loading...

Friday, February 15, 2013

Polis terpelanting dirempuh mat rempit

15 Februari 2013
Ipoh: Seorang anggota polis terpelanting sejauh lebih tiga meter selepas dirempuh seorang mat rempit yang memecut motosikal melepasi sekatan jalan raya di Jalan Dato’ Seri Ahmad Said di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, mangsa Lans Koperal Luqman Hakim Abu Bakar, 26, yang berkhidmat di Balai Polis Sungai Senam, di sini, patah tulang betis akibat rempuhan kuat itu.


Kemalangan berlaku ketika mangsa bertugas melakukan pemeriksaan rutin terhadap kereta dan motosikal melalui jalan berkenaan.

Mangsa yang ditemui di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, berkata, kejadian itu berlaku apabila seorang penunggang motosikal enggan memperlahankan kenderaannya walaupun sudah diarahkan berhenti.


Menurutnya, penunggang motosikal itu memecut dan cuba melepasi sekatan sebelum melanggar kaki kanannya.


“Rempuhan itu menyebabkan saya terpelanting sejauh lebih tiga meter. Saya tidak sempat mengelak berikutan insiden itu berlaku pantas selain tidak dijangka.

“Saya terbaring kesakitan di atas jalan akibat kecederaan pada betis dan kaki selain luka pada tangan. Susulan itu saya segera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.


Dia yang menjalani pemeriksaan x-ray diberitahu doktor patah dua tulang betis selain perlu menjalani pembedahan bagi memasukkan besi.

“Ketika ini keadaan saya semakin stabil cuma doktor memaklumkan perlu melakukan pembedahan memasukkan besi dalam tempoh terdekat.


“Saya mungkin berehat dua bulan sebelum boleh memulakan tugas kembali,” katanya yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka.


Luqman Hakim berkata, dia percaya penunggang motosikal yang merempuhnya cuba melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen menunggang motosikal sah.


Bagaimanapun, katanya, penunggang berusia 20-an itu diberkas sejurus selepas kemalangan berlaku. “Ini kejadian paling teruk pernah dialami selepas kerap dirempuh mat rempit.


“Saya tidak dapat bayangkan jika rempuhan itu mengenai tepat perut atau badan saya mungkin kecederaan lebih parah,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong yang dihubungi mengesahkan kejadian itu membabitkan seorang anggotanya dan siasatan masih dijalankan.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2013021504570920130215045709/Article/index_html


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my