loading...
Thursday, December 8, 2011
Tragedi Pulang Dari Ibadah Haji
Inalillahi wainailaihi rojiun
IPOH – Kegembiraan suami isteri yang baru pulang dari tanah suci Mekah bertukar tragedi apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 263.3, Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) kira-kira dua kilometer sebelum memasuki terowong Menora, awal pagi semalam.
Kereta jenis Honda Accord yang dinaiki lima sekeluarga itu merempuh belakang sebuah lori muatan tiga tan yang membawa barangan pejabat yang dipercayai untuk dihantar ke UiTM Arau, Perlis.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, Semua mangsa dikatakan dalam perjalanan ke kampung Alor Pongsu, Bagan Serai dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Katanya, mangsa Abdul Rashid Idris, 62, dan isteri Rahmah Mat Saboot, 59, merupakan jemaah haji yang baru tiba dari Mekah di KLIA kira-kira jam 12 pagi.
Menurutnya, dalam kejadian itu, kereta yang dipandu anak mangsa, Mohd Shahril Abdul Rashid, 30, yang dipercayai melanggar belakang lori sehingga menyebabkan bapanya tersepit dan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
“Siasatan awal mendapati lori berkenaan dipandu secara perlahan sewaktu mendaki bukit menyebabkan pemandunya tidak sedar lalu melanggar kenderaan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat manakala isterinya, bersama dua anaknya yang lain dirawat sebagai pesakit luar.
“Pemandu kereta masih dirawat di HRPB kerana dia mengalami kecederaan yang serius manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jenazah Abdul Rashid yang juga bekas pekerja Jabatan Pengairan dan Saliran, dibawa pulang ke Alor Pongsu untuk pengebumian.
Al-Fatihah...
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment