loading...
Monday, December 5, 2011
Perodua Alza bertembung Honda Civic
MARANG – Pemandu dan penumpang serta dua kanak-kanak berdepan detik cemas apabila kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Honda Civic di Kilometer 25 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Alor Tuman di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa dipercayai ada ikatan keluarga dikatakan terselamat termasuk pemandu Honda Civic, Zulkanain Ibrahim, 36, walaupun keadaan kenderaan mereka rosak teruk akibat pertembungan kuat.
Menurut Zulkanain, kejadian berlaku selepas dia mengelak lubang berdekatan sebuah jambatan pendek sebelum bertembung dengan kereta Produa Alza yang datang dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan.
“Saya dalam perjalanan menuju ke Jertih, Besut dari Paka, Dungun atas urusan kerja. Saya mengelak lubang sebelum kemalangan berlaku. Kejadian begitu pantas, saya tidak sempat berbuat apa-apa, kerana ia (Perodua Alza) tiba-tiba muncul di hadapan,” katanya.
Zulkanain mengalami kesakitan pada dada akibat pertembungan itu manakala status kecederaan pemandu dan penumpang bersama dua kanak-kanak itu tidak diketahui kerana mereka terus dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan.
Sinar Harian gagal mendapatkan pengesahan mengenai kemalangan itu daripada pihak polis namun kejadian disahkan jurucakap Bomba dan Penyelamat daerah yang menerima panggilan pada jam 12.05 malam sebelum tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.
Pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit membersihkan kawasan kemalangan bagi melancarkan perjalanan trafik sambil dibantu orang ramai yang berada di tempat kejadian selepas kesemua mangsa dikejarkan ke HSNZ untuk rawatan.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment