loading...

Friday, February 8, 2013

Pemandu lori maut penunggang motosikal patah kaki


8 Februari 2013
TASEK GELUGOR - Seorang pemandu lori maut apabila kenderaan dipandunya terlibat kemalangan membabitkan kereta dan motosikal di Simpang 3, Tai Tong, di sini, lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam itu, mangsa, Ooi Hian Huat, 58, yang memandu lori berseorangan, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki.

Mangsa yang tersepit di tempat pemandu selepas bahagian hadapan lorinya remuk hanya berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku semasa Hian Huat, dari arah Kampung Selamat, Pinang Tunggal gagal mengawal lorinya semasa melalui kawasan itu sebelum merempuh kereta dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.

“Kesan rempuhan kuat tersebut menyebabkan kereta Toyota Vios dari arah Tasek Gelugor menghala ke Kampung Selamat itu berpusing lalu mengenai motosikal ditunggangi seorang lelaki.

“Hian Huat mengalami kecederaan parah di kepala dan kaki selepas tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta cedera ringan dan penunggang motosikal patah sebelah kakinya dalam kejadian itu,” katanya.

Dua mangsa yang cedera itu dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya bersama mayat Hian Huat untuk proses bedah siasat.

Kejadian tersebut menyebabkan laluan terbabit mengalami kesesakan teruk, bagaimanapun tindakan pantas anggota trafik mengawal keadaan berjaya melancarkan kembali aliran trafik.

Abdul Rahman berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/pemandu-lori-maut-tersepit-1.129364


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my