loading...
Sunday, August 28, 2011
Beraya Di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS)
TEMERLOH – Hasrat seorang perunding teknologi maklumat (IT) untuk pulang ke kampung halaman dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan bersama 10 ahli keluarga musnah apabila dia terlibat dalam kemalangan di Kilometer 14.5 Jalan Bentong Raub kira-kira jam 1 petang, Jumaat lalu.
Akibatnya, Wan Jamali Wan Kamarudin, 39, kini ditempatkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh dan berkemungkinan besar terpaksa beraya di wad.
Menceritakan detik kejadian, Wan Jamali berkata, ketika kejadian dia bersama 10 ahli keluarga merancang perjalanan untuk pulang awal.
Menurutnya, ketika tiba di pertengahan jalan antara Raub dan Bentong, dia memandu secara perlahan untuk singgah di masjid bagi menunaikan solat Jumaat.
“Tiba-tiba datang sebuah kenderaan dari arah bertentangan memasuki lorong dipandu saya lalu menyebabkan rempuhan secara berhadapan.
“Akibatnya saya tersepit dan alami cedera parah di kaki dan tangan, nasib baik semua ahli keluarga hanya alami calar-calar pada badan,” katanya, semalam.
Wan Jamali berkata, doktor sahkan lutut kanannya cedera teruk dan perlu dibedah.
Menurutnya, tangan kirinya juga patah dan kemungkinan besar raya tahun ini tidak dapat disambut bersama sanak saudara di kampung.
Wan Jamali berkata, isterinya juga yang kampungnya di Tumpat telah pulang bersama anak-anak ke rumahnya di Kuala Lumpur dan kemungkinan besar tidak pulang beraya di kampung halaman.
“Kami memang tinggal di Tumpat, jadi tidak ada masalah untuk merancang perjalanan balik awal ke kampung.
“Namun apakan daya, ini adalah pengalaman pertama beraya di hospital.
“Saya nasihatkan kepada mereka yang memandu pulang ke kampung di saat akhir supaya berhati-hati ketika memandu,” katanya.
Wan Jamali ditemui Sinar Harian ketika Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah mengadakan ziarah bertemu pesakit di HoSHAS, pagi semalam.
Dalam kemalangan terbabit pemandu kereta yang bertembung dengan kenderaan Wan Jamali meninggal dunia di tempat kejadian.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment