mengakibatkan mangsa tercampak keluar sebelum van berkenaan menghempap mangsa di kepala.
Ibu mangsa, Zurina Omar, 36, dan bapanya, Abdul Latif Abdul Rahim, 38, bersama enam lagi ahli keluarga, termasuk dua kanak-kanak berusia setahun dan 10 tahun cedera dan diberi rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.
Jurucakap polis memberitahu, van yang dipandu oleh Abdul Latif itu hilang kawalan sebelum terbalik di tepi longkang berkenaan.
"Danish meninggal dunia di tempat kejadian selepas dihempap van itu. Mayatnya dihantar ke hospital dan dituntut oleh ahli keluarganya pukul 1 petang ini," katanya di sini.
Jurucakap itu berkata, keluarga tersebut dalam perjalanan ke Johor selepas bercuti di Langkawi, Kedah sempena Tahun Baru Cina.
Dalam pada itu, salah seorang mangsa, Suhana Sofia Omar, 27, berkata, mereka bertolak malam tadi dan dalam perjalanan pulang ke Johor.
"Ketika kejadian, saya tidur dan cuma sedar apabila van yang kami naiki bergoncang dan terbalik. Ketika itu, saya cuma dengar jeritan.
"Dalam samar-samar itu, kami semua merangkak keluar menerusi cermin van yang pecah, tetapi saya dapati Danish tiada.
"Selepas mencari di dalam van, hati kami luluh apabila ternampak sebahagian tubuhnya dihempap van dan tidak bergerak lagi," katanya sedih ketika ditemui di HTJ hari ini.
Jenazah Danish dibawa pulang ke Segamat, Johor untuk dikebumikan petang ini.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abdul Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya masih menyiasat punca kejadian.
Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_14.htm
SEREMBAN – “Keadaan masa itu kelam-kabut. Kami memanggil antara satu sama lain,” kata Suhana Sofia Omar, 27, salah seorang mangsa kemalangan membabitkan sebuah van terbalik di Kilometer 254.1 Lebuh Raya Utara Selatan, di sini, semalam.
Menurut Suhana, sebaik sahaja van dinaikinya terbalik, dalam keadaan panik serta gelap, dia cuba memanggil anak saudaranya, Danish Abdul Latif, 6, yang tidak kelihatan pada masa itu.
“Saya memanggil satu persatu penumpang dalam van, termasuklah memanggil Danish.
“Namun, saya tidak mendengar sebarang sahutan daripada Danish sehinggalah saya berjaya merangkak keluar menerusi tingkap van yang pecah dan mendapati Danish sudah pun terkulai layu terhimpit di bawah van,” katanya ketika menceritakan detik cemas kemalangan berkenaan kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, van dinaiki sembilan sekeluarga terbalik selepas terbabas menyebabkan kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat tercampak keluar dan dihempap van terbabit.
Kemalangan itu turut menyebabkan ibu mangsa, Zurina Omar, 36, yang sedang hamil serta bapanya, Abdul Latif Abdul Rahim, 38, bersama enam lagi ahli keluarga lain, termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia satu dan 10 tahun cedera.
Suhana Sofia berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur di bahagian belakang van berkenaan.
“Saya mula tersedar apabila secara tiba-tiba terasa van yang kami naiki sudah terbalik di sebelah kiri jalan,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini semalam.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, Danish meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala lapan lagi penumpang van berkenaan hanya cedera ringan.
“Sewaktu kejadian, van jenis Joylong yang dipandu bapa mangsa dikatakan terbabas, sebelum terbalik di tepi longkang di lebuh raya berkenaan,” katanya.
Al-Fatihah...
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/budak-maut-dihempap-van-1.20162
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment