KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat sarjan cedera ringan selepas dirempuh seorang lelaki warga Indonesia yang cuba lari daripada sekatan jalan raya kerana membawa peralatan menghisap syabu di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke), berdekatan Plaza Tol Sentul Pasar, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, anggota berkenaan dari Unit Kuatkuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K) bersama anggota lain serta pegawai dan anggota daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjalankan tugas di sekatan jalan raya sempena Ops Pra Perayaan di lorong motosikal lebuh raya berkenaan.
Ketua Unit Kuatkuasa Khas Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, ketika pemeriksaan, sebuah motosikal yang ditunggang lelaki terbabit memasuki kawasan sekatan dan dia diberi arahan untuk memberhentikan motosikalnya di tepi.
“Bagaimanapun, lelaki terbabit tidak mengendahkan arahan sebaliknya memecut motosikalnya ke arah anggota berkenaan sebelum merempuhnya.
“Rempuhan itu menyebabkan anggota berkenaan jatuh dan cedera ringan manakala lelaki terbabit ditahan anggota lain selepas bergelut,” katanya, di sini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berusia 32 tahun itu berasal dari Indonesia dan dipercayai berada di bawah pengaruh dadah jenis syabu.
Katanya, pemeriksaan lanjut di dalam beg sandang suspek menemui beberapa peralatan untuk menghisap dadah dipercayai miliknya.
Lelaki terbabit dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, dalam operasi bermula jam 3 hingga 6.30 petang, 29 motosikal disita atas kesalahan penunggang tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.
Selain itu, polis mengeluarkan 40 saman manakala JPJ mengeluarkan 105 saman dan notis arah periksa kenderaan.
Sumber: myMetro
No comments:
Post a Comment