loading...
Saturday, December 10, 2011
Honda Wave bertembung kereta
ALOR GAJAH - Dua remaja nyaris maut apabila motosikal jenis Honda Wave yang dinaiki gagal memotong kereta pacuan empat roda sebelum bertembung kereta dipandu seorang lelaki, berdekatan Masjid Ar-Rasyidin, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, motosikal dinaiki Mohd Fahzudin Mohamad, 19, dan rakannya, Shahrul Azami Jaafar, 18, dari arah Gadek menuju ke bandar Alor Gajah hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kereta jenis Honda lama dari arah bertentangan.
Pemandu kereta terbabit, Norris Afendi Abd Rahman, 36, berkata, dia baru selesai mengisi minyak kereta dan cuba keluar dari simpang menuju ke rumahnya di Taman Pisang Emas, Gadek.
Menurutnya, tiba-tiba motosikal dinaiki dua remaja terbabit hilang kawalan setelah gagal memotong pacuan empat roda yang membelok ke kanan memasuki Taman Seri Bayu.
“Ketika itu, remaja terbabit cuba mengelak dari terus berlanggar dengan pacuan empat roda dengan memasuki laluan saya,” katanya.
Bagaimanapun katanya, dia tidak sempat mengelak dan berlanggar dengan motosikal ditunggang dua remaja terbabit walaupun telah menghentikan keretanya.
“Salah seorang remaja terbabit tercampak ke belakang kereta sebelum terjatuh di atas jalan raya sementara seorang lagi tercampak ke sebelah kiri kereta saya.
“Tidak lama kemudian, orang awam mula berkerumun dan membantu saya keluar melalui pintu belakang kereta berikutan pintu sebelah pemandu gagal dibuka,” katanya.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapat rawatan.
Sementara seorang daripada remaja terbabit terpaksa dirujuk ke Hospital Melaka kerana mengalami kecederaan parah.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment