loading...

Saturday, February 9, 2013

3 kenderaan berlanggar di Jalan Bagan Jermal



10 Februari 2013
JERMAL - Hampir lima jam sesak, begitulah keadaan yang terjadi di Jalan Bagan Jermal apabila tiga kenderaan berlanggar sesama sendiri.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 11.30 pagi semalam itu bertambah buruk apabila aliran masuk kenderaan bertambah pada waktu tersebut.

Seorang saksi, Mohamad Zulfahmi berkata, kejadian berlaku setelah sebuah kereta Kenari yang dipandu seorang lelaki gagal memotong kenderaan di hadapannya.

Menurutnya, kemudian ia bertembung dengan sebuah lori menyebabkan kenderaan tersebut bergesel dan berpusing dan kemudiannya melanggar sebuah lagi kereta lain.

“Selepas terbabit dengan dua kenderaan lain, lelaki di dalam kereta Kenari itu tergamam seketika, namun orang ramai yang berada di sekeliling sempat menenangkannya.

“Lelaki itu bernasib baik kerana lori tersebut tidak laju namun, yang menyebabkan ianya menjadi buruk apabila kenderaan sudah mula banyak,” katanya.

Akibat perlanggaran itu, jalan di Bagan Jermal yang menghala ke arah Pusat Membeli Belah Gurney dan juga Batu Feringghi itu sesak hampir lima jam.

Ia bermula dari Jalan Masjid Negeri sehingga ke Jalan Bagan Jermal sejauh kira-kira 10 kilometer.

Jalan sesak berikutan orang ramai sudah mula bercuti sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Sementara, di Jalan Tanjung Bungah menghala ke Batu Feringghi juga berlaku kemalangan kecil sehingga menyebabkan kesesakan selama lebih dua jam.

Kemalangan itu berlaku dipercayai berpunca daripada sebuah kereta di bahagian lorong kanan yang cuba memasuki lorong sebelah kiri secara tiba-tiba.

Kenderaan yang dipandu oleh pelancong dari Kuala Lumpur itu dimaklumkan tidak mengetahui selok-belok jalan di Tanjung Bungah menyebabkan beliau terpaksa membelok ke kiri jalan setelah mendapati di lorongnya terdapat kereta yang membelok ke arah lain.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/jalan-raya-sesak-hampir-lima-jam-sepanjang-10-kilometer-1.129860


Dua penyamun maut terbabas




10 Februari 2013
Seremban: Dua penyamun yang masing-masing menunggang motosikal berkuasa tinggi tidak sempat berjoli hasil jenayah mereka apabila maut terbabas melanggar pembahagi jalan di susur keluar Mambau dari Port Dickson, di sini, ketika diekori pasukan polis, semalam.



Sebelum kejadian itu, kira-kira jam 12.30 tengah hari polis menerima maklumat berkaitan kejadian samun di sebuah kedai kek di Batu 6 Teluk Kemang dan Lukut oleh dua lelaki menaiki motosikal warna hitam berkuasa tinggi jenis Kawasaki Versys 650 dan Kawasaki RR150 menggunakan nombor pendaftaran palsu.


Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, seorang daripada suspek yang terbabas itu maut serta-merta di tempat kejadian, manakala seorang lagi disahkan mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), di sini.

 "Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian rompakan membabitkan dua suspek berusia 21 dan 27 tahun itu kira-kira 12.30 tengah hari dan sebaik menerima laporan, anggota peronda polis telah dapat mengesan motosikal yang ditunggangi suspek berada di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Mambau, lebuhraya itu.

"Apabila anggota polis berkenaan menghampiri kedua-dua lelaki ini mereka terus melarikan diri dan pasukan polis itu telah mengejar mereka," katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, sebaik tiba di selekoh berhampiran susur masuk ke Mambau, kedua-dua suspek gagal mengawal motosikal masing-masing sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Katanya, seorang daripada suspek itu maut di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini.

Menurut Abd. Wahab hasil pemeriksaan ke atas mangsa, polis menemui dua telefon bimbit jenis iPhone 4 dan Samsung S2 serta dua bilah parang yang dipercayai digunakan ketika melakukan rompakan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangan kecederaan ketika merompak dan Seksyen 395 kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/articles/2013020921105720130209211057/MA/Article


Mercedes Benz hilang kawalan


10 Februari 2013
ALOR GAJAH - Dua beradik nyaris maut apabila kereta Mercedes Benz yang dinaiki hilang kawalan dan berpusing sebelum dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi di Kilometer 211.4 Lebuhraya Plus arah selatan, di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, dua beradik terbabit berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu dari arah Kuala Lumpur menuju ke Melaka hilang kawalan sebelum bertembung dengan Myvi yang dipandu Mohd Alif Mohd Yasin, 31, dari arah sama.

Difahamkan, Mohd Alif yang bekerja sebagai warden di sebuah penjara dalam perjalanan pulang ke Melaka dari rumah mertuanya di Pulau Sebang, di sini dan kini dirawat di Hospital Melaka.

“Kereta dinaiki dua beradik itu hilang kawalan lalu berpusing beberapa kali di lorong kanan sebelum muncul sebuah Perodua MyVi merempuh bahagian hadapan kereta itu yang menghala arah utara.

“Dua beradik itu terperangkap dalam kereta kira-kira lapan minit sebelum dibantu pengguna lebuh raya yang memberhentikan kenderaan dan membantu mengawal lalu lintas.

Sumber berkata, pertembungan yang kuat menyebabkan Produa Myvi berkenaan terseret hingga ke laluan kecemasan manakala pemandunya tersepit di tempat duduk.

Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat yang tiba kurang 15 minit kemudian dan pemandu Myvi dikeluarkan kurang 10 minit.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 60-an terselamat apabila pacuan empat roda dipandu terbabas dan terbalik empat tayar ke atas di persimpangan lampu isyarat Simpang Ampat, di sini, kira-kira jam 3.15 petang, kelmarin.

Difahamkan, mangsa dari arah Tol Simpang Ampat menuju ke bandar Melaka cuba mengelak sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dari arah pekan Alor Gajah yang tiba-tiba membelok ke kanan menghala ke Pulau Sebang, di sini.

Sumber berkata, penunggang motosikal terjatuh dan dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kemalangan membabitkan dua buah kenderaan itu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/dua-beradik-nyaris-maut-1.129770


Gara-gara mencelah



10 Februari 2013
IPOH - “Saya hanya menjerit memanggil isteri dan anak-anak untuk memastikan mereka berada dalam keadaan selamat,” luah Khairul Nizam Muhd Nor, 31.

Khairul bersama isteri dan tiga anaknya dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Kuala Kangsar sempena cuti Tahun Baru Cina sebelum terbabit dalam kemalangan di Kilometer 271.4 berhampiran Plaza Tol Jelapang, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, lima sekeluarga terbabit yang menaiki kereta Proton Waja dipandu Khairul hilang kawalan lalu merempuh belakang kereta Proton Iswara sebelum terbakar di sisi jalan tersebut.

“Saya menyangka laluan itu lurus, namun kereta di hadapan (Iswara) mencelah secara tiba-tiba. Saya bertindak menekan brek, sambil memaut stereng ke kanan sehingga menyebabkan kereta bergegar dengan kuat.

“Asap tebal dan api mula marak di bahagian luar kereta dan saya tanpa berfikir panjang segera menendang pintu belakang kenderaan bagi menyelamatkan anak-anak,” katanya yang turut dibantu orang awam.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang saksi, Mohd Shahrizan Ahmad, 35, berkata, ketika tiba tempat kejadian dia terlihat asap mula keluar daripada bahagian hadapan kereta.

“Bau petrol juga semakin lama, semakin kuat dan percikan api mula membesar dan marak sehingga menyebabkan kedua-dua kereta rosak teruk,” katanya yang menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat  berhampiran.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Kamarulzaman Subari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.30 petang untuk menjalankan kerja menyelamat.

“Kami berjaya memadam kebakaran pada kedua-dua kereta berkenaan dan semua mangsa dilaporkan selamat,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/gara-gara-mencelah-dua-kereta-terbakar-1.129864


Tiga beranak nyaris maut



10 Februari 2013
ALOR GAJAH - Tiga beranak nyaris maut apabila kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta Toyota Celica sebelum terhumban ke dalam longkang di persimpangan lampu isyarat Kampung Paya Lebar, Lubok China, dekat sini kira-kira 8.50 malam kelmarin.

Dalam kejadian itu, Perodua Myvi yang dipandu Mohd Ridwan Idris, 26, bersama ibunya, Kadariah Bachik, 57, dan adiknya, Nurjamiatul Bariah, 23, dari Kampung Sungai Jernih menuju ke pekan Kuala Sungai Baru.

Sumber memberitahu, ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Masjid Tanah dari tempat kerjanya menyedari Toyota Celica yang dipandu laju seorang lelaki berusia lingkungan 20-an melanggar lampu isyarat.

"Kereta itu yang berada di belakang saya secara tiba-tiba memotong kereta saya menyebabkan dua kereta di hadapan memasuki laluan bertentangan.

"Sebaik kereta itu melepasi kereta paling hadapan, muncul kereta dinaiki Mohd Ridwan dan keluarganya sehingga berlaku rempuhan. Toyota Celica itu hilang kawalan dan merempuh tebing pembahagi jalan sebelum terhenti di laluan selekoh dari Ramuan China Kechil menuju ke Kuala Sungai Baru," katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa yang terperangkap di dalam Perodua Myvi dikeluarkan oleh beberapa orang awam.

"Mereka mengalami kecederaan ringan manakala pemandu Toyota Celica tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sementara Mohd Ridwan berkata, dia bersama ibu dan adiknya dalam perjalanan ke pekan untuk membeli barangan keperluan rumah.

"Saya terkejut apabila melihat sebuah kereta muncul sebaik saja saya melepasi lampu isyarat sebelum dirempuh dan terbalik sejauh kira-kira 25 meter.

"Kami bersyukur terselamat dan mengalami kecederaan ringan. Adik dan emak dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/detik-cemas-tiga-beranak-1.129855





Warga emas maut digilis kereta



10 Februari 2013
RAUB – Seorang warga emas lelaki maut apabila digilis kenderaan lain selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan kereta dalam kejadian kemalangan di Kilometer 336 Jalan Raub–Lipis berhampiran Kampung Temau, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, mangsa, Ng Beng Peng, 79, yang maut di tempat kejadian, berasal dari Sungai Jan, Jerantut.

Menurutnya, kira-kira jam 9.10 malam kelmarin, Beng Peng dipercayai menunggang motosikal dari arah Raub dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta jenis Proton Saga.

"Pertembungan itu menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan lalu dilanggar kereta lain yang tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, siasatan mendapati mangsa mempunyai lesen memandu dan memakai topi keledar.

Katanya, ketika kejadian, keadaan jalan lurus tetapi gelap kerana tiada lampu jalan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga bagi urusan pengebumian.

“Kita juga harap masyarakat dapat menghubungi polis di talian 09-3554999 untuk menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan dan keamanan kawasan setempat,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/warga-emas-maut-digilis-kereta-1.129849


Pantang maut sebelum ajal



10 Februari 2013
KOTA BHARU - Pantang maut sebelum ajal. Empat kenderaan mengalami kerosakan teruk dalam kemalangan di Jalan Panji di sini semalam.


Bagaimanapun kesemua pemandu dan penumpang kenderaan itu hanya mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan serta kaki dan kini ditempatkan di wad Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk menerima rawatan susulan.

Menurut saksi, Nurzafina Zainal Abidin, 28, ketika kejadian dia berada di dalam kedai runcit milik keluarganya sebelum dikejutkan dengan bunyi brek yang kuat.

“Tidak sampai lima minit kemudian, saya nampak sebuah kereta Proton Perdana dari arah Panji melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dari arah bertentangan selepas memotong kereta yang berada di depannya dan menyebabkan kereta Perdana itu hilang kawalan dan berpusing.

“Selepas berpusing ia turut melanggar dua lagi kereta termasuk Perodua Myvi serta Viva yang turut berada di belakang kereta Alphard terbabit,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, pihak Bomba dan Penyelamat turut mengambil masa hampir setengah jam bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan itu.

Sementara itu, menurutnya kejadian terbabit merupakan kemalangan yang paling dahsyat sepanjang dia menjalankan perniagaan di kawasan itu sejak lebih 20 tahun lalu.

“Memang kerap berlaku kemalangan di kawasan ini, tetapi hanya kemalangan kecil yang melibatkan motosikal dan kereta.

“Namun kejadian hari ini (semalam)  merupakan kemalangan yang paling tragis sepanjang berniaga di kawasan ini,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/pantang-maut-sebelum-ajal-1.129843

Friday, February 8, 2013

Penunggang motor digalak pakai jaket pemantul cahaya

jaket pemantul cahaya


9 Februari 2013
KANGAR - Penunggang motosikal digalakkan memakai jaket pemantul cahaya dan topi keledar dengan betul untuk menjamin keselamatan diri ketika di jalan raya.

Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Perlis, Abdul Jamil Saad berkata, pemakaian topi keledar yang betul dan kemas juga mampu mengelakkan kecederaan penunggang di kepala apabila berlaku kemalangan.
 


Beliau berkata, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menunjukkan majoriti kemalangan maut melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal disebabkan kecederaan parah di kepala.

“Setiap tahun pelbagai kempen daripada penguatkuasaan dijalankan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terutama pengguna jalan raya.

“Fokus utama adalah penunggang dan pembonceng motosikal kerana menjadi kumpulan terbesar yang menyumbang kepada jumlah kemalangan maut di jalan raya,” katanya ketika melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena sambutan Tahun Baru Cina di sini, semalam.

Menurutnya, walaupun masih ada kesilapan manusia sebagai punca kemalangan tetapi ia tidak akan menghasilkan kes maut atau cedera parah jika pengguna patuh dan mengikut undang-undang ditetapkan.

“Pelbagai program akan dilaksanakan JKJR terutama berasaskan komuniti bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan orang ramai bagi mewujudkan budaya berhemah dalam kalangan pengguna jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengarah JKJR Perlis, Mahmud Shaharuddin berkata, sempena kempen itu, pihaknya mengedarkan 80 topi keledar kepada penunggang dan pembonceng motosikal yang melalui Jalan Kuala Perlis-Changlun-Pauh-Arau.

Selain memberi topi keledar, JKJR mengedar beberapa risalah sebagai panduan kepada pengguna jalan raya yang merangkumi khidmat nasihat serta peraturan yang perlu dipatuhi.

“Sekurang-kurangkan orang ramai akan sedar mengenai keselamatan diri masing-masing ketika menggunakan jalan raya dengan mematuhi panduan yang diberi,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/penunggang-motor-digalak-pakai-jaket-pemantul-cahaya-1.129699


3 beranak nyaris rentung dalam kereta



9 Februari 2013
Tiga beranak terselamat selepas sempat keluar dari kereta mereka yang terbakar tiba-tiba di Jalan Sungai Ujong, berhampiran Muzium Negeri di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Mohammad Iqbal Md Salleh dan isterinya, Nurul Hadida Abu Bakar, 31, dan anak mereka Nuha Aliesya, 5, tidak mengalami sebarang kecederaan.



Mohammad Iqbal berkata, dia terhidu bau asap sebelum kejadian itu, namun mengabaikannya kerana menyangka ia datang dari stesen minyak berhampiran.

“Bagaimanapun, kesesakan teruk menyebabkan saya mematikan enjin sebentar disebabkan penghawa dingin rosak.


“Apabila saya menghidupkan semula enjin, terdapat percikan api di bahagian bonet depan kereta sebelum bahagian itu mula terbakar dengan pantas,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 Kamarulzami Harith, berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada masalah enjin kereta dan pihaknya masih menyiasat lanjut.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2013020901355220130209013552/Article/index_html
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130209/dn_11/3-beranak-terselamat-kereta-terbakar


Tragedi Tahun Baru Cina



9 Februari 2013
MUAR - Percutian empat sekeluarga untuk pulang ke Ipoh bagi menyambut Tahun Baru Cina bertukar tragedi apabila salah seorang ahli keluarga terkorban dalam kemalangan di kilometer 133 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara bersebelahan Jalan Parit Sulong-Pagoh berhampiran Pagoh di di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa Chong Tum Tuck, 64, memandu kereta Toyota Camry bersama tiga ahli keluarganya dari Johor Bahru.

Hujan lebat dipercayai menyebabkan kenderaan terbabit hilang kawalan lalu terbabas sebelum terjunam ke dalam parit.

Mangsa, Tum Tuck meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian anggota badan.

Sementara penumpang lain, Chang Guiqin Jacqueline, 22, Chong Ah Kaw@ Chong Sum Wai, 69, dan Leong Mun, 58, cedera dan dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, mayat mangsa dihantar ke HPSF untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Berapa anggota Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar dikerahkan untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit.

“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan, berhati-hati dan meminta mereka mengutamakan keselamatan dengan memandu secara berhemah kerana cuti Tahun Baru Cina sudah pun bermula.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/seorang-maut-tiga-cedera-1.129742


Tidak sempat menyambut Tahun Baru Cina




9 Februari 2013
MUAR - Seorang pemuda tidak sempat menyambut Tahun Baru Cina apabila maut selepas terbabit dalam nahas jalan raya melibatkan kereta dengan bas persiaran di Jalan Salleh berhampiran Taman Cemerlang di sini, semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi, Lim Pang Hong, 23, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan selepas tersepit di tempat duduk pemandu selama 20 minit.

Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas keluar makan malam bersama empat rakannya.

Setiba di tempat kejadian, kereta Perodua Kancil yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah bas persiaran yang datang dari arah Muar menghala ke Johor Bahru.

Akibat rempuhan itu, kereta dipandu mangsa remuk teruk dan terperosok di bawah hadapan bas persiaran yang dinaiki 16 penumpang lain.

Pemandu bas berkenaan yang enggan dikenali berkata, dia dalam perjalanan dari Kedah menuju ke Johor Bahru, tetapi singgah ke Muar bagi menghantar penumpang.

Menurutnya, sebaik sahaja memasuki Jalan Salleh, pada jarak 200 meter, dia melihat sebuah kereta dalam keadaan tidak terkawal sebelum insiden berkenaan.

“Dentuman kuat itu mengejutkan semua penumpang yang sedang tidur dan mereka panik dengan kejadian yang berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.

Pemandu bas berkata, kesemua penumpang selamat dan bas hanya mengalami sedikit kerosakan serta boleh meneruskan perjalanan ke Johor Bahru.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/lelaki-maut-dalam-kemalangan-1.129739
http://www.bharian.com.my/articles/Duamaut_tujuhcederanahasberasingan/Article/



Missed call terakhir



Inalillahi wainailaihi rojiun

9 Februari 2013
BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA, Pahang - Tiada siapa menyangka panggilan tidak berjawab atau ‘missed call’ daripada seorang peniaga ayam borong di telefon bimbit adik beradiknya merupakan panggilan terakhirnya sebelum dia dimaklumkan meninggal dunia dalam satu kemalangan, petang kelmarin.

Mangsa, Hadi Rashid, 38, dikatakan menelefon beberapa adik beradiknya sekitar jam 3 petang sebelum terlibat dalam kemalangan sekitar jam 5 petang.

Adik mangsa, Habibah Rashid, 34 berkata, dia dimaklumkan abangnya ada menghubungi adik beradik lain, namun tiada seorang pun menjawab panggilan tersebut.

“Itulah kali terakhir arwah menghubungi kami dan tidak menyangka itu panggilan terakhir daripadanya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian.

Habibah berkata, kali terakhir dia menemui mangsa adalah dua hari lalu, namun arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku atau berkelakuan pelik.

“Selang dua atau tiga hari, saya akan menjenguk arwah di pejabatnya. Hari ini (kelmarin), saya pergi ke pejabat untuk berjumpanya kerana sudah dua hari tidak bertemu.

“Sebaik sahaja tiba di pejabatnya yang terletak di bandar ini, saya dimaklumkan bahawa abang saya terlibat dalam kemalangan dan terus bergegas ke sini (lokasi kemalangan),” katanya.

Habibah berkata, mangsa yang merupakan seorang peniaga ayam di pasar borong dan Menetap di Felda Jengka 2 itu meninggalkan seorang isteri serta empat orang anak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Pemangku Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, berdasarkan siasatan, mangsa didapati terbabas di jalan besar berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang-Bandar Jengka.

“Mangsa dikatakan dari bandar dan ingin pulang ke rumahnya yang terletak di Felda Jengka 2. Kereta mangsa terbabas lalu melanggar sebatang pokok.

“Mangsa maut di tempat kejadian dengan kecederaan teruk di bahagian pinggang dan bawah badannya,” katanya.

Saksi kejadian, Azizan Abdullah, 42, berkata, ketika melalui jalan tersebut, dia mendapati mangsa yang sudah tidak bernyawa tersepit di antara pokok dan keretanya.

Ketua Balai Bomba Bandar Jengka, Mohd Shaffie Abdul Rahman pula berkata, seramai enam anggota bomba dan penyelamat serta sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa.

“Kami menerima panggilan pada jam 5.17 petang dan mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh 25 minit dengan memotong pintu di sebelah kanan mangsa,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/missed-call-terakhir-1.129676


Nahas 4 kenderaan


9 Februari 2013
KAMPUNG NYIOR, Dungun - Hasrat lapan sekeluarga menghabiskan masa cuti hujung minggu ke zoo terbantut apabila kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan di jambatan sempit Kampung Nyior, dekat sini, pagi semalam.

Kemalangan di Kilometer 92, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan pada jam 7 pagi itu dipercayai berlaku ketika keluarga Mohd Aridi Mohd Nor, 32, bersama tujuh lagi ahli keluarga lain termasuk isteri, Siti Zaila Wan Suhaimi, 27, dalam perjalanan dari Melor, Kelantan menuju ke Kemaman.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila pacuan empat roda dipandu Mohd Aridi dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan dipercayai bergesel dengan sebuah teksi sebelum bergesel dengan sebuah Proton Wira Aeroback, masing-masing dari arah bertentangan lalu bergesel sekali lagi dengan van Nissan Vannete dari arah sama.

Mohd Aridi yang ditemui di lokasi kejadian berkata, ketika itu, dia sekeluarga dalam perjalanan ke Zoo Kemaman untuk membawa ahli keluarganya bersiar-siar sempena cuti hujung minggu.

Katanya, ketika kejadian, dia yang bertolak dari Kelantan malam sebelum kejadian sedang berbual-bual dengan isterinya yang duduk di tempat duduk hadapan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Troopers itu.

“Sebaik sampai di jambatan itu, saya rasa dirempuh oleh sebuah kenderaan.

“Kereta saya hilang kawalan lalu melanggar beberapa kenderaan lain sebelum terbabas,” katanya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Enam lagi penumpang lain termasuk isteri dan tiga anaknya, Mohd Afis Zakira, 7, Nur Aishah, 4, dan Marlisha, 3, selain Nurhanita Farahida, 16, Saudah Abdullah, 60, dan Nurlida Mohd Nor, 45, juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun pemandu teksi Proton Wira, Mohamad Zaki Massenu, 61, cedera parah selepas tersepit dalam kenderaan sebelum dikeluarkan pasukan penyelamat yang tiba beberapa minit kemudian sebaik menerima maklumat berkaitan kemalangan terbabit.

Mohamad Zaki yang berasal dari Kampung Hilir, Kuala Terengganu bagaimanapun dilaporkan stabil.

Pemandu Nissan Vannete, Marzuki Mohd, 38, seorang peniaga pasar tani serta dua penumpang termasuk seorang anak perempuannya, Siti Norhanim Mohd, 19, dan Mohd Shukri Aiman, 16, cedera ringan. Ketika kejadian, Marzuki yang keluar dari rumah di Jalan Melati, Dungun kira-kira jam 6.30 pagi difahamkan dalam perjalanan ke pasar tani Kerteh.

Seorang lagi mangsa, pemandu Proton Wira Aeroback, Azmi Awang, 40, kakitangan sebuah syarikat di pelabuhan Kemaman yang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu juga cedera ringan.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan. Polis masih menjalankan siasatan berkaitan kemalangan terbabit.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/nahas-babit-empat-kenderaan-1.129669


Pemandu lori maut penunggang motosikal patah kaki


8 Februari 2013
TASEK GELUGOR - Seorang pemandu lori maut apabila kenderaan dipandunya terlibat kemalangan membabitkan kereta dan motosikal di Simpang 3, Tai Tong, di sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, mangsa, Ooi Hian Huat, 58, yang memandu lori berseorangan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki.

Mangsa yang tersepit di tempat pemandu selepas bahagian hadapan lorinya remuk hanya berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku semasa Hian Huat, dari arah Kampung Selamat, Pinang Tunggal gagal mengawal lorinya semasa melalui kawasan itu sebelum merempuh kereta dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.

“Kesan rempuhan kuat tersebut menyebabkan kereta Toyota Vios dari arah Tasek Gelugor menghala ke Kampung Selamat itu berpusing lalu mengenai motosikal ditunggangi seorang lelaki.

“Hian Huat mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki selepas tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta cedera ringan dan penunggang motosikal patah sebelah kakinya dalam kejadian itu,” katanya.

Dua mangsa yang cedera itu dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya bersama mayat Hian Huat untuk proses bedah siasat.

Kejadian tersebut menyebabkan laluan terbabit mengalami kesesakan teruk, bagaimanapun tindakan pantas anggota trafik mengawal keadaan berjaya melancarkan kembali aliran trafik.

Abdul Rahman berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/pemandu-lori-maut-tersepit-1.129364


Pesara polis maut bergesel lori


Inalillahi wainailaihi rojiun
 
8 Februari 2013
LENGGENG - Seorang pesara polis maut dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori di selekoh tajam Jalan Lenggeng - Beranang, berdekatan Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, di sini, semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, mangsa, Razali Moez, 56, berasal dari Taman Klana Jaya, Lenggeng, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss GT128 seorang diri sedang dalam perjalanan dari Broga ke rumahnya.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati, setibanya di lokasi kejadian, mangsa telah berselisih dengan sebuah lori tiga tan tanpa muatan yang datang dari arah Lenggeng menuju ke Broga.

“Mangsa telah bergesel dengan lori terbabit, menyebabkan motor ditunggangi hilang kawalan lalu tercampak ke tengah jalan,” katanya.

Sumber berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan, manakala pemandu lori tidak cedera.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga bagi urusan pengebumian,” kata sumber.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pesara-maut-nahas-motor-1.129380


Thursday, February 7, 2013

Penunggang Motosikal maut terpelanting


Inalillahi wainailaihi rojiun

6 Februari 2013
Tumpat: Seorang pekerja kedai memproses ayam yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut selepas motosikal ditungganginya melanggar belakang sebuah kereta sebelum terpelanting dan digilis sebuah kereta lain jenis Produa Myvi dari arah bertentangan dalam kejadian di Kampung Kubang Batang dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, mangsa, Azmi Hassan, 21, yang menunggang motosikal Honda EX5 meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chat, Pasir Mas pada jam 11 malam kelmarin.

Bapa saudara mangsa, Che Harun Jusoh, 43, berkata, anak saudaranya itu seorang yang rajin dan bertanggungjawab.


“Arwah membesar tanpa ayah selepas ibu bapanya bercerai ketika masih kecil.


“Selepas tamat persekolahan, arwah yang tinggal dengan ibunya terus bekerja untuk membantu menambah pendapatan keluarga. Pemergiannya sememangnya amat dirasai,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat Deputi Superintendan Sharifuddin Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautterpelanting_digiliskereta/Article/index_html


Pelajar SMK Meradong maut




6 Februari 2013
Bintangor: “Dia satu-satunya cucu saya dan kini dia pergi buat selamanya,” kata Lawi Gong, 60, nenek kepada pelajar tingkatan lima yang meninggal dunia selepas motosikal dinaiki bersama rakan baik untuk ke sekolah bertembung sebuah pacuan empat roda di Jalan KJD, Meradong di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, Lasit Lambai, 17, dan rakannya, Gilbert Abing Mijin, 14, iaitu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meradong meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Nenek Lasit, Lawi terkejut apabila dimaklumkan cucunya terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke sekolah beberapa minit selepas kejadian.

“Saya bergegas ke tempat kejadian sebaik dimaklumkan dan sebaik tiba jantung saya seperti terhenti seketika melihat tubuh cucu terbaring kaku.


“Dia cucu tunggal saya dan kini saya kehilangannya buat selama-lamanya. Sukar bagi saya mempercayai kejadian yang menimpa ini kerana semuanya seperti bermimpi,” katanya.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bagaimimpi_/Article/index_html


Peniaga burger bakar maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

7 Februari 2013
Ledang: Seorang peniaga burger bakar dan otak-otak maut dalam pertembungan dua kenderaan ketika mangsa dalam perjalanan mengambil bahan mentah perniagaannya dekat Bukit Kangkar di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian di Batu 10 Jalan Muar-Tangkak kira-kira jam 5.15 petang itu, mangsa Muhamad Farid Khalid, 31, dari Jalan Naib Long, Tangkak, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala dan badan.
Memandu sendirian


Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata mangsa yang memandu sendirian kereta PROTON Iswara dalam perjalanan dari Tangkak ke Muar untuk mengambil bekalan jualan di Kesang.

“Ketika tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa bertembung kenderaan serba guna (MPV) dari arah bertentangan yang secara tiba-tiba memasuki laluan dipandu Farid.

“Pertembungan dua kenderaan itu menyebabkan kereta mangsa remuk di bahagian depan dengan mangsa tersepit pada tempat duduk pemandu.

“Pemandu MPV yang juga guru berusia 46 tahun dari Tangkak terselamat tetapi patah tangan kanan.
“Difahamkan, ketika kejadian guru terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah, selepas mengambil surat pelantikan kenaikan pangkat di Muar, ” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan keadaan cuaca hujan dan faktor jalan licin dipercayai menyebabkan kemalangan.

Katanya, mayat Farid dihantar ke Hospital Tangkak untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kontang, Tangkak.

“Siasatan lanjut sedang dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Peniagaburgerbakarmautnahas/Article


Wednesday, February 6, 2013

Staf Kolej Unifield Maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

6 Februari 2013
ALOR GAJAH - Seorang kakitangan sokongan Kolej Unifield, Simpang Ampat, di sini, maut selepas kereta jenis Proton Exora milik kolej terbabit yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas merempuh sebatang pokok di jalan Kampung Bukit Apit, Ayer Limau, di sini, petang semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Rosli Abu, 47, turut membawa wang berjumlah anggaran RM50,000 dari kolej berkenaan menuju ke sebuah bank di pekan Masjid Tanah.

Anak sulung mangsa, Nurfatin Fatihah Rosli, 18, berkata, dia bersama tiga adiknya, Nurul Idayu, 16, Mohd Izzudin, 13, dan Muhammad Ammar Syahmi, 7, sempat bertemu arwah bapanya malam sebelum kejadian.

Menurutnya, ketika itu, arwah bapanya berpesan supaya menjaga diri dan adik-adik.

“Sebelum itu, saya hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ayah kerana rindu hendak jumpanya tetapi ayah maklumkan tidak dapat datang.

“Tetapi tidak lama selepas itu, arwah ayah memberitahu dia berada di hadapan rumah dan bersedia untuk membawa kami dan adik-beradik keluar,” katanya.

Nurfatin Fatihah berkata, ketika keluar bersama, arwah ayahnya sempat membawa adiknya, Mohd Izzudin ke kedai gunting rambut dan belikan mereka makanan.

“Pada malam itu, saya lihat ada perubahan pada diri arwah ayah. Hati saya berasa tidak tenang apabila melihat arwah ayah seolah-olah berat hati untuk pulang dan merenung kami adik beradik sebelum saya masuk ke dalam rumah untuk solat Isyak.

“Selepas itu, saya berasa tidak sedap hati apabila melihat adik bongsu merayu meminta arwah ayah tidak tinggalkan kami,” katanya.

Katanya, arwah ayahnya juga sempat berpesan supaya meminta wang daripadanya sekiranya memerlukan.

“Kami adik-beradik tinggal bersama ibu, Haizatul Ahmad, 43, yang hanya bekerja di sebuah kilang di Londang, Masjid Tanah, selepas berpisah dengan arwah ayah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Suhaimi Mohd Razali berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 2.42 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama lima anggota.

“Kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

“Ketika itu, mangsa yang cedera di bahagian muka mengadu sakit di bahagian dada dan belakang badan sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah,” katanya.

Katanya, sebelum itu, mangsa sempat meminta pihaknya menyelamatkan beg yang diletak dalam kereta berisi sejumlah wang dan memberitahu ia amanah pihak kolej kepadanya atas urusan kewangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Masjid Tanah.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/rosli-pesan-anak-jaga-diri-1.128621



Kereta melayang



6 Februari 2013
Alor Gajah: Bagaikan aksi lagak ngeri apabila Proton Iswara dinaiki satu pasangan suami isteri ‘terbang’ ke atas tebing setinggi kira-kira dua meter sebelum terhempas dan terbalik dalam kemalangan di Jalan Kampung Air Hitam Lendu - Masjid Tanah, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.50 malam, kereta dipandu Zainal Daud, 43, bersama isteri, Saadiah Ali, 50, dari Masjid Tanah dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Lendu Hilir sebelum terbabit kemalangan.

Sumber berkata, pemandu kereta itu dipercayai gagal mengelak kenderaan muncul dari arah bertentangan ketika melalui satu selekoh di lokasi kejadian menyebabkannya hilang kawalan.

“Berikutan itu, kereta dinaiki mangsa dipercayai meluncur laju dan berpusing beberapa kali sebelum terhempas di atas tebing setinggi kira-kira dua meter dalam keadaan terbalik.


“Saadiah yang berada di tempat duduk penumpang depan cedera parah di kepala serta badan manakala suaminya hanya mengalami kecederaan di telinga kanan,” katanya di sini, malam kelmarin.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keretamelayang/Article/index_html




Patah kaki dihimpit pengedar dadah



6 Februari 2013
Kluang: Seorang anggota polis patah kaki kanan selepas seorang suspek pengedar dadah nekad melanggar dan menghimpitnya untuk meloloskan diri daripada ditahan dalam kejadian di persimpangan Jalan Ladang Tereh di sini, kira-kira jam 3 petang, Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, mangsa Lans Koperal Anuar Ishak yang bertugas di Balai Polis Kluang Baru bersama dua rakan setugas diarah menjalankan siasatan ke atas tiga lelaki yang mencurigakan di lokasi berkenaan.


Menurut Anuar, ketiga-tiga suspek menunggang motosikal secara berasingan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

“Bagaimanapun, seorang daripada suspek yang berumur lingkungan 20-an tiba-tiba memecut dari situ sebelum dikejar.


“Suspek menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan dia kemudiannya melanggar sebelum menghimpit saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang semalam.


Menurut Anuar yang turut menunggang Honda EX5, akibatnya, dia kehilangan kawalan sebelum terjatuh manakala kaki kanannya dihempap motosikal menyebabkannya patah.

Katanya, dia kemudiannya dihantar ke hospital berkenaan manakala suspek terbabit berjaya ditahan.


“Saya harap dapat segera sembuh kerana mahu bersama rakan setugas membanteras jenayah. Kejadian ini tidak akan mematahkan semangat saya untuk terus memburu penjenayah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, tiga suspek lelaki berusia lingkungan 20-an ditahan dalam kejadian terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anggotapolispatahkakidilanggar/Article/index_html



Remaja maut jatuh treler



6 Februari 2013
ALOR GAJAH - Seorang pekerja maut selepas terjatuh dari treler yang dibaiki di sebuah bengkel Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Pulau Sebang, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, V Pannir Selvam, 17, dipercayai terjatuh ketika sedang membaiki pengadang treler berkenaan bersama beberapa pekerja lain.

Bapa mangsa yang juga pengawal keselamatan di tempat itu, P Varsu, 53, berkata, dia hanya menyedari kejadian berkenaan selepas terdengar kekecohan di kawasan membaiki kenderaan.

"Selepas mendengar ada pekerja terjatuh, saya terus berlari ke arah treler berkenaan dan terkejut apabila diberitahu anak saya yang terjatuh.

"Ketika itu, saya melihat Pannir terbaring di atas jalan di bahagian tepi hadapan treler dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke Hospital Tampin dan disahkan meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, Pannir adalah anak bongsu dari enam beradik dan mempunyai penyakit asma.

"Saya tidak pasti sama ada Pannir diserang asma ketika kejadian kerana sebelum itu dia kelihatan sihat," katanya.

Katanya, anaknya baru 16 hari bekerja di situ dan setiap hari mereka pergi kerja bersama, namun lebih awal kerana dia bertugas pada jam 6 pagi.

Rakan sekerja mangsa yang ingin dikenali, Jimiey, 30-an, berkata, beberapa hari sebelum kejadian, mangsa ada mengadu tidak sihat dan dilihat suka bersendirian.

“Saya dan rakan lain tidak menegur perubahannya kerana menganggap dia masih cuba menyesuaikan diri di tempat kerja baru," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tampin oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia.

“Difahamkan, mangsa terjatuh ketika membaiki pengadang treler yang digunakan untuk membawa muatan simen.

"Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Tampin sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut, bagaimanapun pihaknya masih menunggu laporan hasil bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-terjatuh-dari-treler-1.128769




Perodua Kancil masuk longkang



Inalillahi wainailaihi rojiun

6 Februari 2013
TAIPING - Seorang warga emas, berdepan detik mencemaskan apabila kereta jenis Perodua Kancil yang dipandunya terlibat dalam kemalangan.

Menurut mangsa yang dikenali sebagai Sariah, 74, dia rasa hairan apabila melihat keretanya senget sewaktu dipandu melalui Jalan Kuning, di sini.

"Tiba-tiba saya rasa kereta saya senget, apabila saya lihat kawsan sekeliling barulah saya sedari yang saya telah termasuk dalam longkang besar di kiri jalan terbabit," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, semalam, Sariah yang memandu bersendirian dari Kamunting menuju ke arah Air Kuning langsung tidak menyedari kereta telah menjunam dalam longkang berkenaan.

“Makcik tak sedar langsung macam mana boleh berada dalam longkang, tiba-tiba kereta ni dah senget sebelah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sariah berkata, sebaik menyedari dirinya terlibat dalam kemalangan itu, dia cuba menggagahkan diri merangkak keluar dari dalam kereta tersebut dibantu beberapa orang awam.

Katanya, meskipun tidak mengalami sebarang kecederaan, peristiwa itu agak mengejutkan dirinya apatah lagi laluan itu digunakan hampir setiap hari.

Sinar Harian difahamkan, beberapa kenderaan lain pernah mengalami situasi sama yang dikatakan berpunca daripada saluran longkang besar yang dibiarkan tanpa penutup.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/kereta-masuk-longkang-1.128668


Wanita maut kemalangan Avanza dan Mercedes

Keadaan Toyota Avanza yang dinaiki mangsa remuk teruk selepas masuk ke laluan bertentangan


Inalillahi wainailaihi rojiun

6 Februari 2013
BENTA - Seorang wanita maut setelah terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 23 Jalan Lipis-Benta kira-kira jam 9.30 pagi, kelmarin.

Keadaan kereta Mercedes yang mengalami kerosakan di bahagian hadapan kereta akibat kemalangan


Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, ketika kejadian, mangsa, Hajrah Mustafa, 24, dalam perjalanan dari Padang Tengku ke Kuala Lumpur dengan menaiki kereta Toyota Avanza yang dipandu suaminya Muhammad Syahid Roslan, 24.

Menurutnya, kenderaan yang dipandu Muhammad Syahid dipercayai hilang kawalan sebelum berpusing beberapa kali dan memasuki laluan bertentangan.

“Dalam masa sama, sebuah kereta Mercedes yang dipandu seorang lelaki, Md Rafiqul Islam, 44, datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kelantan tidak sempat mengelak kenderaan yang dinaiki pasangan suami isteri berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, Muhammad Syahid dan Hajrah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk menerima rawatan akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurutnya, Md Rafiqul yang cedera di bahagian kaki dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk menerima rawatan.

“Namun, setelah hampir seharian bertarung nyawa di Hoshas, Hajrah disahkan meninggal dunia pagi semalam akibat kecederaan di kepala serta beberapa bahagian badan lain,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Johnny James Bujang  di talian 09-3122222 bagi membantu siasatan.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/kereta-dipandu-suami-terbabas-1.128792


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my