loading...
Wednesday, December 7, 2011
Maut Tersepit Di Bawah Lori
KESANG LUAR – Seorang penunggang motosikal maut selepas tersepit di bawah lori satu tan yang membawa bahan binaan dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 70 Jalan Masjid Kesang Luar, jam 8.40 pagi, semalam.
Mangsa yang merupakan warga Indonesia, Baharudin Abdullah, 22, bersama seorang pembonceng juga warga Indonesia dari arah Kesang ke Jasin gagal mengawal motosikal lalu melanggar belakang sebuah lori dari arah sama sebelum tersepit di bawah lori terbabit.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan, Che Suza Hitam mengesahkan kejadian itu berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila lori berkenaan membelok ke kanan memasuki lorong ke arah tanah perkuburan, namun mangsa yang tidak sempat mengelak melanggar bahagian kanan belakang lori.
Menurutnya, mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah dan pihak bomba dan penyelamat Daerah Jasin mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa.
“Walau bagaimanapun pembonceng hanya cedera ringan manakala pemandu lori terbabit melarikan diri dan pihak polis sedang mengesannya,” katanya.
Seorang penduduk, Zakaria Husain berkata, sebelum ini sememangnya pernah berlaku kemalangan di kawasan terbabit.
“Kemalangan berlaku bukan disebabkan faktor jalan yang kecil tetapi kerana kecuaian pemandu sendiri yang sering memotong laluan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment