loading...

Sunday, December 4, 2011

Nyaris maut treler merempuh pembahagi jalan


GUA MUSANG - Dua lelaki nyaris maut apabila tersepit hampir sejam dalam treler yang remuk selepas terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 89, Jalan Gua Musang-Lojing, berhampiran Projek Diraja, dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, menyebabkan pemandunya dikenali sebagai Mogam, 40, tidak sedarkan diri selepas tidak tahan menahan sakit kerana tersepit manakala kelindannya, Sarawanan juga berusia 40 tahun hanya cedera ringan.

Mereka diselamatkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Pahang bersama Gua Musang dan Polis Lojing yang tiba sebaik menerima maklumat mengenai kejadian tersebut.

Suasana tempat kejadian juga turut mencemaskan pengguna jalan raya lain berikutan papan lapis dari muatan treler terbabit jatuh bertaburan atas jalan raya dan menghalang lalu lintas.

Pengguna yang menyedari awal kejadian itu terpaksa bertindak mengawal lalu lintas kedua-dua laluan sama dari Gua Musang ke Lojing atau sebaliknya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Treler yang sarat muatan papan lapis dalam perjalanan dari Ipoh, Perak ke Kuantan melalui Gua Musang itu dikatakan hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Sarawanan yang cedera ringan ketika ditemui di tempat kejadian berkata, kejadian itu berlaku hanya dalam masa lima minit sahaja menyebabkan tidak sedar keadaan sebenar ketika itu.

”Hanya saya baru hendak lelap tidur merasa treler bergoyang dan terus merempuh pembahagi jalan menyebabkan saya bersama pemandu tersepit di tempat duduk masing-masing.

”Saya yang turut menahan sakit sempat memujuk rakan Mogam supaya bersabar dan ketika itu dia masih boleh bercakap, tetapi sebaik berjaya dibawa keluar dari kenderaan itu terus tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurutnya, dia juga sedar papan lapis dari kenderaan jatuh bertaburan atas permukaan jalan raya dan mungkin mencemaskan pengguna lain yang melalui kawasan tersebut.

Namun, beliau tidak boleh bertindak sesuatu untuk menyelamatkan keadaan kerana tersepit dalam treler dan mampu melaungkan kepada pengguna yang sempat berhenti menghubungi polis dan bomba dengan segera.

”Nasib baik ada mereka yang sanggup berhenti memberi pertolongan, jika tidak ada kenderaan lain pula yang berdepan dengan kejadian kemalangan di kawasan tersebut,” katanya.

Katanya, dia juga tidak kisah sangat walaupun lama menunggu pasukan penyelamat tiba kerana tempat kejadian terlalu jauh dengan Gua Musang dan Cameron Highlands asalkan dapat selamatkan nyawa.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my