loading...

Saturday, January 21, 2012

Mengangkat Mayat Ahli Keluarga Sendiri



KUALA KANGSAR - Seorang anggota polis, Koperal A. Maniveran tidak menyangka akan mengangkat mayat tiga ahli keluarganya sendiri yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 253.3 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini, hari ini.

"Sebelum ini saya mengangkat mayat orang lain, kali ini tak sangka saya angkat mayat anggota keluarga saya sendiri," katanya yang bertugas sebagai penguat kuasa trafik di IPD Ipoh.

Seorang warga emas bersama anak dan cucunya terbunuh apabila kereta yang mereka naiki melanggar bahagian belakang sebuah treler awal pagi ini.

Mangsa yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Letchumy Manikan, 77, iaitu penumpang duduk di sebelah kiri pemandu, anaknya Espury Apparoo, 60, dan cucunya Naren, 5, penumpang duduk di bahagian belakang.

Yang cedera parah pula pemandu kereta itu, S. Ambiggan, 26, Maruthayee Apparoo, 53, dan S. Veneswaran, 11. Pemandu lori yang berumur 57 tahun itu tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Supt Abdul Gaffar Mohamad berkata, dalam kejadian jam 1.15 pagi tadi, keluarga itu dalam perjalanan dari Sungai Besi, Kuala Lumpur ke Butterworth.

"Semasa kejadian hujan renyai dan jalan licin serta kawasan tempat kejadian berbukit. Treler yang membawa gulungan plat besi berada di sebelah kiri jalan dan dalam keadaan perlahan kerana jalan di situ berbukit.

"Tiba-tiba pemandu treler terdengar bunyi dentuman dari arah belakang dan memberhentikan kenderaannya dan mendapati sebuah kereta telah langgar belakang lorinya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Bedah siasat ke atas mangsa yang terbunuh telah dijalankan di Hospital Kuala Kangsar pada 10 pagi tadi manakala mereka yang cedera dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Maniveran berkata, beliau bersama ibu, adik-beradik dan saudara yang lain dalam perjalanan dari Sungai Besi kerana menghadiri majlis perkahwinan seorang kakaknya. "Kami menaiki kereta berasingan, saya sampai dulu di Ipoh. Apabila terima berita kejadian ini daripada adik, saya terus ke tempat kejadian," katanya yang bertugas sebagai anggota polis di Ipoh.

Menurut Maniveran, kata-kata terakhir Espury kepadanya ialah  memberi pesanan supaya berhati-hati ketika memandu.

"Akak saya anak sulung daripada lapan beradik. Dia memang rapat dengan saya, saya takkan lupa pesanan terakhir dia untuk saya," katanya.

Salam Takziah

Sumber:
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm
sinarharian.com.my/nasional/koperal-polis-tak-sangka-akan-angkat-mayat-keluarga-sendiri-1.19360

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my