loading...

Saturday, December 10, 2011

Tiang telefon di tengah jalan


ARAU – Gara-gara sebatang tiang telefon yang kedudukannya seakan-akan berada di tengah jalan, yang terletak di Jalan Arau di sini, hampir setiap minggu pengguna jalan terutamanya penunggang motosikal terlibat dalam kemalangan.

Ibu kepada mangsa kemalangan, Rusila Ramli, 49 berkata, anaknya yang juga merupakan seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekitar kawasan ini terpaksa menangguhkan pelajarannya buat sementara waktu apabila terlibat dalam kemalangan membabitkan tiang berkenaan.

“Buat masa sekarang anak lelaki saya terpaksa berehat di rumah buat sementara waktu kerana kemalangan itu yang sehingga menyebabkan jari kelingkingnya patah dan tempurung lututnya, retak selain luka-luka di badannya.

“Ketika kejadian anak saya dalam perjala-nan pulang ke rumah sewanya dari arah pasar raya bersama rakannya pada waktu malam. Disebabkan jalan dari arah itu semakin mengecil, dia tidak perasan tiang terbabit dan terus terlanggarnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Rusli berkata, jika pengguna jalan dari arah Pasar Raya Cmart menghala ke Kangar menggunakan jalan belakang, luluan itu pada mulanya luas tetapi semakin mengecil apabila hampir di sebuah kampung.

Menurutnya, sesiapa pun tidak akan menyedari kewujudan tiang terbabit, tambahan pula waktu malam, dengan keadaan yang kurang jelas hingga menyebabkan banyak kemalangan berlaku.

Katanya, dia dimaklumkan penduduk kampung bahawa sebelum anaknya terlibat dalam kemalangan itu, seorang pelajar perempuan dari pusat pengajian yang sama turut terlibat dalam insiden sama gara-gara tiang terbabit sehingga pelajar terbabit patah tulang paha dan mengalami kecederaan serius tempurung lutut.

Sementara itu, penduduk, Mohd Zamir Arshad, 29, berkata, dia yang tinggal berhampiran dengan tiang terbabit sering kali mendengar bunyi pelanggaran yang melibatkan tiang telefon itu.

“Dalam tempoh dua bulan ini sahaja boleh dikatakan tiap-tiap minggu kemalangan akan berlaku, semuanya terlanggar tiang terbabit.

“Keadaan ini bertambah bahaya ketika waktu hujan, memang pemandu tidak akan perasan tiang terbabit yang berada di tepi jalan. Tambahan pula kenderaan yang melalui jalan ini agak laju, disebabkan itu mereka tidak dapat mengelak ketika tiba-tiba tiang terbabit berada di hadapan mereka,” katanya.

Mohd Zamir berkata, sebaiknya jalan terbabit dibina bonggol untuk menghalang kenderaan dipandu laju dan dapat mengurangkan risiko kemalangan.

Menurutnya difahamkan wakil penduduk kampung telah membuat aduan berkenaan masalah tersebut kepada pihak bertanggungjawab dan berharap tindakan segera dapat diambil sebelum masalah lebih serius berlaku.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Teknikal Telekom Arau, Zakaria Ali berkata, pihaknya maklum dengan aduan terbabit dan akan mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah itu.

“Kita sudah ke tempat kejadian untuk melihat tiang terbabit melalui ketua kampung dan sekarang kita dalam proses untuk mengalihkannya ke tempat yang lebih selamat.

“Namun, bagi proses pengalihan ini kita memerlukan kerjasama semua pihak dan saya akan cuba mengambil tindakan segera bagi mengatasinya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my