loading...

Tuesday, October 11, 2011

Sempat Mohon Maaf


 Inalillahi wainailaihi rojiun

KOTA BHARU - Seolah-olah dia dapat merasakan ajalnya sudah tiba apabila beberapa hari sebelum maut dalam kemalangan jalan raya mangsa sempat meminta maaf dengan kenalan-kenalannya.

Itulah luahan Asiah Ismail, 43, ibu kepada Mohamad Afandi Hussain, 16, setelah anak lelakinya maut dalam kemalangan jalan raya di Lebuh raya Salor, dekat sini awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu, mangsa, Mohamad Afandi yang juga pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah dekat Ketereh maut di tempat kejadian setelah motosikal yang ditunggangnya dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Mas bertembung dengan sebuah kenderaan lain selepas memotong dua lagi motosikal rakannya.

Asiah memberitahu, sebelum kemalangan, mangsa bersama abangnya, Izani, 17, ke rumah neneknya, Bidah Yahya, 60, di Kampung Pendek kira-kira jam 6.30 petang dan difahamkan dia yang menunggang motosikal sendirian itu nekad mahu mengisi petrol biarpun dilarang abangnya kerana hari sudah lewat.

Asiah berkata, menerusi cerita yang dimaklumkan oleh rakan-rakannya, beberapa hari sebelum terlibat dalam kejadian itu, arwah sentiasa meminta maaf dengan sahabat serta guru-gurunya.

“Mungkin dia sudah tahu masanya telah sampai dan mengambil kesempatan memohon ampun dengan mereka yang rapat dengannya.

“Saya juga menyedari, dia juga berubah menjadi seorang yang semakin periang dan banyak bercakap dengan ahli keluarga dan rakan-rakannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya Kampung Pangkal Kuang, Ketereh semalam.

Asiah berkata, anak ketiga daripada enam beradik tersebut juga menunjukkan tabiat peliknya beberapa hari sebelum kejadian, iaitu kerap makan nasi.

“Sebelum ini dia tidak pernah makan nasi dua kali dalam tempoh tidak sampai setengah jam tetapi pada suatu hari itu dia meminta saya menggoreng ikan dan memakannya sebanyak dua kali dalam masa yang singkat.

“Saya tidak mengesyaki perkara yang buruk berlaku walaupun ia tidak pernah dilakukannya sebelum ini,” katanya.

Asiah berkata, dia mengetahui kejadian yang meragut nyawa anaknya itu setelah menerima panggilan daripada saudara maranya kira-kira jam 1.30 pagi yang ketika itu dia tidur di rumahnya.

Sementara itu, Timbalan Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa di hantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my