loading...

Saturday, December 10, 2011

Polis cari saksi kemalangan maut

JOHOR BAHRU 9 Dis. - Orang ramai yang menyaksikan atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kemalangan maut di Kilometer 33, Lebuh Raya Pasir Gudang di sini pada 26 November lalu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, kemalangan berhampiran Taman Rinting, Masai pada pukul 8.30 malam itu membabitkan sebuah motosikal bernombor pendaftaran JLV 341 dengan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti yang kemudian melarikan diri menghala ke Johor Bahru dan sehingga kini belum membuat laporan polis.

Menurut Roslan, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, tiada butiran yang jelas dan sebarang petunjuk lain yang boleh membantu siasatan kerana motosikal yang dinaiki mangsa mengalami kerosakan teruk di seluruh bahagian.

Kes tersebut, menurut beliau, disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Azri Yaacob di talian 07-3860422 atau 07-3865422.

Sumber: Utusan Malaysia

Tiang telefon di tengah jalan


ARAU – Gara-gara sebatang tiang telefon yang kedudukannya seakan-akan berada di tengah jalan, yang terletak di Jalan Arau di sini, hampir setiap minggu pengguna jalan terutamanya penunggang motosikal terlibat dalam kemalangan.

Ibu kepada mangsa kemalangan, Rusila Ramli, 49 berkata, anaknya yang juga merupakan seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekitar kawasan ini terpaksa menangguhkan pelajarannya buat sementara waktu apabila terlibat dalam kemalangan membabitkan tiang berkenaan.

“Buat masa sekarang anak lelaki saya terpaksa berehat di rumah buat sementara waktu kerana kemalangan itu yang sehingga menyebabkan jari kelingkingnya patah dan tempurung lututnya, retak selain luka-luka di badannya.

“Ketika kejadian anak saya dalam perjala-nan pulang ke rumah sewanya dari arah pasar raya bersama rakannya pada waktu malam. Disebabkan jalan dari arah itu semakin mengecil, dia tidak perasan tiang terbabit dan terus terlanggarnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Rusli berkata, jika pengguna jalan dari arah Pasar Raya Cmart menghala ke Kangar menggunakan jalan belakang, luluan itu pada mulanya luas tetapi semakin mengecil apabila hampir di sebuah kampung.

Menurutnya, sesiapa pun tidak akan menyedari kewujudan tiang terbabit, tambahan pula waktu malam, dengan keadaan yang kurang jelas hingga menyebabkan banyak kemalangan berlaku.

Katanya, dia dimaklumkan penduduk kampung bahawa sebelum anaknya terlibat dalam kemalangan itu, seorang pelajar perempuan dari pusat pengajian yang sama turut terlibat dalam insiden sama gara-gara tiang terbabit sehingga pelajar terbabit patah tulang paha dan mengalami kecederaan serius tempurung lutut.

Sementara itu, penduduk, Mohd Zamir Arshad, 29, berkata, dia yang tinggal berhampiran dengan tiang terbabit sering kali mendengar bunyi pelanggaran yang melibatkan tiang telefon itu.

“Dalam tempoh dua bulan ini sahaja boleh dikatakan tiap-tiap minggu kemalangan akan berlaku, semuanya terlanggar tiang terbabit.

“Keadaan ini bertambah bahaya ketika waktu hujan, memang pemandu tidak akan perasan tiang terbabit yang berada di tepi jalan. Tambahan pula kenderaan yang melalui jalan ini agak laju, disebabkan itu mereka tidak dapat mengelak ketika tiba-tiba tiang terbabit berada di hadapan mereka,” katanya.

Mohd Zamir berkata, sebaiknya jalan terbabit dibina bonggol untuk menghalang kenderaan dipandu laju dan dapat mengurangkan risiko kemalangan.

Menurutnya difahamkan wakil penduduk kampung telah membuat aduan berkenaan masalah tersebut kepada pihak bertanggungjawab dan berharap tindakan segera dapat diambil sebelum masalah lebih serius berlaku.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Teknikal Telekom Arau, Zakaria Ali berkata, pihaknya maklum dengan aduan terbabit dan akan mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah itu.

“Kita sudah ke tempat kejadian untuk melihat tiang terbabit melalui ketua kampung dan sekarang kita dalam proses untuk mengalihkannya ke tempat yang lebih selamat.

“Namun, bagi proses pengalihan ini kita memerlukan kerjasama semua pihak dan saya akan cuba mengambil tindakan segera bagi mengatasinya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Honda Wave bertembung kereta


ALOR GAJAH - Dua remaja nyaris maut apabila motosikal jenis Honda Wave yang dinaiki gagal memotong kereta pacuan empat roda sebelum bertembung kereta dipandu seorang lelaki, berdekatan Masjid Ar-Rasyidin, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, motosikal dinaiki Mohd Fahzudin Mohamad, 19, dan rakannya, Shahrul Azami Jaafar, 18, dari arah Gadek menuju ke bandar Alor Gajah hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta jenis Honda lama dari arah bertentangan.

Pemandu kereta terbabit, Norris Afendi Abd Rahman, 36, berkata, dia baru selesai mengisi minyak kereta dan cuba keluar dari simpang menuju ke rumahnya di Taman Pisang Emas, Gadek.

Menurutnya, tiba-tiba motosikal dinaiki dua remaja terbabit hilang kawalan setelah gagal memotong pacuan empat roda yang membelok ke kanan memasuki Taman Seri Bayu.

“Ketika itu, remaja terbabit cuba mengelak dari terus berlanggar dengan pacuan empat roda dengan memasuki la­luan saya,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia tidak sempat mengelak dan berlanggar dengan motosikal ditunggang dua remaja terbabit walaupun telah menghentikan keretanya.

“Salah seorang remaja terbabit tercampak ke belakang kereta sebelum terjatuh di atas jalan raya sementara seorang lagi tercampak ke sebelah kiri kereta saya.

“Tidak lama kemudian, orang awam mula berkerumun dan membantu saya ke­luar melalui pintu belakang kereta berikutan pintu sebelah pemandu gagal dibuka,” kata­nya.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapat rawatan.

Sementara seorang daripada remaja terbabit terpaksa dirujuk ke Hospital Melaka kerana mengalami kecederaan parah.

Sumber: Sinar Harian

Lori tangki minyak meletup


ULU KLAWANG -  Berpantang maut sebelum ajal! Itulah yang berlaku apabila pemandu dan kelindan lori nyaris maut apabila lori tangki minyak yang dinaiki terbabas sebelum terbakar dan meletup di Kilometer 17, Kampung Ulu Klawang, kira-kira jam 1.15 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan, Stapa Yusof, berkata, lori tangki yang membawa minyak diesel itu terbakar keseluruhannya selepas terbalik ke tebing.

“Lori tangki ini datang dari arah Port Dickson menuju ke salah sebuah stesen minyak di Kuala Klawang.

“Akibat gagal mengawal kenderaan, lori itu terbabas ketika melalui jalan ini dan melanggar besi pengadang jalan sebelah kiri sebelum terbalik dan terbakar.

“Bagaimanapun, pemandu berkenaan dapat menyelamatkan diri apabila terjun dari lori manakala kelindan keluar dari lori setelah ia terbakar sebelum meletup,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini, semalam.

Pemandu terbabit, Suhaimi Salim, 35, yang beralamat di Taman Uda Jaya, Ampang, mengalami patah kaki kiri dan kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Manakala, kelindan lori berkenaan, Ahmad Shahdydy Adnan, 29 yang beralamat di Bukit Pelandok, Port Dickson melecur di tangan kanan dan bahagian pinggang, kini dirawat di Hospital Jelebu, dekat Petaling.

Sementara itu katanya, hasil siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan kegagalan pemandu mengawal kenderaan di kawasan selekoh tajam.

Difahamkan, lokasi berkenaan juga pernah mencatat kemalangan ngeri kira-kira dua tahun lalu yang turut membabitkan sebuah lori tangki meletup dan merempuh rumah di tepi jalan. Dalam kejadian itu, pemandu serta dua kanak-kanak di rumah berkenaan mati di tempat kejadian.

Sumber: Sinar Harian

Lubang maut makan nyawa



Inalillahi wainailaihi rojiun

TEMANGAN - Lubang maut makan nyawa! Mangsa kedua jalan rosak di Temangan, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.50 malam kelmarin di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Mangsa, Allahyarham Gushari Ismail, 60, tidak sedarkan beberapa hari selepas cedera parah di bahagian kepalanya .

Allahyarham meninggalkan enam anak dan dikebumikan pada jam 11 pagi kelmarin di Tanah Perkuburan Temangan di sini.

Allahyarham yang kemalangan selepas tercampak dari motosikalnya yang termasuk dalam lubang jalan, kira-kira jam 11 malam ketika keluar untuk ke kedai.

Mangsa pertama

3 Disember lalu, seorang wanita tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari motosikal pada waktu malam selepas motosikalnya dipercayai termasuk dalam lubang jalan, di Kampung Pangkal Chuit.

Wanita berkenaan, isteri kepada Setiausaha Gerakan Daya Wawasan (GDW) Kemunchup, Nor Mar Mamat, 47, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Suaminya, Ahmed Jusoh berkata, Nor Mar yang patah tulang bahu dan rahang akibat kemalangan tersebut, turut menjalani pembedahan bagi membuang tempurung kepalanya yang retak.

“Dia kini dah sedar, namun keadaannya masih lemah. Malah, bahagian badan kirinya tidak dapat digerakkan.

“Saya berterima kasih kepada semua saudara mara, sahabat handai dan yang datang menziarahi isteri saya di hospital,” katanya.


Masalah jalan rosak

Masalah jalan rosak di Temangan pernah disiarkan Sinar Harian, dan turut mendapat maklum balas daripada Adun Temangan, Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata, masalah berkenaan akan dibincangkan bersama jabatan yang berkaitan dan juga pengusaha perlombongan bijih besi itu.

Katanya, kedua-dua pihak menyatakan persetujuan dalam usaha menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

“Masalah ini dipercayai berpunca daripada kenderaan berat yang menggunakan jalan tersebut setiap hari.

“Selain rosak, jalan juga menjadi kotor dan dipenuhi tanah yang mana mampu membahayakan pengguna.

“Perkara ini sudah dibincangkan dan saya berharap ia dapat diselesaikan segera,” katanya.


Jalan rosak punca kemalangan

Bagi Mohd Zaid, masalah jalan rosak di Temangan perlu ditangani dengan segera memandangkan ramai penduduk menjadi mangsa, termasuk abangnya sendiri yang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan akibat jalan rosak.

“Dua penduduk sudah menjadi mangsa, namun saya percaya ramai lagi yang turut menjadi mangsa terutamanya melibatkan kerosakan kenderaan.

“Kalau elak lubang, pemandu terpaksa masuk ke jalan bertentangan dan kedua-duanya membahayakan terutamanya bagi motosikal serta basikal,” katanya.

Mohd Zaid berkata, masalah hanya mampu diselesaikan apabila kenderaan berat yang dipercayai menjadi punca masalah tidak lagi dibenarkan menggunakan jalan itu lagi.

Katanya, dia bimbang jika tidak dibaiki segera, kejadian sama akan berulang kepada pengguna lain pula.

Seorang pengguna lain, Hussin Salleh, 34, berkata, walaupun kerja-kerja menurap bahagian rosak dilakukan di sesetengah kawasan, namun tidak berkesan apabila masalah yang sama berulang selepas hujan.

Katanya, jalan perlu diturap secara keseluruhan seterusnya menghalang kenderaan berat menggunakan jalan berkenaan.

Sumber: Sinar Harian

Tak Sempat Makan Bubur Asyura


 Inalillahi wainailaihi rojiun

RANTAU PANJANG – Hasrat tiga rakan baik makan bubur Asyura di Golok, Selatan Thailand, tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut kemalangan di Kilometer 10, Kampung Kuala Itik, Jalan Rantau Panjang, Panglima Bayu, kira-kira jam 10.20 pagi semalam.


Berikutan kejadian, Mohamad Aiezat Sharifuddin,21, dari Kampung Jerangau, Tanah Merah yang duduk sebelah pemandu dan Lukmanulhakim Che Kamaruddin, 21, dari Kamung Cherang Lali, Tanah Merah, penumpang belakang maut di tempat kejadian.

Pemandu Proton Iswara, Sazali Muhamad, 21, cedera parah kepala dihantar ke Hospital Daerah Pasir Mas sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) untuk rawatan lanjut.

Kenderaan yang dinaiki tiga sahabat ini remuk teruk bahagian depan penumpang dan belakang kereta.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila mangsa yang melalui selekoh Kampung Kuala Itik tidak dapat mengawal kenderaan lalu merempuh bahagian hadapan lori dari arah bertentangan.

Pemandu lori, Mohd Azman Omar, 28, berkata, sebaik sampai beberapa meter dari tempat kejadian, dia curiga melihat kenderaan dipandu Sazali Muhamad kerana seperti hilang kawalan.

Menurutnya, dia memperlahankan kenderaan dan percaya akan dilanggar kerana jarak kenderaan mereka ketika itu agak dekat.

“Saya sempat memperlahankan lori dan melihat kereta berpusing, serta tidak mampu berbuat apa-apa hanya menunggu apa yang akan berlaku ketika itu.

“Selepas menghentam bahagian penumpang, kereta tersebut jatuh ke tebing,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian tersebut.

Mohd Azman berkata, dia turun melihat keadaan mangsa dan kembali ke lorinya kerana tidak sanggup melihat keadaan mangsa ketika itu.

Menurutnya, dia dan Azmi tidak mengalami sebarang kecederaan cuma terkejut dengan kejadian tersebut.

“Disebabkan kemalangan pagi ini, kami batal hasrat ke Kedah untuk mengambil ayam yang sepatutnya dijangka sampai pagi esok dan kembali semula ke Kota Baru sebaik selesai kerja di sana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Pasir Mas, Deputi Superintendan Makhetar Yaakob mengesahkan kejadian.

Al-Fatihah

Sumber: Kosmo
             Sinar Harian

Thursday, December 8, 2011

Sarjan Dirempuh Warga Indonesia

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat sarjan cedera ringan selepas dirempuh seorang lelaki warga Indonesia yang cuba lari daripada sekatan jalan raya kerana membawa peralatan menghisap syabu di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke), berdekatan Plaza Tol Sentul Pasar, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, anggota berkenaan dari Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K) bersama anggota lain serta pegawai dan anggota daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan tugas di sekatan jalan raya sempena Ops Pra Perayaan di lorong motosikal lebuh raya berkenaan.


Ketua Unit Kuatkuasa Khas Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, ketika pemeriksaan, sebuah motosikal yang ditunggang lelaki terbabit memasuki kawasan sekatan dan dia diberi arahan untuk memberhentikan motosikalnya di tepi.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit tidak mengendahkan arahan sebaliknya memecut motosikalnya ke arah anggota berkenaan sebelum merempuhnya.


“Rempuhan itu menyebabkan anggota berkenaan jatuh dan cedera ringan manakala lelaki terbabit ditahan anggota lain selepas bergelut,” katanya, di sini.


Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berusia 32 tahun itu berasal dari Indonesia dan dipercayai berada di bawah pengaruh dadah jenis syabu.

Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam beg sandang suspek menemui beberapa peralatan untuk menghisap dadah dipercayai miliknya.


Lelaki terbabit dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, dalam operasi bermula jam 3 hingga 6.30 petang, 29 motosikal disita atas kesalahan penunggang tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.


Selain itu, polis mengeluarkan 40 saman manakala JPJ mengeluarkan 105 saman dan notis arah periksa kenderaan.

Sumber: myMetro

Penunggang Maut Bertembung Kereta

PORT DICKSON –Seorang ­pemandu lori maut dalam satu ­kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari bekerja.

Kejadian berlaku sekitar jam 8.30 malam kelmarin di Batu 3 1/2 Jalan Pantai Port Dickson itu membabitkan motosikal dan sebuah kereta.

Jurucakap polis berkata, mangsa, S Ragendran, 34, yang menunggang motosikal dari arah Seremban ­bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan mengakibatkan mangsa terpelanting.

Mangsa yang mengalami ­kecederaan parah di kepala dan ­badan maut di tempat kejadian kemudian dibawa ke bilik mayat Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat ­sebelum dituntut keluarga.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Baljeet Singh ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian.

Sumber: Sinar Harian

Tragedi Pulang Dari Ibadah Haji


Inalillahi wainailaihi rojiun

IPOH – Kegembiraan suami isteri yang baru pulang dari tanah suci Mekah bertukar tragedi apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 263.3, Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) kira-kira dua kilometer sebelum memasuki terowong Menora, awal pagi semalam.

Kereta jenis Honda Accord yang dinaiki lima sekeluarga itu merempuh belakang sebuah lori muatan tiga tan yang membawa barangan pejabat yang dipercayai untuk dihantar ke UiTM Arau, Perlis.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, Semua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke kampung Alor Pongsu, Bagan Serai dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, mangsa Abdul Rashid Idris, 62, dan isteri Rahmah Mat Saboot, 59, merupakan jemaah haji yang baru tiba dari Mekah di KLIA kira-kira jam 12 pagi.

Menurutnya, dalam kejadian itu, kereta yang dipandu anak mangsa, Mohd Shahril Abdul Rashid, 30, yang dipercayai melanggar belakang lori sehingga menyebabkan bapanya tersepit dan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

“Siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu secara perlahan sewaktu mendaki bukit menyebabkan pemandunya tidak sedar lalu melanggar kenderaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat manakala isterinya, bersama dua anaknya yang lain dirawat sebagai pesakit luar.

“Pemandu kereta masih dirawat di HRPB kerana dia mengalami kecederaan yang serius manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah Abdul Rashid yang juga bekas pekerja Jabatan Pengairan dan Saliran, dibawa pulang ke Alor Pongsu untuk pengebumian.

Al-Fatihah...

Sumber: Sinar Harian

Wednesday, December 7, 2011

Ahli Pas Lenggung Nyaris Rentung


KUALA KANGSAR – Ketua Keselamatan Pas Lenggong, Ahmad Ramdzi Othman Jalaluddin, 42 dan Ketua Penerangan Pas Lenggong, Mohd Saidi Sabri, 39, berdepan detik mencemaskan apabila hampir rentung ketika menyelamatkan diri dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuh raya Utara Selatan, di sini, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang, enjin kenderaan jenis Perodua Kembara yang dipandu Ramdzi tiba-tiba terhenti dan tidak dapat berfungsi sehingga terlanggar pengadang jalan sebelum berpusing lalu terbalik serta terbakar.

Ramdzi berkata, sewaktu kejadian, dia bersama rakannya Saidi dalam perjalanan pulang ke Lenggong setelah menghadiri mesyuarat di pejabat Perhubungan Pas Negeri di Ipoh.

Menurutnya, kejadian berlaku dengan pantas dan mereka bernasib baik kerana sempat keluar daripada kenderaan sebelum ia meletup terbakar.

“Ketika tiba di Kilometer 247.4 lebuh raya menghala arah utara tanpa diketahui punca, enjin kenderaan tiba-tiba berhenti.

“Kemudiannya, kenderaan ini tidak dapat dikawal, berpusing dan terbalik dua tiga kali di tengah jalan serta terbakar,” katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui, di sini, semalam.

Ramdzi berkata, sekiranya lambat beberapa saat untuk keluar daripada kenderaan sudah tentu dia dan rakannya sudah menemui ajal.

“Saat itu sangat mendebarkan dan ketika ingin keluar saya sudah melihat api keluar dari kenderaan tetapi masih bernasib baik,” katanya.

Katanya, berikutan kejadian itu, mereka telah menga­lami kerugian kira-kira RM25,000 termasuk kehilangan barang berharga seperti sebuah kamera dan barangan penting lain.

“Semua tidak sempat diselamatkan dan apa yang penting ketika itu ialah untuk menyelamatkan diri sahaja.

“Bagaimanapun kami berdua hanya mengalami kecederaan ringan iaitu Saidi luka di bahagian kaki, manakala saya mengalami luka kecil di tangan dan hanya dirawat sebagai pesakit luar di hospital Kuala Kangsar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan ada menerima laporan berhubung kes serta siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sumber: Sinar Harian

Pensyarah Terselamat Kereta Terbakar


KUALA LIPIS - Seorang pensyarah di sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta di sini nyaris maut apabila kereta yang dinaikinya terbakar ­selepas bertembung dengan ­sebuah lori muatan penuh, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.25 pagi itu, mangsa, Nur Syahila Muhammad Salleh, 26, memandu kereta jenis Proton Pesona dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuala Lipis.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian di Kilometer 13 Jalan Lipis-Benta, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori muatan penuh yang membawa barangan untuk Pasar raya Mydin.

“Selepas bertembung dengan lori tersebut, kereta mangsa dipercayai melantun ke atas sebelum berpusing beberapa kali di atas jalan raya.

“Ketika pertembungan antara dua kenderaan itu, dipercayai berlaku kebocoran gas di bahagian enjin kereta Persona milik mangsa dan menyebabkan berlaku kebakaran,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, sebuah kereta jenis Perodua Alza yang sedang mengekori kereta mangsa juga tidak dapat mengelak dan melanggar bahagian belakang Pesona itu.

“Orang awam yang melihat keadaan cemas itu bertindak mengeluarkan mangsa dari dalam kereta dan sejurus selepas itu berlaku letupan dari kereta mangsa.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan organ dalaman serta dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan lanjut,” katanya.

Abdul Razak berkata, individu yang menyelamatkan mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian badan selain tersedut gas karbon monoksida dan dihantar ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta berhubung dengan Inspektor Johnny anak James Bujang menerusi talian 09-312 2222 untuk membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian

Maut Tersepit Di Bawah Lori



KESANG LUAR – Seorang penunggang motosikal maut selepas tersepit di bawah lori satu tan yang membawa bahan binaan dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 70 Jalan Masjid Kesang Luar, jam 8.40 pagi, semalam.

Mangsa yang merupakan warga Indonesia, Baharudin Abdullah, 22, bersama seorang pembonceng juga warga Indonesia dari arah Kesang ke Jasin gagal mengawal motosikal lalu melanggar belakang sebuah lori dari arah sama sebelum tersepit di bawah lori terbabit.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan, Che Suza Hitam mengesahkan kejadian itu berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila lori berkenaan membelok ke kanan memasuki lorong ke arah ­tanah perkuburan, namun mangsa yang tidak sempat mengelak ­melanggar bahagian kanan belakang lori.

Menurutnya, mangsa yang ­tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah dan pihak bomba dan penyelamat Daerah Jasin mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa.

“Walau bagaimanapun pembonceng hanya cedera ringan manakala pemandu lori terbabit melarikan diri dan pihak polis sedang mengesannya,” katanya.

Seorang penduduk, Zakaria Husain berkata, sebelum ini ­sememangnya pernah berlaku ­kemalangan di kawasan terbabit.

“Kemalangan berlaku bukan ­disebabkan faktor jalan yang kecil ­tetapi kerana kecuaian pemandu ­sendiri yang sering memotong ­laluan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Maut Lori Treler Terbalik



SEREMBAN: Seorang pemandu treler yang sarat dengan muatan minyak kelapa sawit maut apabila kenderaan berat dipandunya terbabas sebelum terbalik di Kilometer 254.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, di sini, semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, K Silvom, 45, berasal dari Johor Bharu, mati di tempat kejadian dan mayatnya tersepit di tempat duduk pemandu dalam trelernya yang rosak teruk.


Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila treler berkenaan yang berada di laluan kiri jalan hilang kawalan menyebabkannya terbabas ke kanan lalu melanggar besi penghadang lebuh raya sebelum terbalik.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa dari arah Johor Bharu ke Pelabuhan Klang untuk menghantar bekalan minyak kelapa sawit dan kemalangan ini tidak membabitkan kenderaan lain.


“Kejadian mungkin berpunca daripada mangsa yang mengantuk menyebabkan treler itu terbabas dan melanggar penghadang jalan,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.


Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat.


Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan pada masa sama meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.


Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 atau balai polis berhampiran Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Omera Omar berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja menyelamat.


Menurutnya, mayat mangsa yang tersepit dalam treler berjaya dikeluarkan dalam masa 14 minit melalui cermin depan treler yang pecah.

Sumber: Sinar Harian
             myMetro

Rempuh Belakang Lori



Inalillahi wainailaihi rojiun


NUSAJAYA – Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangi merempuh belakang lori dalam kejadian di jalan menuju ke Kota Iskandar, pagi semalam.

Akibat rempuhan pada lori yang diletakkan di lorong kecemasan itu, mangsa, Mahadi Seman, 31, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad mengesahkan kejadian itu, dan pihaknya dimaklumkan lori tersebut rosak, namun siasatan terperinci akan dijalankan.

“Pemandu lori yang berusia 49 tahun itu telah dikesan, dan siasatan akan dijalankan di bawah Akta Pengangkutan Jalan Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, rakan mangsa, Zambri Harun, 32, berkata, dia sempat menelefon mangsa yang dikenali hampir 10 tahun lalu itu sebanyak tiga kali, namun tidak dijawab.

Setengah jam kemudian katanya, dia menerima panggilan daripada telefon bimbit mangsa yang membawa perkhabaran bahawa rakannya itu terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori.

“Saya ada telefon mangsa beberapa kali kerana seperti biasa, setiap pagi kami akan bersarapan bersama. Namun beliau tidak menjawab panggilan, tapi ketika itu saya mengandaikan beliau sedang menunggang motosikal.

“Namun pada 8.57 pagi, saya terima panggilan dari polis menerusi telefon bimbit mangsa yang mengatakan beliau terbabit dalam kemalangan,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian

Tercampak keluar dari kereta

Inalillahi wainailaihi rojiun

HULU TERENGGANU - Seorang ibu maut selepas kereta yang dipandu anaknya terbabas dan melanggar besi pengadang di Kilometer 396.2 Jalan KualaLumpur-Kuala Terengganu jam 4 petang kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohd Rosli Mohd Amir berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Alihar

Mohd, 60, berada di bahagian penumpang belakang dalam perjalanan dari Kuala Berang ke Dungun dipercayai hendak pulang ke rumahnya.

“Berikutan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala akibat tercampak keluar dari kereta.

“Ketika kejadian, hujan lebat menyebabkan kereta dipandu, Abdullah Mustapha, 25, yang turut membawa seorang lagi penumpang iaitu suami kepada mangsa, Mustapha Abdullah tidak dapat dikawal lalu terbabas ke kiri jalan.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Hulu Terengganu, bagaimanapun meninggal dunia jam 6 petang ketika sedang menerima rawatan,katanya.

Manakala, dua beranak itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Al-Fatihah..

Sumber: Sinar Harian

Rentung Gagal Potong Treler


ALOR SETAR - Seorang lelaki rentung apabila kereta dipandunya terbabas dan melanggar pokok di Kampung Perenggam sewaktu perjalanan dari Batas Paip ke Kuala Kedah, kira-kira jam 9 malam, kelmarin.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, mangsa, Peh Tiong Boon, 30, yang memandu kereta Proton Wira cuba memotong treler, namun tidak berjaya.

Menurutnya, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan ke arah kanan dan melanggar sebatang pokok.

“Selepas melanggar pokok, kereta dipandu mangsa berpusing beberapa kali sebelum mengeluarkan percikan api,” katanya.

Mohd Sham berkata, sebelum kereta mangsa terbakar, dia masih dalam keadaan sedar dan cuba untuk menyelamatkan diri, namun kedua-dua kakinya tersepit.
Menurutnya, orang awam yang berada di tempat kejadian tidak sempat untuk menyelamatkan mangsa kerana api mula marak.

Sementara itu, saksi kejadian, Salleh Mohd Anuar, 26, berkata, ketika kejadian dia berada berhampiran tempat kemala­ngan dan terlihat api bernyala dari jarak jauh.



Meronta minta tolong

ALOR SETAR: “Separuh badannya sudah keluar, tetapi kakinya tersepit menyebabkan dia mati terbakar. Saya cuba bantu, tapi gagal kerana api semakin marak.”

Demikian kata Mohd Suhaimi Hamid, 24, menyaksikan kematian tragik Peh Tiong Boon, 30, yang sebahagian tubuhnya rentung apabila kereta Proton Wira Aeroback dipandunya meletup dan terbakar selepas merempuh sebatang pokok di Kampung Peragam, Jalan Teluk Bagan, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Peh dikatakan cuba memotong sebuah lori, namun keretanya terbabas lalu merempuh sebatang pokok, seterusnya berpusing beberapa kali sebelum meletup dan terbakar. Mohd Suhaimi berkata, dia nampak mangsa meronta-ronta sambil menjerit meminta tolong serta cuba keluar, namun gagal disebabkan kakinya tersepit.

“Apakan daya, saya tidak mampu membantu kerana api marak dengan cepat. “Sebelum itu, saya dengar dentuman kuat. Sejurus keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku. Saya nampak kereta itu berpusing-pusing selepas merempuh sebatang pokok dan akhirnya terbakar,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Jalan Raja, Md Noor Daud berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 8.44 malam.


“Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati kereta itu terbakar dan terdapat seorang lelaki di dalamnya. Mangsa hampir rentung di bahagian badan.

“Kebakaran dapat dikawal dalam masa lima minit dan anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit,” katanya.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, mangsa dalam perjalanan dari Batas Paip menghala ke Kuala Kedah, di sini.

“Mangsa cuba memotong sebuah lori, tetapi hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh sebatang pokok. Kereta mangsa terbalik dan berpusing-pusing sehingga berlaku percikan api sebelum meletup dan terbakar.

“Sebelum keretanya terbakar, mangsa masih sedar dan cuba menyelamatkan diri serta cuba dibantu orang ramai. Bagaimanapun, usaha itu gagal kerana kedua-dua kaki mangsa tersepit dan api mula marak,” katanya.

Katanya, mangsa mati di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk dibedah siasat.


Sumber: kosmo
             nst
            Sinar Harian
           myMetro

Monday, December 5, 2011

Pekerja Percetakan Maut Rempuh Lori Kontena


PELABUHAN BARAT - Seorang pekerja percetakan yang baru 13 hari menyambut hari jadi maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh bahagian belakang lori kontena di Jalan Pelabuhan Barat, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu, mangsa dikenali V Nagarathinam, 30, yang tinggal di Banting dikatakan dalam perjalanan menghala Pelabuhan Barat dipercayai tidak perasan dengan kewujudan lori kontena itu yang rosak dan di parkir di lorong kanan.

Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, mangsa dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori kontena itu menyebabkan bahagian hadapan motosikalnya remuk dan melekat pada lori itu.

"Berikutan rempuhan kuat itu, mangsa yang masih lengkap bertopi keledar mengalami kecederaan di bahagian dada serta patah kaki meninggal dunia dalam keadaan terlentang di atas motosikalnya jenis Yamaha Lagenda.

"Kejadian itu hanya disedari pemandu lori yang berusia 38 tahun apabila terdengar bunyi dentuman kuat secara tiba-tiba memaksanya memeriksa kejadian itu," katanya.

Menurutnya, pemandu lori kontena itu mendakwa kenderaannya secara tiba-tiba mengalami kerosakan teknikal ketika di lorong kanan.

"Pada awalnya dia berusaha untuk beralih ke lorong kiri namun kehadiran beberapa kenderaan lain yang berada di lorong itu menghalang niatnya sekali gus dia mengambil keputusan terpaksa memberhentikan lori di lorong kanan.

"Selepas beberapa minit menghentikan kenderaan dan memeriksa bahagian yang rosak, dia mendakwa sedang mengambil kon kecemasan untuk dipasang beberapa meter di belakang lori itu sebagai tanda amaran kepada pemandu kenderaan lain.

"Namun belum sempat berbuat demikian, bahagian belakang lori kontenanya terlebih dahulu dilanggar mangsa," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber: Sinar Harian

Perodua Alza bertembung Honda Civic


MARANG – Pemandu dan penumpang serta dua kanak-kanak berdepan detik cemas apabila kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Honda Civic di Kilometer 25 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Alor Tuman di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa dipercayai ada ikatan keluarga dikatakan terselamat termasuk pemandu Honda Civic, Zulkanain Ibrahim, 36, walaupun keadaan kenderaan mereka rosak teruk akibat pertembungan kuat.

Menurut Zulkanain, kejadian berlaku selepas dia mengelak lubang berdekatan sebuah jambatan pendek sebelum bertembung dengan kereta Produa Alza yang datang dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan.

“Saya dalam perjalanan menuju ke Jertih, Besut dari Paka, Dungun atas urusan kerja. Saya mengelak lubang sebelum kemalangan berlaku. Kejadian begitu pantas, saya tidak sempat berbuat apa-apa, kerana ia (Perodua Alza) tiba-tiba muncul di hadapan,” katanya.

Zulkanain mengalami kesakitan pada dada akibat pertembungan itu manakala status kecederaan pemandu dan penumpang bersama dua kanak-kanak itu tidak diketahui kerana mereka terus dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan.

Sinar Harian gagal mendapatkan pengesahan mengenai kemalangan itu daripada pihak polis namun kejadian disahkan jurucakap Bomba dan Penyelamat daerah yang menerima panggilan pada jam 12.05 malam sebelum tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

Pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit membersihkan kawasan kemalangan bagi melancarkan perjalanan trafik sambil dibantu orang ramai yang berada di tempat kejadian selepas kesemua mangsa dikejarkan ke HSNZ untuk rawatan.

Sumber: Sinar Harian

Warga emas maut dirempuh motosikal

Inalillahi wainailaihi rojiun

TUMPAT – Seorang warga emas maut apabila dirempuh motosikal ketika melintas jalan berdekatan dengan Masjid Kampung Kok Keli di sini, pagi semalam.

Mangsa, Munah Sulaiman, 84, maut di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah di kepala selepas dirempuh motosikal tersebut yang dalam perjalanan dari Kampung Sungai Pinang menghala ke Tumpat.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, mangsa dikatakan melintas jalan di hadapan rumahnya untuk ke kedai di seberang jalan bagi membeli kuih muih untuk sarapan pagi.

Anak mangsa, Zaharah Dollah, 53, berkata, sebelum ibunya melintas jalan itu, dia ada berpesan agar ibunya berhati – hati ketika melintas walau pun memang menjadi kebiasaan ibunya ke kedai itu sekiranya dia tidak memasak.

“Pagi itu saya sedang mengunting pokok bunga di halaman rumah, bila nampak ibu saya turun dari rumah saya sempat berpesan hati-hati ketika melintas,” katanya.

Menurutnya, tiba–tiba dia terdengar bunyi seperti motosikal berlanggar dan apabila dipandangnya kelihatan ibunya terbaring di atas jalan tersebut.

“Mungkin sudah ajalnya ketika ibu melintas datang sebuah motosikal yang dipandu laju sehingga tidak sempat mengelaknya,” katanya.

Menurut Zaharah, sehari sebelum kejadian, ibunya ada menunjukkan perubahan apabila tidak mahu bercakap dengannya.

“Saya ingatkan itu hanya perkara biasa maklumlah orang tua, kadang kala perangainya pelik sikit,” katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Kok Keli.

Mangsa dihantar ke Hospital Tumpat untuk bedah siasat dan dituntut keluarga kira–kira jam 4 petang untuk dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kok Keli.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Khalid Munap ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Al-Fatihah...

Sumber: Sinar Harian

Sunday, December 4, 2011

Kedai buku dirempuh kereta


JOHOR BAHRU - Sebuah kedai menjual buku dan surat khabat di Jalan Ibrahim, dekat sini,  rosak teruk akibat dirempuh sebuah kereta, pagi semalam.



Kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu hampir meragut nyawa seorang pekerja premis perniagaan berkenaan yang sedang menyusun surat khabar di hadapan kedai.

Pemilik kedai, Habib Rahman, 52, berkata, dia diberitahu oleh seorang rakan yang turut berniaga di premis berhampiran mengenai kejadian berkenaan sekitar jam 7.30 pagi.

"Ketika kejadian, saya masih berada di rumah dekat Taman Impian Emas, Skudai,  sebelum rakan  saya menelefon memberitahu kedai dilanggar kereta jenis Proton Wira dan seorang pekerja saya, S Anand,26, mengalami kecederaan di bahagian kaki.

"Saya terkejut dan terus bergegas ke tempat kejadian  dan mendapati kedai mengalami kerosakan yang teruk. Saya sungguh terkilan kerana dalam tempoh 30 tahun berniaga di sini, inilah kali pertama kejadian ini berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu.

"Siasatan awal mendapati pemandu terbabit dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Singapura. Ketika melalui Jalan Ibrahim, kenderaan yang dipandu hilang kawalan dan merempuh bahagian depan kedai berkenaan berserta pekerjanya," katanya mengesahkan kejadian ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit hanya cedera ringan dan akan diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Kedua-dua lelaki yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Aminah bagi mendapatkan rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sumber: Sinar Harian
             carigold.com

Nyaris maut treler merempuh pembahagi jalan


GUA MUSANG - Dua lelaki nyaris maut apabila tersepit hampir sejam dalam treler yang remuk selepas terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 89, Jalan Gua Musang-Lojing, berhampiran Projek Diraja, dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, menyebabkan pemandunya dikenali sebagai Mogam, 40, tidak sedarkan diri selepas tidak tahan menahan sakit kerana tersepit manakala kelindannya, Sarawanan juga berusia 40 tahun hanya cedera ringan.

Mereka diselamatkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Pahang bersama Gua Musang dan Polis Lojing yang tiba sebaik menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.

Suasana tempat kejadian juga turut mencemaskan pengguna jalan raya lain berikutan papan lapis dari muatan treler terbabit jatuh bertaburan atas jalan raya dan menghalang lalu lintas.

Pengguna yang menyedari awal kejadian itu terpaksa bertindak mengawal lalu lintas kedua-dua laluan sama dari Gua Musang ke Lojing atau sebaliknya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Treler yang sarat muatan papan lapis dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke Kuantan melalui Gua Musang itu dikatakan hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Sarawanan yang cedera ringan ketika ditemui di tempat kejadian berkata, kejadian itu berlaku hanya dalam masa lima minit sahaja menyebabkan tidak sedar keadaan sebenar ketika itu.

”Hanya saya baru hendak lelap tidur merasa treler bergoyang dan terus merempuh pembahagi jalan menyebabkan saya bersama pemandu tersepit di tempat duduk masing-masing.

”Saya yang turut menahan sakit sempat memujuk rakan Mogam supaya bersabar dan ketika itu dia masih boleh bercakap, tetapi sebaik berjaya dibawa keluar dari kenderaan itu terus tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, dia juga sedar papan lapis dari kenderaan jatuh bertaburan atas permukaan jalan raya dan mungkin mencemaskan pengguna lain yang melalui kawasan tersebut.

Namun, beliau tidak boleh bertindak sesuatu untuk menyelamatkan keadaan kerana tersepit dalam treler dan mampu melaungkan kepada pengguna yang sempat berhenti menghubungi polis dan bomba dengan segera.

”Nasib baik ada mereka yang sanggup berhenti memberi pertolongan, jika tidak ada kenderaan lain pula yang berdepan dengan kejadian kemalangan di kawasan tersebut,” katanya.

Katanya, dia juga tidak kisah sangat walaupun lama menunggu pasukan penyelamat tiba kerana tempat kejadian terlalu jauh dengan Gua Musang dan Cameron Highlands asalkan dapat selamatkan nyawa.

Sumber: Sinar Harian

Van Terjum Longkang


PETALING JAYA – Sebuah van syarikat pengangkut barang terjunam ke dalam longkang  sedalam lebih 10 meter di  Damansara Damai  kira-kira jam 3.20 petang tadi.

Menurut sumber, pemandu yang berbangsa Cina berusia 40 tahun itu dikatakan gagal mengawal kenderaan ketika memasuki jalan susur masuk ke kawasan perumahan  Prima Damansara dekat sini.

“Van  yang dipandu mangsa tiba-tiba melanggar pengadang jalan dan terus terjunam ke dalam longkang besar, ” katanya.

Difahamkan mangsa dalam perjalanan dari Kepong menuju ke Sungai Buloh untuk menghantar barang.

Mangsa  yang patah kedua-dua kaki terperangkap di dalam kenderaan  sebelum diselamatkan  bomba yang tiba 15 minit kemudian.

“Mujur air cetek serta  tidak deras, jika tidak kenderaan itu akan  tenggelam dan pemandunya mungkin lemas atau dibawa arus,” katanya.

Mangsa yang cedera di beberapa bahagian badan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Mengulas lanjut kejadian, Pengerusi Persatuan Penduduk Apartment Idaman Azizan Suradi menyifatkan pengadang jalan yang rosak dan tidak berfungsi dengan baik menjadi punca van tersebut terjunam.

“Ini bukan kejadian pertama di sini, kalau dilihat hampir semua pengadang jalan di tepi Lebuh raya Kepong –Sungai Buloh  telah rosak berikutan besi pengikatnya dicuri pihak tidak bertanggungjawab dan aduan kepada Jabatan Kerja Raya sudah dibuat sejak setahun namun keadaan tidak berubah,”katanya.

Sumber: Sinar Harian

Dua wanita maut rempuh treler

SEREMBAN- Dua wanita maut selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori treler di Kilometer 285, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan, di Nilai, dekat sini awal pagi ini.

Jurucakap polis berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 5.55 pagi semasa Khow Kim Lan, 29, dan Lau Wong Yee, 27, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Senawang dari Kuala Lumpur.

Beliau berkata kedua-dua sahabat itu maut selepas kereta Perodua Kelisa yang dinaiki mereka merempuh bahagian belakang lori treler yang sedang berhenti di lorong kecemasan.

"Pemandu kereta itu dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu merempuh bahagian belakang lori treler yang sedang mengalami kerosakan tayar itu," katanya.

Menurutnya rempuhan kuat itu menyebabkan Khow maut di tempat kejadian manakala rakannya, Lau meninggal dunia kira-kira pukul 9.15 pagi tadi, di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Negeri ASP Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya mayat kedua-dua wanita itu dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat dan sudah dituntut keluarga masing-masing hari ini.

"Buat masa ini punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kami minta saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Sumber: Sinar Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my