loading...

Wednesday, October 31, 2012

Pemandu langgar lari dibelasah


31 Oktober 2012

IPOH – Seorang pemandu kereta berusia 40-an dibelasah orang ramai selepas merempuh enam penunggang dan pembonceng motosikal ketika cuba melarikan diri di persimpangan Jalan Mustafa Al-Bakri di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, pemandu yang menaiki kereta jenis Toyota Camry itu dikatakan memecut kenderaan dari lokasi kejadian, namun dikejar lebih 10 penunggang motosikal yang melihat kejadian itu.

Mangsa kejadian, Norimi Mohamad, 30, berkata, kereta itu dipandu laju ketika keluar dari simpang berhampiran sebaik dia dan dua motosikal lain melepasi lampu isyarat.

“Saya melihat dua perempuan dan seorang lelaki di tepi saya terpelanting ketika dirempuh sebelum jatuh tertiarap di atas jalan. Motosikal mereka jenis Honda EX5 dan Yamaha dinaiki turut terseret lebih tujuh meter,” katanya.

Menurutnya, kereta itu terus memandu laju sambil buat aksi drift dan hampir menggilis mangsa yang terbaring di atas jalan.

“Saya cuba bangun, namun terpaksa merangkak ke bahu jalan akibat cedera di lutut dan pergelangan kaki kiri. Isteri, Wati dan anak, Norfan (5 tahun) cedera di siku dan tangan,” katanya.

Seorang saksi yang mahu dikenali sebagai Mohamad, 20, berkata, penunggang motosikal yang menyaksikan kejadian langgar lari itu bertindak mengejar kereta berkenaan.

Katanya, lelaki itu terpaksa berhenti kerana lampu isyarat berwarna merah sebelum dikepung oleh kumpulan penunggang motosikal.

“Dia keluar dalam keadaan mabuk dan dibelasah oleh penunggang motosikal yang geram dengan tindakan lelaki itu. Lelaki itu kemudian diserahkan kepada anggota peronda polis sebelum dibawa ke Balai Polis Ipoh,” katanya.

Dua gadis dan seorang lelaki berusia awal 20-an yang cedera dirempuh itu segera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) oleh orang awam bagi mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, siasatan mendapati kereta yang dipandu suspek tidak sempat berhenti ketika keluar simpang selepas makan malam.

“Dia yang berasal dari Puchong, Selangor dalam perjalanan menuju ke sebuah hotel dikatakan terlanggar seorang mangsa bernama Mohd Ismawi Ismail, 32.

“Manakala, sebuah lagi motosikal tidak sempat brek terlanggar kereta menyebabkan mangsa cedera di tangan dan kaki. Butiran sebuah lagi motosikal masih tidak diketahui,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini tiada tangkapan dibuat, namun polis sudah merakam percakapan individu itu sebelum tindakan lanjut diambil di bawah Seksyen 3 (2) (b) Akta Pengangkutan Jalan.

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/langgar-lari-pemandu-dibelasah-1.99237


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my