loading...

Tuesday, January 24, 2012

Tragedi Tahun Baru Cina



SEREMBAN 24 Jan. - Hasrat lima beranak untuk bergembira bagi meraikan Tahun Baru Cina bersama ahli keluarganya di Puchong, Selangor, bertukar tragedi apabila pasangan suami isteri keluarga itu maut dalam kemalangan di Jalan Mantin-Beranang di Nilai dekat sini hari ini.



Selain pasangan itu, kemalangan ngeri melibatkan dua buah kereta yang berlaku pada pukul 12.30 tengah hari itu turut mengorbankan seorang lagi lelaki yang memandu kereta yang bertembung dengan mereka.

Mereka yang terbunuh ialah penumpang belakang kereta Toyota Vios, Lim Fong Len, 74, dan isterinya, Chong Yoon Ying, 57, serta Tee Chan Hen, 23, yang memandu kereta Proton Saga.

Tiga lagi anak mangsa dalam kereta Toyota Vios terbabit termasuk pemandu dan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Seorang saksi, Zakaria Mohd. Kadir, 23, memberitahu, ketika kejadian, dia bersama tiga lagi rakannya sedang bekerja membaiki paip bocor di tepi jalan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, dia terkejut apabila terdengar satu bunyi letupan kuat dan mendapati dua buah kereta dalam keadaan remuk akibat bertembung, iaitu kira-kira 20 meter dari lokasi dia berada.

"Ekoran kejadian itu, saya bersama rakan yang lain berlari ke lokasi kejadian dan cuba membantu mengeluarkan penumpang dalam kereta Toyota Vios terbabit.

"Keadaan ketika itu sungguh mencemaskan kerana beberapa penumpang dalam kereta Toyota Vios terbabit mengerang kesakitan, manakala pemandunya yang tersempit itu pula menjerit-jerit meminta tolong.

"Pemandu kereta Proton Saga itu pula saya lihat sudah tidak bernyawa dan mayat mangsa pula tersepit dalam kenderaannya yang remuk," katanya ketika ditemui dilokasi kejadian di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, pemandu kereta Proton Saga itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Tambah beliau, seorang penumpang dalam kereta Toyota Vios itu meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Mantin dan seorang lagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dekat sini untuk menerima rawatan.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang maut itu merupakan ibu bapa kepada pemandu kereta Toyota Vios terbabit dan berasal dari Taman Desa Mantin dekat sini.

"Ketiga-tiga mangsa maut selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan manakala semua mangsa yang parah menerima rawatan susulan di HTJ.

"Siasatan awal polis mendapati, ketika kejadian lima beranak yang menaiki kereta Toyota Vios tersebut dipercayai dalam perjalanan menghala ke Beranang, manakala kereta Proton Saga yang dipandu seorang lelaki itu menghala ke Mantin.

"Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian kereta Proton Saga itu dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Toyota Vios itu," katanya.

Mohd. Yusoff berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan semua mayat dibawa HTJ untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.

Takziah...

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_06.htm
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my