loading...
Wednesday, August 17, 2011
Teksi Berlanggar Ambulans
MELAKA: “Sebaik menghampiri ambulans, jururawat wanita itu mengerang kesakitan dan meminta tolong lalu saya mengangkatnya dengan berhati-hati ke tepi jalan,” kata anggota penyelamat pantai sambilan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Tan Bun Han, 40, saksi kejadian kemalangan membabitkan ambulans dan teksi, di Jalan Tun Abdul Razak menghala ke Plaza Tol Ayer Keroh, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, ambulans yang dinaiki lima orang termasuk pesakit wanita warga emas yang kritikal akibat pendarahan kepala, terbalik di tengah jalan sejurus dirempuh teksi dari arah Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Kejadian di persimpangan Seri Negeri-MITC, itu menyebabkan pesakit, Mariam Baba, 73, yang disamun di rumahnya di Bukit Rambai, kira-kira sembilan jam sebelum itu dan dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) cedera parah dan kini menerima rawatan intensif di Hospital Melaka (HM).
Sementara itu, jururawat, Yuhanis Yasin, 30, juga dirawat di HM, manakala doktor lelaki berusia 25 tahun terpaksa dirujuk ke HKL akibat kecederaan parah dialami.
Dua lagi mangsa, pembantu perawatan dan pemandu ambulans, Mambang Rudy Hartono, masing-masing berusia 56 dan 41 tahun, hanya cedera ringan, manakala pemandu teksi dikenali, Ali Muhammad Don tidak cedera.
Menurut Tan, dia berada di belakang ambulans dan mendakwa melihat kenderaan itu dilanggar teksi berkenaan di bahagian belakang menyebabkannya hilang kawalan dan terbalik.
“Saya berhenti di persimpangan apabila lampu isyarat bertukar merah dan memberi laluan kepada ambulans meneruskan perjalanan.
“Tiba-tiba muncul teksi dari arah MITC melanggar sebelah kiri di bahagian belakang ambulans menyebabkan ia terhuyung-hayang sebelum terbalik ke sebelah kanan.
“Saya terus memandu ke arah ambulans untuk memberi bantuan,” katanya.
Tan berkata, dia kemudian didatangi seorang lelaki mengatakan ibunya yang sakit berada di dalam ambulans dan menolongnya dengan dibantu pemandu dan atendan ambulans.
“Kami membuka pintu belakang ambulans dan ternampak pesakit sedang tertiarap, manakala doktor lelaki yang cedera di kepala berusaha keluar sendiri melalui cermin hadapan yang pecah sebelum baring di bahu jalan.
“Saya kemudian membantu atendan dan pemandu ambulans mengeluarkan pesakit sebelum orang ramai datang membantu lalu saya menelefon talian kecemasan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Azmi Hashim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian membabitkan kakitangan HM dan pesakit terbabit.
“Saya difahamkan keadaan pesakit wanita dan jururawat adalah tenat dan masih dirawat ketika ini, manakala doktor sudah dirujuk ke HKL. Pemandu ambulans dan pembantu perawatan pula cedera ringan,” katanya.
Ketua Turus Trafik dan Ketenteraman Awam Melaka Tengah, Asisten Superintendan V Gunasegaran berkata, siasatan awal pihaknya mendapati ambulans dari HM sedang membawa pesakit menuju ke HKL memberi siren dan terus bergerak ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat Seri Negeri-MITC.
“Apabila tiba di pertengahan simpang, tiba-tiba sebuah teksi keluar dari simpang MITC ke Seri Negeri menyebabkan ambulans berlanggar dengannya dan terbalik.Menurutnya siasatan lanjut masih dilakukan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi cawangan Trafik IPD Melaka Tengah di talian 06-283 4139.
Sumber: Metro
Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment