loading...

Wednesday, December 7, 2011

Rentung Gagal Potong Treler


ALOR SETAR - Seorang lelaki rentung apabila kereta dipandunya terbabas dan melanggar pokok di Kampung Perenggam sewaktu perjalanan dari Batas Paip ke Kuala Kedah, kira-kira jam 9 malam, kelmarin.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, mangsa, Peh Tiong Boon, 30, yang memandu kereta Proton Wira cuba memotong treler, namun tidak berjaya.

Menurutnya, kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan ke arah kanan dan melanggar sebatang pokok.

“Selepas melanggar pokok, kereta dipandu mangsa berpusing beberapa kali sebelum mengeluarkan percikan api,” katanya.

Mohd Sham berkata, sebelum kereta mangsa terbakar, dia masih dalam keadaan sedar dan cuba untuk menyelamatkan diri, namun kedua-dua kakinya tersepit.
Menurutnya, orang awam yang berada di tempat kejadian tidak sempat untuk menyelamatkan mangsa kerana api mula marak.

Sementara itu, saksi kejadian, Salleh Mohd Anuar, 26, berkata, ketika kejadian dia berada berhampiran tempat kemala­ngan dan terlihat api bernyala dari jarak jauh.



Meronta minta tolong

ALOR SETAR: “Separuh badannya sudah keluar, tetapi kakinya tersepit menyebabkan dia mati terbakar. Saya cuba bantu, tapi gagal kerana api semakin marak.”

Demikian kata Mohd Suhaimi Hamid, 24, menyaksikan kematian tragik Peh Tiong Boon, 30, yang sebahagian tubuhnya rentung apabila kereta Proton Wira Aeroback dipandunya meletup dan terbakar selepas merempuh sebatang pokok di Kampung Peragam, Jalan Teluk Bagan, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Peh dikatakan cuba memotong sebuah lori, namun keretanya terbabas lalu merempuh sebatang pokok, seterusnya berpusing beberapa kali sebelum meletup dan terbakar. Mohd Suhaimi berkata, dia nampak mangsa meronta-ronta sambil menjerit meminta tolong serta cuba keluar, namun gagal disebabkan kakinya tersepit.

“Apakan daya, saya tidak mampu membantu kerana api marak dengan cepat. “Sebelum itu, saya dengar dentuman kuat. Sejurus keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku. Saya nampak kereta itu berpusing-pusing selepas merempuh sebatang pokok dan akhirnya terbakar,” katanya yang ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Jalan Raja, Md Noor Daud berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 8.44 malam.


“Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati kereta itu terbakar dan terdapat seorang lelaki di dalamnya. Mangsa hampir rentung di bahagian badan.

“Kebakaran dapat dikawal dalam masa lima minit dan anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit,” katanya.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, mangsa dalam perjalanan dari Batas Paip menghala ke Kuala Kedah, di sini.

“Mangsa cuba memotong sebuah lori, tetapi hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh sebatang pokok. Kereta mangsa terbalik dan berpusing-pusing sehingga berlaku percikan api sebelum meletup dan terbakar.

“Sebelum keretanya terbakar, mangsa masih sedar dan cuba menyelamatkan diri serta cuba dibantu orang ramai. Bagaimanapun, usaha itu gagal kerana kedua-dua kaki mangsa tersepit dan api mula marak,” katanya.

Katanya, mangsa mati di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk dibedah siasat.


Sumber: kosmo
             nst
            Sinar Harian
           myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my