loading...

Saturday, January 21, 2012

Batu Pahat catat kemalangan tertinggi di Johor

 NORIZAN Kulob mengikat tali topi keledar seorang kanak-kanak pada Majlis Pelancaran 
Kempen Keselamatan Jalan Raya di Batu Pahat

BATU PAHAT 20 Jan. - Daerah ini mencatat kematian akibat kemalangan jalan raya tertinggi di Johor dua tahun berturut-turut mulai 2010.

Jumlah kematian akibat nahas jalan raya di daerah ini sepanjang tahun lalu 192 orang berbanding 177 tahun sebelumnya.

Seramai 1,073 orang maut dalam nahas jalan raya di negeri ini sepanjang tahun lalu berbanding 1,075 mangsa 2010.

Secara purata, lebih seorang pengguna jalan raya dilaporkan maut setiap dua hari di daerah ini, manakala hampir tiga orang maut setiap hari di seluruh negeri ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Noormazura Mat Nawi berkata, peningkatan jumlah kematian itu agak membimbangkan dan statistik juga menunjukkan Batu Pahat mencatat kematian tertinggi sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, lokasi utama kemalangan di daerah ini adalah di Jalan Batu Pahat-Kluang dan berharap apabila pembahagi jalan serta laluan pusingan U yang sedang dalam pembinaan disiapkan, ia dapat mengurangkan kemalangan.

"Jalan di sini lebar dan lurus, manakala di kiri dan kanan pula ada kampung serta perumahan menyebabkan masalah timbul apabila penduduk hendak membelok masuk atau keluar ke simpang perumahan.

"Ada juga yang lambat memberi isyarat membelok. Justeru, kalau kenderaan di belakang agak perlahan pun mungkin sukar hendak mengelak daripada terlanggar," katanya pada majlis Pelancaran Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina di Jalan Setia Jaya di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Norizan Kulob.

Jalan Raya (MKJR) negeri yang turut mengedarkan risalah keselamatan dan hamper kepada pengguna jalan raya sempena sambutan Tahun Baru Cina ini.

Noormazura berkata, sepanjang tahun lalu, daerah Kluang mencatat bilangan kematian akibat nahas jalan raya kedua tertinggi iaitu 119 orang, diikuti Johor Bahru Selatan seramai 109 mangsa.

Katanya, bilangan kemalangan tertinggi di negeri ini sepanjang tahun lalu dicatatkan di Johor Bahru Selatan iaitu 10,975 kes, meningkat berbanding 10,177 tahun sebelumnya.

"Daerah Batu Pahat mencatatkan bilangan kemalangan lebih rendah iaitu 7,455 sepanjang tahun lalu dan 7,112 pada 2010, tetapi menyebabkan lebih banyak kematian.

"Aliran trafik lebih tinggi di Johor Bahru Selatan mengakibatkan lebih banyak kemalangan dan ada antaranya kemalangan kecil," katanya.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_03.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my