loading...

Friday, May 11, 2012

Bas Persiaran Rempuh Pokok


NILAI: Pemandu sebuah bas persiaran yang dalam perjalanan membawa 28 penumpang ke Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang, terbunuh selepas kenderaan itu terbabas dan merempuh pokok di Batu 11, Jalan Gadong Jaya, dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu turut menyebabkan tujuh penumpang, rata-ratanya wanita warga emas cedera termasuk seorang masih kritikal.


Pemandu bas berkenaan, K Gunachandar, 52, maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), dekat sini. Jurucakap polis berkata, bas yang membawa sembilan lelaki dan 19 wanita berusia antara 40 hingga 72 tahun itu dalam perjalanan dari Tampin ke LCCT.

“Setiba di tempat kejadian, pemandu bas dipercayai gagal mengawal kenderaannya di satu selekoh lalu terbabas dan melanggar pokok serta terbalik.


“Mangsa meninggal dunia akibat cedera teruk di kepala dan badan manakala semua penumpang yang cedera dirawat di HTJS termasuk seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU),’’ katanya di sini, semalam.


Menurutnya, kemalangan mengakibatkan bahagian depan bas itu remuk teruk yang terpaksa dipotong pihak bomba untuk mengeluarkan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.




Terpelanting 

“Saya serta suami panik apabila bas terhuyung-hayang dan beberapa minit kemudian kami terpelanting keluar melalui tingkap depan. Semua penumpang bas ketika itu menjerit dan ada yang memecahkan tingkap bas untuk menyelamatkan diri,” kata Law Tau Fong, 62, semalam.

Warga emas itu antara 28 penumpang bas dari Tampin yang terbabas dan melanggar pokok lalu terbalik di Batu 11, Jalan Gadong Jaya, dekat sini, awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu mengorbankan pemandu bas, K Gunachandar, 52, yang mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) akibat mengalami kecederaan parah selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Difahamkan, rombongan itu dalam perjalanan ke Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang untuk bercuti ke Chiangmai, Thailand.


Menurut Law, kejadian berlaku sejam selepas bas berkenaan bertolak dan sebahagian besar penumpang sedang tidur.






Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Basmelekatdipokok/Article/index_html
nst.com.my/nation/general/driver-dies-as-bus-rams-into-tree-1.82984
thestar.com.my/news/story.asp?file=/2012/5/12/nation/11280531&sec=nation
thesundaily.my/news/375969

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my