loading...

Saturday, December 10, 2011

Lubang maut makan nyawa



Inalillahi wainailaihi rojiun

TEMANGAN - Lubang maut makan nyawa! Mangsa kedua jalan rosak di Temangan, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.50 malam kelmarin di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Mangsa, Allahyarham Gushari Ismail, 60, tidak sedarkan beberapa hari selepas cedera parah di bahagian kepalanya .

Allahyarham meninggalkan enam anak dan dikebumikan pada jam 11 pagi kelmarin di Tanah Perkuburan Temangan di sini.

Allahyarham yang kemalangan selepas tercampak dari motosikalnya yang termasuk dalam lubang jalan, kira-kira jam 11 malam ketika keluar untuk ke kedai.

Mangsa pertama

3 Disember lalu, seorang wanita tidak sedarkan diri selepas terjatuh dari motosikal pada waktu malam selepas motosikalnya dipercayai termasuk dalam lubang jalan, di Kampung Pangkal Chuit.

Wanita berkenaan, isteri kepada Setiausaha Gerakan Daya Wawasan (GDW) Kemunchup, Nor Mar Mamat, 47, dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Suaminya, Ahmed Jusoh berkata, Nor Mar yang patah tulang bahu dan rahang akibat kemalangan tersebut, turut menjalani pembedahan bagi membuang tempurung kepalanya yang retak.

“Dia kini dah sedar, namun keadaannya masih lemah. Malah, bahagian badan kirinya tidak dapat digerakkan.

“Saya berterima kasih kepada semua saudara mara, sahabat handai dan yang datang menziarahi isteri saya di hospital,” katanya.


Masalah jalan rosak

Masalah jalan rosak di Temangan pernah disiarkan Sinar Harian, dan turut mendapat maklum balas daripada Adun Temangan, Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata, masalah berkenaan akan dibincangkan bersama jabatan yang berkaitan dan juga pengusaha perlombongan bijih besi itu.

Katanya, kedua-dua pihak menyatakan persetujuan dalam usaha menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

“Masalah ini dipercayai berpunca daripada kenderaan berat yang menggunakan jalan tersebut setiap hari.

“Selain rosak, jalan juga menjadi kotor dan dipenuhi tanah yang mana mampu membahayakan pengguna.

“Perkara ini sudah dibincangkan dan saya berharap ia dapat diselesaikan segera,” katanya.


Jalan rosak punca kemalangan

Bagi Mohd Zaid, masalah jalan rosak di Temangan perlu ditangani dengan segera memandangkan ramai penduduk menjadi mangsa, termasuk abangnya sendiri yang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan akibat jalan rosak.

“Dua penduduk sudah menjadi mangsa, namun saya percaya ramai lagi yang turut menjadi mangsa terutamanya melibatkan kerosakan kenderaan.

“Kalau elak lubang, pemandu terpaksa masuk ke jalan bertentangan dan kedua-duanya membahayakan terutamanya bagi motosikal serta basikal,” katanya.

Mohd Zaid berkata, masalah hanya mampu diselesaikan apabila kenderaan berat yang dipercayai menjadi punca masalah tidak lagi dibenarkan menggunakan jalan itu lagi.

Katanya, dia bimbang jika tidak dibaiki segera, kejadian sama akan berulang kepada pengguna lain pula.

Seorang pengguna lain, Hussin Salleh, 34, berkata, walaupun kerja-kerja menurap bahagian rosak dilakukan di sesetengah kawasan, namun tidak berkesan apabila masalah yang sama berulang selepas hujan.

Katanya, jalan perlu diturap secara keseluruhan seterusnya menghalang kenderaan berat menggunakan jalan berkenaan.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my