loading...
Saturday, November 3, 2012
Maut rempuh trak penunda Jambatan Pulau Pinang
3 November 2012
GEORGETOWN - Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya merempuh trak penunda Jambatan Pulau Pinang di Jalan Tengku Kudin menghala ke jambatan di sini pagi, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa yang berusia 25 tahun maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan beberapa anggota badannya selepas motosikalnya melanggar bahagian kanan belakang trak terbabit.
Difahamkan, mangsa baru sahaja keluar dari rumahnya untuk ke tempat kerja di Queensbay.
Menurut sumber, mangsa yang menunggang motosikal secara bersendirian itu dikatakan tidak sempat mengelak trak penunda yang berhenti di tepi jalan untuk membantu seorang pemandu yang mengalami kerosakan kereta.
Beliau berkata, selepas selesai membaiki kerosakan, pekerja trak penunda mahu beredar ke belakang untuk mengambil kon yang diletakkan sebagai tanda amaran kecemasan namun dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.
“Tidak sempat pekerja terbabit mengambil kon, dia terdengar satu dentuman kuat dan apabila meninjau ke belakang mendapati seorang penunggang motosikal sudah terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan tidak bergerak,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan awal pada mangsa menemui ‘earphone’ yang masih melekat pada telinganya.
“Mangsa mungkin sedang mendengar lagu atau bercakap melalui telefon dengan seseorang sehingga tidak dapat memberi perhatian kepada tunggangan dan tidak menyedari lori trak penunda berhenti di bahu jalan.
“Mangsa juga dipercayai menunggang motosikal dengan laju dan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian bucu kanan belakang trak terbabit namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan
Kong Meng berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/pemuda-maut-rempuh-trak-penunda-1.100368
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment