loading...

Wednesday, May 2, 2012

Kemalangan Hari Pekerja



HULU SELANGOR 1 Mei - Hasrat sekumpulan penduduk kampung dari Chenderiang, Tapah, Perak untuk bercuti di Melaka sempena sambutan Hari Pekerja hari ini tidak kesampaian apabila bas persiaran yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan awal pagi ini.

Kemalangan kira-kira pukul 1.50 pagi itu telah mengakibatkan tiga termasuk pemandu bas maut setelah kenderaan itu merempuh tembok simen di kawasan pembinaan jalan di Kilometer 434.2, berhampiran susur keluar Bukit Beruntung sewaktu bas itu menghala ke ibu negara.

Difahamkan, kemalangan berpunca daripada kegagalan pemandu bas melihat tembok simen yang digunakan untuk kerja-kerja pembinaan plaza tol baru Sungai Buaya, Rawang akibat keadaan sekitar yang begitu gelap.

Setelah merempuh tembok simen itu, bas yang membawa seramai 48 ahli rombongan pelbagai bangsa itu dikatakan terseret sejauh 50 meter sebelum merintangi lebuh raya berkenaan.

Ia mengakibatkan pemandu bas terbabit iaitu S. Velmuruvu, 44; penumpang wanita, K. Vimala, 58, serta seorang Orang Asli dari Kampung Sungai Balik, Setapa Mat, 46, maut selepas tercampak keluar dari bas itu.

Seramai 26 penumpang lain turut mengalami kecederaan namun kesemua mereka dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

Rombongan berkenaan difahamkan dalam perjalanan untuk melawat beberapa tempat menarik di sekitar Melaka sempena cuti umum dan dijadualkan pulang pada hari yang sama.

Sementara itu, anak kedua kepada Vimala, K. Ragunathan, 37, kecewa kerana kemalangan itu berlaku di kawasan gelap yang sepatutnya mempunyai kemudahan lampu kerana kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan.

“Saya diberitahu, ibu seronok sekali dapat berjalan-jalan ke Melaka bersama penduduk kampung dan ini kali pertama dia menaiki bas untuk bercuti.

“Bagaimanapun malang menimpa dan saya amat berdukacita sekali dengan punca terjadinya kejadian. Nasib baiklah dua anak saudara saya yang berusia 10 dan 13 tahun terselamat dalam kejadian ini," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Kuala Kubu Bahru hari ini.

Seorang lagi anak mangsa, Syamin Setapa, 18, pula terkilan kerana bapanya, Setapa tidak sempat ditemuinya buat kali terakhir.

“Saya hanya bertemunya awal bulan lalu setelah berhijrah ke ibu negara dan rasa sedih kerana tidak sempat menyerahkan sebahagian gaji pertama saya kepadanya untuk membantu menyara empat lagi adik," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya mengesahkan kejadian itu dan memberitahu kejadian disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Dalam pada itu, wartawan televisyen NTV7, Sarinah Salleh, 46, cedera setelah terlibat dalam kemalangan berhampiran Bandar Country Homes, Rawang ketika menuju ke lokasi kemalangan itu.

Sumber:
utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my