GOMBAK – Perjalanan pulang sepasang suami isteri ke Jerantut, Pahang selepas melawat anak di Seksyen 13 Shah Alam bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 41.2, Lebuh raya Duta-Ulu Klang Expressway (Duke) arah utara, di sini, semalam.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintenden Abdullah Roning berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.55 pagi.
“Kereta Proton Putra yang dipandu seorang anggota Polis Unit Cawangan Khas Bukit Aman yang cuba mengelak motosikal di sebelah kirinya lalu terbabas dan merempuh sebuah kereta Kancil.
“Kereta kancil itu dinaiki sepasang suami isteri bersama adiknya itu terseret dan terbalik sejauh tiga meter,” katanya.
Akibatnya, Rosnah Mat Nor, 65, maut di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Manakala suaminya, Baharuddin Hussin dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, saksi yang juga pemandu teksi, Amir Arshad, 47, berkata, ketika kejadian dia berada di bahagian belakang kereta mangsa yang terletak di tengah antara tiga lorong lebuh raya itu.
“Dari jauh melalui cermin pandang belakang saya ternampak dua kereta satu jenis Mitsubishi Evo dan Proton Putra berwarna putih sedang berlumba dalam keadaan merbahaya.
“Melihat keadaan itu saya terus mengelak ke kiri jalan. Sebaik dua kereta itu melepasi kereta saya, terus ternampak kepulan asap di depan manakala kereta Kancil sedang berpusing sebelum terbalik di tengah lebuh raya,” katanya.
Menurut Amir, kereta Proton Putra yang hilang kawalan dipercayai melanggar sebatang pokok sebelum bergesel dengan kereta kancil tersebut dan dua motosikal, masing-masing dinaiki seorang penunggang.
Katanya, pemandu kereta Evo terus melarikan diri, manakala kereta Proton Putra terbabas di kiri jalan arah ke utara berhadapan Tanah Perkuburan Islam Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak.
“Saya melihat ke tempat kemalangan mendapati pemandu Kancil lingkungan 60-an, terselamat dan masih boleh keluar daripada kenderaan, manakala isterinya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.
Amir berkata, penunggang dua motosikal terbabit dilihat mengalami kecederaan bahagian bahu.
Katanya,semua mangsa tercedera dapat segera dibawa ke hospital kerana kebetulan terdapat ambulans melalui lebuh raya itu.
Sementara itu, Peronda Lebuh raya Duke, Anuar Borhan, 39, berkata, sebaik kejadian dia terus menelefon bilik gerakan polis sebelum mereka sampai beberapa minit kemudian.
“Ambulans membawa kesemua mangsa tercedera ke Hospital Selayang. Sementara mangsa yang maut terpaksa dikeluarkan dengan bantuan bomba.
Difahamkan berikutan marah dengan kejadian itu, sekumpulan penduduk berhampiran bertindak membelasah pemandu Proton Putra tersebut.
Bagaimanapun, tindakan penduduk itu berjaya ditenangkan polis, manakala kejadian menyebabkan lebuh raya sesak sepanjang kira-kira dua kilometer ke arah utara.
Untuk maklumat dan gambar yang lebih lanjut, layari ondscene.my
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/selangor/content/story9006335.asp
http://ondscene.my/kemalangan/bekal-nasi-terakhir-buat-ibu
berada di jalan raya seperti satu pertarungan nyawa... huhu
ReplyDelete