loading...

Wednesday, December 7, 2011

Ahli Pas Lenggung Nyaris Rentung


KUALA KANGSAR – Ketua Keselamatan Pas Lenggong, Ahmad Ramdzi Othman Jalaluddin, 42 dan Ketua Penerangan Pas Lenggong, Mohd Saidi Sabri, 39, berdepan detik mencemaskan apabila hampir rentung ketika menyelamatkan diri dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuh raya Utara Selatan, di sini, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang, enjin kenderaan jenis Perodua Kembara yang dipandu Ramdzi tiba-tiba terhenti dan tidak dapat berfungsi sehingga terlanggar pengadang jalan sebelum berpusing lalu terbalik serta terbakar.

Ramdzi berkata, sewaktu kejadian, dia bersama rakannya Saidi dalam perjalanan pulang ke Lenggong setelah menghadiri mesyuarat di pejabat Perhubungan Pas Negeri di Ipoh.

Menurutnya, kejadian berlaku dengan pantas dan mereka bernasib baik kerana sempat keluar daripada kenderaan sebelum ia meletup terbakar.

“Ketika tiba di Kilometer 247.4 lebuh raya menghala arah utara tanpa diketahui punca, enjin kenderaan tiba-tiba berhenti.

“Kemudiannya, kenderaan ini tidak dapat dikawal, berpusing dan terbalik dua tiga kali di tengah jalan serta terbakar,” katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui, di sini, semalam.

Ramdzi berkata, sekiranya lambat beberapa saat untuk keluar daripada kenderaan sudah tentu dia dan rakannya sudah menemui ajal.

“Saat itu sangat mendebarkan dan ketika ingin keluar saya sudah melihat api keluar dari kenderaan tetapi masih bernasib baik,” katanya.

Katanya, berikutan kejadian itu, mereka telah menga­lami kerugian kira-kira RM25,000 termasuk kehilangan barang berharga seperti sebuah kamera dan barangan penting lain.

“Semua tidak sempat diselamatkan dan apa yang penting ketika itu ialah untuk menyelamatkan diri sahaja.

“Bagaimanapun kami berdua hanya mengalami kecederaan ringan iaitu Saidi luka di bahagian kaki, manakala saya mengalami luka kecil di tangan dan hanya dirawat sebagai pesakit luar di hospital Kuala Kangsar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Guan Beng Kang ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan ada menerima laporan berhubung kes serta siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my