loading...

Wednesday, February 6, 2013

Staf Kolej Unifield Maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

6 Februari 2013
ALOR GAJAH - Seorang kakitangan sokongan Kolej Unifield, Simpang Ampat, di sini, maut selepas kereta jenis Proton Exora milik kolej terbabit yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas merempuh sebatang pokok di jalan Kampung Bukit Apit, Ayer Limau, di sini, petang semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Rosli Abu, 47, turut membawa wang berjumlah anggaran RM50,000 dari kolej berkenaan menuju ke sebuah bank di pekan Masjid Tanah.

Anak sulung mangsa, Nurfatin Fatihah Rosli, 18, berkata, dia bersama tiga adiknya, Nurul Idayu, 16, Mohd Izzudin, 13, dan Muhammad Ammar Syahmi, 7, sempat bertemu arwah bapanya malam sebelum kejadian.

Menurutnya, ketika itu, arwah bapanya berpesan supaya menjaga diri dan adik-adik.

“Sebelum itu, saya hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ayah kerana rindu hendak jumpanya tetapi ayah maklumkan tidak dapat datang.

“Tetapi tidak lama selepas itu, arwah ayah memberitahu dia berada di hadapan rumah dan bersedia untuk membawa kami dan adik-beradik keluar,” katanya.

Nurfatin Fatihah berkata, ketika keluar bersama, arwah ayahnya sempat membawa adiknya, Mohd Izzudin ke kedai gunting rambut dan belikan mereka makanan.

“Pada malam itu, saya lihat ada perubahan pada diri arwah ayah. Hati saya berasa tidak tenang apabila melihat arwah ayah seolah-olah berat hati untuk pulang dan merenung kami adik beradik sebelum saya masuk ke dalam rumah untuk solat Isyak.

“Selepas itu, saya berasa tidak sedap hati apabila melihat adik bongsu merayu meminta arwah ayah tidak tinggalkan kami,” katanya.

Katanya, arwah ayahnya juga sempat berpesan supaya meminta wang daripadanya sekiranya memerlukan.

“Kami adik-beradik tinggal bersama ibu, Haizatul Ahmad, 43, yang hanya bekerja di sebuah kilang di Londang, Masjid Tanah, selepas berpisah dengan arwah ayah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Suhaimi Mohd Razali berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 2.42 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama lima anggota.

“Kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

“Ketika itu, mangsa yang cedera di bahagian muka mengadu sakit di bahagian dada dan belakang badan sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Masjid Tanah,” katanya.

Katanya, sebelum itu, mangsa sempat meminta pihaknya menyelamatkan beg yang diletak dalam kereta berisi sejumlah wang dan memberitahu ia amanah pihak kolej kepadanya atas urusan kewangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Masjid Tanah.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke bilik mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/rosli-pesan-anak-jaga-diri-1.128621



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my