loading...

Saturday, November 3, 2012

Pelajar Maut Memandu Kereta Bapa


Inalillahi wainailaihi rojiun

4 November 2012
JASIN - Tindakan pelajar tingkatan dua memandu kereta bapanya mengundang padah apabila kenderaan itu  merempuh sebuah kereta lain sekali gus menyebabkan dirinya dan tiga lain maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 38.5 Jalan Air Panas-Kesang, malam kelmarin.


Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhammad Nur Hishamuddin Hashim berkata, mereka yang maut dalam kejadian 11.15 malam itu ialah pelajar berkenaan, Muhammad Hafis Helmi, 14; pemandu kereta Perodua Myvi, Mohd Shahir Mat Sahat, 27, dan dua penumpangnya, Hairulnizam Alias, 34, serta Mohd Izuddin Usop, 21.

Menurutnya, kereta yang dipandu Muhammad Hafis dari arah Air Panas ke Kesang dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta yang dipandu Mohd Shahir dari arah Kesang ke Air Panas.

“Mohd Shahir dari Felda Tun Ghaffar dan Muhammad Hafis yang masing-masing tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala Hairulnizam dan Mohd Izuddin meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Jasin,”  katanya.

Katanya, kesemua mayat dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah seksen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Tindakan boleh diambil terhadap pemilik kereta yang mengizinkan individu tidak mempunyai lesen menggunakan kenderaannya,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Mohd Adi Abd Rahim, 18, berkata, dia terdengar suara salah seorang penumpang kereta Perodua Myvi merintih kesakitan ketika pihak bomba dan penyelamat bersama Jabatan Pertahanan Awam sedang mengeluarkan mangsa.

“Saya sempat dengar suara orang meminta tolong dan memberitahu dia sesak nafas dari arah kereta Myvi terbabit,” katanya.


Arwah tak pernah hidupkan enjin kereta



“Saya reda dengan pemergian anak saya, namun sehingga sekarang saya masih tertanya-tanya dan hairan siapa yang memandu kereta saya sedangkan anak saya tidak pernah hidupkan enjin kereta inikan pula memandu kereta,” kata Helmi Othman, 42, ayah kepada Allahyarham Muhammad Hafis.

Menurutnya, kali terakhir dia bertegur sapa dengan anak kedua dari tiga beradik itu lebih kurang jam 8.30 malam, beberapa jam sebelum kemalangan di rumah mereka di Awam Kesang.

“Ketika itu, anak saya memberitahu dia teringin hendak makan mi segera sebelum saya memberi dia wang.

“Selepas itu, saya tertidur dan tidak sedar bila anak saya keluar dari rumah,” katanya.

Helmi berkata, dia mengetahui kejadian itu apabila mendapat panggilan telefon kira-kira jam 11.30 malam yang memaklumkan keretanya terlibat dalam kemalangan.

“Pada mulanya saya memang tak percaya kerana tiada siapa yang menggunakan kereta saya, tetapi bila saya melihat di luar rumah dan tidak nampak kereta, saya bergegas ke tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, hatinya begitu kuat mengatakan keretanya dipandu seseorang dan bukan anaknya.

“Malah ketika sampai di tempat kejadian saya melihat jenazah anak saya terbaring di tempat duduk belakang dan bukan di tempat pemandu,”  katanya.


Sempat main badminton

Sementara itu, abang Muhammad Hafis, Mohd Arif, 15, berkata, sebelum kejadian, dia bersama adiknya itu pergi bermain badminton di Balairaya Kesang dengan menaiki motosikal sebelum dia mengambil keputusan untuk pulang ke rumah lebih awal.

“Saya perasan arwah balik ke rumah tidak lama selepas saya balik, namun saya tak tahu dia kemudian keluar semula,” katanya yang merupakan pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Seri Bemban.

Katanya, sebelum kejadian itu, adiknya yang belajar di Sekolah Menengah Iskandar Shah banyak berdiam diri.

Difahamkan jenazah Muhammad Hafis dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kesang Tua.


Hari Raya Aidiladha terakhir

Manakala, abang Allahyarham Muhamad Izuddin, Mohd Faiz berkata, dia tidak menyangka Hari Raya Aidiladha lalu, adalah hari raya terakhir yang disambut bersama adiknya.

Menurutnya, ketika kejadian, adiknya yang juga anak bongsu dari tujuh beradik keluar bersama rakannya minum di MITC.

“Saya mengetahui kejadian ini apabila diberitahu rakan adik yang turut sama keluar bersama mereka menuju ke MITC, namun menaiki kenderaan berasingan.

“Tak nampak sebarang perubahan pada arwah dan sememangnya pemergiannya dirasai kami sekeluarga lebih-lebih lagi dia juga seorang yang aktif dalam sukan,” katanya.


Tak salam sebelum keluar

Ibu kepada Allahyarham Hairulnizam, Noriah Md Dim, 62, pula berkata, kebiasaannya anaknya akan bersalaman dengannya sebelum keluar rumah, namun pada malam itu, anaknya tidak berbuat demikian.

Menurutnya, sebelum ini, dia perasan akan perubahan pada anak ketiga dari lima beradik itu sejak mengikut arwah ke Langkawi beberapa bulan lalu.

“Arwah seorang anak yang baik dan sanggup berhenti kerja sebagai pemandu di Kuala Lumpur untuk menjaga kami di kampung,” katanya yang reda dengan takdir Ilahi.

Manakala ayahnya arwah, Alias Wahab, 66, berkata, kali terakhir dia melihat anaknya ketika balik dari bekerja sebagai pemandu pelancong.

“Ketika itu, saya lihat Nizam keluar dari rumah dalam keadaan tergesa-gesa.

“Saya tak sempat nak tegur dia, lagipun kawannya menunggu di luar rumah dan kira-kira jam 12.30 pagi, saya dimaklumkan  Nizam kemalangan,” katanya.



Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/padah-pandu-kereta-ayah-1.100649
ntv7.com.my/7edition/local-en/FATAL_RIDE_TEENAGER_WHO_TOOK_HIS_FATHER_S_CAR_FOR_A_SPIN_KILLED_WITH_THREE_OTHERS.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my