loading...
Friday, August 19, 2011
3 Beranak Maut di Simpang Awana Kijal
Al-Fatihah
KEMAMAN: Hanya pakaian raya yang baru dibeli menjadi kenangan abadi tiga beranak yang terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 127, Jalan Kuala Terengganu–Kuantan di persimpangan masuk ke Awana Kijal & Spa Resort, Kijal, di sini, kelmarin.
Kejadian pada jam 11.15 malam itu berlaku ketika mangsa, Aswari Ariffin, 36, isterinya, Nik Herna Haryani Mokhtar, 28, dan anak tunggal mereka, Mohd Airil Zufairi Aswari, 3, dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Gong Cengal, Kemasek, di sini, selepas membeli persiapan Aidilfitri di Kuantan.
Mereka mati di tempat kejadian manakala adik Nik Herna, Nik Nursyafikah Mokhtar, 10, yang berada dalam kenderaan itu patah kaki dan tangan serta cedera di kepala dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Viva dipandu Aswari dari Kuantan ke Kuala Terengganu terbabas sebelum bertembung sebuah Suzuki Swift yang datang dari arah bertentangan.
Menurut seorang lagi adik Nik Herna, Nik Mohd Khairul Azim Mokhtar, 20, ahli keluarganya itu mengambil kesempatan cuti umum sempena Nuzul Quran untuk membeli-belah bagi menyambut Aidilfitri di Kuantan.
“Abang ipar saya (Aswari) yang bekerja di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, baru mendapat gaji Selasa lalu dan dia menyewa Perodua Viva untuk membawa keluarganya membeli persiapan menyambut Aidilfitri.
“Dia bersama kakak dan anak bertolak ke Kuantan pada jam 11 pagi, tapi kira-kira sejam kemudian mereka berpatah balik untuk mengambil Nik Nursyafikah kerana sudah berjanji membawanya untuk membeli baju raya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Kemaman, semalam.
Nik Mohd Khairul berkata, dia tahu mengenai kemalangan itu selepas ibunya menerima panggilan daripada seorang ahli keluarga yang memaklumkan kejadian pada jam 12 tengah malam.
“Kami bergegas ke tempat kejadian dan mendapati semua mereka sudah dibawa ke Hospital Kemaman.
“Apabila tiba di hospital, kami terkejut apabila mendapati kakak, abang ipar dan anak mereka sudah meninggal dunia manakala Nik Nursyafikah dihantar ke HSNZ untuk rawatan lanjut,” katanya.
Bapa Nik Herna, Mokhtar Said, 52, berkata malam sebelum kejadian dia hairan melihat cucunya, Mohd Airil bangun bersahur dan membawakan segelas air minuman.
“Saya agak terkejut kerana sebelum ini dia tidak pernah bangun sahur dan kelihatan ceria sepanjang pagi itu, namun saya tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk bakal berlaku,” katanya yang mengakui tidak berasa sedap hati dan berdebar sejak beberapa hari lalu.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata ketika kejadian, keluarga terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Gong Cengal, Kemasek di sini, selepas membeli-belah di Kuantan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta mangsa terbabas dan gagal dikawal lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung sebuah Suzuki Swift yang datang dari arah Kuala Terengganu,” katanya.
Menurutnya, tiga beranak terbabit meninggal dunia di tempat kejadian manakala Nik Nursyafikah parah di kepala serta badan dikejarkan ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pemandu Suzuki Swift, Ahmad Tajuddin Mohd Ariffin, 25, pekerja Tenaga Nasional Berhad yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Chukai patah kaki dan masih dirawat di Hospital Kemaman,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa yang meninggal dunia dipercayai akibat parah di kepala dan badan dibawa ke Bilik Mayat Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Jenazah tiga beranak itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Pekan Kemasik di sini, pada jam 2 petang semalam.
Sementara itu, abang ipar Nik Herna, Rahmat Idris, 29, yang ditemui di HSNZ memaklumkan Nik Nursyafikah berada dalam keadaan koma sejak dipindahkan ke hospital itu, awal pagi semalam.
“Saya tidak pasti keadaan sebenar Nik Nursyafikah yang juga anak bongsu daripada sembilan beradik, cuma dimaklumkan doktor dia patah kaki dan tangan,” katanya.
Sumber: Kosmo
myMetro
Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
assalamualaikum..bukan suami dia bawak keta. Isteri dia lah..kakak member saya, Skrg ni tgh pening duk cari mcm mana nak hack facebook arwah ni.. Tahun lepas adik sy sendiri kemalangan kat kawasan kemasik juga.. al-fatihah :JIKA ADA MAKLUMBALAS SILA TAMPAL TEXT ANDA DI CBOX BLOG SY www.virussmile.blogspot.com
ReplyDelete