loading...

Saturday, February 9, 2013

Gara-gara mencelah



10 Februari 2013
IPOH - “Saya hanya menjerit memanggil isteri dan anak-anak untuk memastikan mereka berada dalam keadaan selamat,” luah Khairul Nizam Muhd Nor, 31.

Khairul bersama isteri dan tiga anaknya dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Kuala Kangsar sempena cuti Tahun Baru Cina sebelum terbabit dalam kemalangan di Kilometer 271.4 berhampiran Plaza Tol Jelapang, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, lima sekeluarga terbabit yang menaiki kereta Proton Waja dipandu Khairul hilang kawalan lalu merempuh belakang kereta Proton Iswara sebelum terbakar di sisi jalan tersebut.

“Saya menyangka laluan itu lurus, namun kereta di hadapan (Iswara) mencelah secara tiba-tiba. Saya bertindak menekan brek, sambil memaut stereng ke kanan sehingga menyebabkan kereta bergegar dengan kuat.

“Asap tebal dan api mula marak di bahagian luar kereta dan saya tanpa berfikir panjang segera menendang pintu belakang kenderaan bagi menyelamatkan anak-anak,” katanya yang turut dibantu orang awam.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang saksi, Mohd Shahrizan Ahmad, 35, berkata, ketika tiba tempat kejadian dia terlihat asap mula keluar daripada bahagian hadapan kereta.

“Bau petrol juga semakin lama, semakin kuat dan percikan api mula membesar dan marak sehingga menyebabkan kedua-dua kereta rosak teruk,” katanya yang menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat  berhampiran.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Kamarulzaman Subari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.30 petang untuk menjalankan kerja menyelamat.

“Kami berjaya memadam kebakaran pada kedua-dua kereta berkenaan dan semua mangsa dilaporkan selamat,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/gara-gara-mencelah-dua-kereta-terbakar-1.129864


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my