loading...
Monday, December 5, 2011
Pekerja Percetakan Maut Rempuh Lori Kontena
PELABUHAN BARAT - Seorang pekerja percetakan yang baru 13 hari menyambut hari jadi maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh bahagian belakang lori kontena di Jalan Pelabuhan Barat, di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu, mangsa dikenali V Nagarathinam, 30, yang tinggal di Banting dikatakan dalam perjalanan menghala Pelabuhan Barat dipercayai tidak perasan dengan kewujudan lori kontena itu yang rosak dan di parkir di lorong kanan.
Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abd Rahman berkata, mangsa dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori kontena itu menyebabkan bahagian hadapan motosikalnya remuk dan melekat pada lori itu.
"Berikutan rempuhan kuat itu, mangsa yang masih lengkap bertopi keledar mengalami kecederaan di bahagian dada serta patah kaki meninggal dunia dalam keadaan terlentang di atas motosikalnya jenis Yamaha Lagenda.
"Kejadian itu hanya disedari pemandu lori yang berusia 38 tahun apabila terdengar bunyi dentuman kuat secara tiba-tiba memaksanya memeriksa kejadian itu," katanya.
Menurutnya, pemandu lori kontena itu mendakwa kenderaannya secara tiba-tiba mengalami kerosakan teknikal ketika di lorong kanan.
"Pada awalnya dia berusaha untuk beralih ke lorong kiri namun kehadiran beberapa kenderaan lain yang berada di lorong itu menghalang niatnya sekali gus dia mengambil keputusan terpaksa memberhentikan lori di lorong kanan.
"Selepas beberapa minit menghentikan kenderaan dan memeriksa bahagian yang rosak, dia mendakwa sedang mengambil kon kecemasan untuk dipasang beberapa meter di belakang lori itu sebagai tanda amaran kepada pemandu kenderaan lain.
"Namun belum sempat berbuat demikian, bahagian belakang lori kontenanya terlebih dahulu dilanggar mangsa," katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment