loading...

Thursday, February 14, 2013

Rempuh lori simen



14 Februari 2013
BERTAM ULU - Perjalanan pulang selepas melawat ibu mertua sempena Tahun Baru Cina bertukar tragedi bagi seorang pemandu lori apabila kereta dipandunya merempuh sebuah lori simen di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumpai-Ayer Keroh  (SPA) di sini, malam kelmarin.

Tee Hiap Kiong, 47, dari Masjid Tanah maut di tempat kejadian manakala isteri, Kee Lay Chern, 46, dan anak perempuannya, Tee Woan Ying, 17, kini koma.

Seorang lagi anak perempuannya, Tee Xiin Ru, 16, patah kaki dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 9 malam berhampiran Bertam Ulu turut dikejarkan ke Hospital Melaka.

Difahamkan, empat beranak itu dalam perjalanan balik ke rumah mereka di Masjid Tanah, Alor Gajah dari Sungai Mati, Muar, Johor sebelum berlanggar lori simen berkenaan.

Pemandu lori tersebut, Mohd Aris Isnin, 47, dia dalam perjalanan menuju ke kilang simen dan konkrit di sekitar lokasi kejadian selepas menghantar bahan berkenaan di Simpang Ampat.

“Saya yang sedang memperlahankan pemanduan dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah belakang hingga menyebabkan lori bergegar sebelum segera turun untuk melihat apa sebenarnya berlaku.

“Sejurus keluar, saya tergamam melihat sebuah kereta berada di belakang lori dalam keadaan remuk teruk,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.

Menurut Mohd Aris, dia telah memberikan isyarat membelok ke kanan sejauh  150 meter dan segera memberhentikan lori selepas menyedari hentaman kuat itu.

Ketua Operasi Balai Bomba Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan II Anuar Thambi Hitam berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 9.08 malam, kelmarin.  

“Seramai 10 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah serta Tangga Batu dikerah ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira 11 minit kemudian. 

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu dan penumpang depan tersepit manakala penumpang lain dipercayai sudah tiada dibawa keluar dari kereta itu,” katanya.

Menurut beliau, wanita tersepit di bahagian kaki itu berjaya dikeluarkan dalam tempoh kira-kira 10 minit manakala 15 minit untuk mengeluarkan lelaki berkenaan yang disahkan sudah meninggal dunia.   

Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Ahmad Adnan Basri mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pemandu-lori-maut-nahas-1.131173



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my