LUMUT: Seorang maut, tiga cedera parah manakala 17 yang lain cedera ringan dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan sebuah kereta Proton Waja di KM8, Jalan Sitiawan-Teluk Intan, Lekir, Manjung awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohd Jamil Osman, berkata bas berkenaan dalam perjalanan dari Seri Manjung ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang, Selangor, manakala Proton Waja terbabit datang dari arah Klang, Selangor, menuju ke Seri Manjung.
"Nahas 1.15 pagi itu berlaku apabila kereta yang dinaiki mangsa memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan bas ekspres terbabit dan mengakibatkan bas tersebut tergelincir serta memasuki longkang di kiri jalan.
"Anak lelaki pemandu kereta itu yang berusia lapan tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
"Manakala pemandu kereta tersebut yang dikenali sebagai Maruan Jalil, 41, dan seorang lagi anak perempuannya serta seorang penumpang bas ekspres berkenaan dikejarkan ke Hospital Raja Pemaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk menerima rawatan," katanya.
Ketika kejadian bas berkenaan sedang membawa 26 penumpang dan baru sahaja 15 minit bertolak dari Seri Manjung menuju LCCT.
Kereta terbabit pula dinaiki enam orang yang dipercayai baru pulang daripada bercuti di Klang.
Mohd Jamil berkata, semua 17 penumpang bas itu dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Seri Manjung (HSM).
Katanya, pelanggaran itu menyebabkan kereta terbabit remuk teruk di bahagian depan manakala bumbungnya hampir tercabut.
"Polis masih menyiasat punca kejadian," katanya.
Mohd Jamil berkata pemandu bas yang dikenali sebagai Julie Marail, 32, mengalami patah tangan dan dibenarkan keluar dari HSM beserta 17 penumpang.
"Seramai 12 orang penumpang bas itu bagaimanapun meneruskan perjalanan ke LCCT kerana mereka sudah menempah tiket penerbangan ke destinasi masing-masing," katanya. - BERNAMA
Sumber Berita: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/1maut_3parahnahaskereta-basekspres/Article
Sumber Gambar: http://fotoweb.bernama.com/
No comments:
Post a Comment