loading...

Sunday, October 9, 2011

Tidak Sempat Merasa Gaji Pertama


Inalillahi wainailaihi rojiun

ULU TIRAM: Tiga sahabat yang baru sehari memulakan kerja baru di sebuah kilang tidak sempat merasa gaji pertama apabila meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori pasir di Jalan Batu 16 1/2, Sungai Tiram, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi, pemandu Proton Wira, Mohamad Faiz Ahmad Tahir, 18, bersama rakan Mohd Khairuddin Karimi, 21, Mohamad Nazri Zulkifly, 20, disahkan maut di tempat kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.


Abang saudara Nazri, Muhzir Abu Bakar, 28, berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jiran.

“Saya ada di rumah yang terletak 100 meter dari lokasi kemalangan dan sepanjang perjalanan, saya hanya mampu berdoa supaya semuanya selamat.


“Bagaimanapun, selepas melihat kereta Wira itu remuk, saya nampak Nazri dalam keadaan tidak sedarkan terbaring di kerusi belakang manakala dua lagi rakannya tersepit,” katanya, semalam.


Menurut Muhzir, kali terakhir dia berjumpa Nazri pada Aidilfitri lalu. Seperti biasa Nazri tidak banyak bercakap kerana sikapnya yang pendiam dan mereka hanya berbual biasa.

Muhzir juga terkilan kerana hasratnya untuk membawa Nazri ke Kuala Lumpur dan bekerja dengannya juga tidak kesampaian.


Sementara itu, adik Nazri, Mohamad Faiz Zulkifly, 17, berkata kali terakhir dia berjumpa abangnya pada malam Khamis lalu.

“Abang memaklumkan dia mendapat kerja baru di sebuah kilang di Taman Desa Cemerlang bersama dua lagi rakannya.


“Kami sekeluarga tumpang gembira kerana sebelum ini abang bekerja di bengkel membaiki kenderaan,” katanya.


Bagaimanapun, kata Faiz, bapa mereka berasakan ada sesuatu yang tidak kena dan menasihatkan Nazri supaya memulakan tugas pada hari berikutnya.


Bagaimanapun, Faiz berkata, abangnya yang teruja dengan kerja barunya tetap mahu memulakan tugas semalam.


“Kami sekeluarga reda dengan ketentuan ini, abang anak yang taat serta patuh pada ibu bapa,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.


“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, Wira dinaiki mangsa datang dari arah Pekan Ulu Tiram, dan setibanya di lokasi kejadian, pemandunya cuba memotong sebuah kenderaan tetapi gagal.


“Ia menyebabkan kereta itu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan. Mohamad Faiz dan dua rakannya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.


Jenazah ketiga-tiga mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.


Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, dan jenazah mangsa dituntut keluarga untuk urusan pengebumian petang semalam.

Al-Fatihah

Sumber: myMetro
             Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my