loading...

Friday, November 2, 2012

4 sekeluarga maut dirempuh lori padi


Inalillahi wainailaihi rojiun

2 November 2012
POKOK SENA – Niat lima sekeluarga menziarah penduduk kampung di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar tidak kesampaian apabila kereta Perodua Viva dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori padi tanpa muatan, berdekatan Kampung Permatang Limau Jalan Tualang Pokok Sena, di sini semalam.

Kemalangan itu menyebabkan empat maut manakala seorang lagi parah dan sedang dirawat di HSB Alor Setar.

Mangsa yang maut ialah Shafie Abd Hamid, 57, isterinya, Faridah Ani, 60, dan dua anak mereka iaitu Mohd Istihar, 26, dan Nurul Faiz, 26.

Mohd Ikbal Zakuan, 15, mengalami kecederaan parah.

Keluarga itu berasal dari Kampung Kubang Pisang dekat Kubur Panjang Pendang.

Seorang saksi, Jamaluddin Ramli, 31, berkata, kejadian berlaku kira-kira 2.30 petang ketika dia melalui jalan berkenaan dan menyaksikan kemalangan itu lalu menghubungi talian kecemasan 999.

“Waktu saya sampai dan menghampiri kereta yang dinaiki mangsa, saya dapati empat daripadanya telah meninggal dunia dan mayat berada dalam keadaan tersepit manakala seorang lagi terbaring di tempat duduk belakang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian itu semalam.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila lori padi dari arah Tualang Pokok Sena itu mengalami kerosakan sebelum terbabas ke lorong kereta dinaiki mangsa dari arah Bukit Sekechong Kubur Panjang Pendang menuju ke Alor Setar.


Anak terkejut lihat kereta bapa



PENDANG – "Terkejut tengok nombor pendaftaran kereta bapa." Itulah luahan hati anak kedua mangsa, Mohd Anuar, 32, yang sebak selepas mengetahui empat mangsa itu adalah ahli keluarganya ketika melalui tempat kejadian selepas pulang dari kerja semalam.

Menurutnya, ketika berada di Jabi Pokok Sena, dia terlihat dua buah ambulans memasuki persimpangan Kebun 500 namun tidak menyangka ahli keluarganya yang terbabit kemalangan.

Katanya, dia ketika itu menunggang motosikal untuk pulang ke rumah keluarga di Kampung Kubang Pisang untuk berjumpa ibu bapanya.

“Ketika melalui tempat kejadian saya nampak orang ramai di tepi jalan dan apabila semakin hampir dapat melihat nombor pendaftaran kereta bapa.

"Hati saya berasa sebak dan hiba. Empat anggota keluarga saya 'pergi’ sekali gus. Saya reda," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya semalam.

Tambahnya, dia tidak menyangka kunjungan ibu bapanya malam semalam ke rumahnya di Guar Kepayang Tanah Merah, Pendang untuk melihat dua anaknya berusia lima dan setahun adalah kunjungan terakhir.

“Mereka datang rumah kira-kira pukul 10 malam untuk lihat cucu tetapi semua anak-anak saya sudah tidur. Mereka kurang bercakap sebelum pulang setengah jam kemudian," katanya yang bekerja di Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Anuar turut memberitahu bapanya, Shafie Abd Hamid, 57, merupakan seorang pesara Tentera Darat yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal. Dia kini mencari rezeki sebagai penoreh getah dan membuka kedai gunting rambut di depan rumah.

Kesemua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kubang Pisang Jalan Kubur Panjang Pendang.


Pemandu lori padi ditahan polis


ALOR SETAR - Pemandu lori padi yang terlibat dalam kemalangan berhampiran Kampung Permatang Limau, Tualang dekat sini petang semalam yang menyebabkan empat sekeluarga maut dan seorang lagi parah, kini ditahan polis sehingga 5 Nov ini.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Supt Rohana Omar berkata pemandu yang berumur 19 tahun dari Kubur Panjang itu ditahan polis selepas dia membuat laporan polis tentang kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini malam tadi.

"Kami telah tahan pemandu itu bagi membantu siasatan dan kami masih menyiasat sama ada pemandu itu memiliki lesen memandu atau tidak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata lori itu akan dibawa ke Puspakom untuk pemeriksaan bagi mengetahui adakah lori itu bermasalah atau tidak.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang semalam, empat maut manakala seorang parah selepas kereta Viva yang dinaiki mereka bertembung dengan lori padi berhampiran Kampung Permatang Limau.

Mereka yang terbunuh ialah Shafie Abd Hamid, 57, isterinya Che Faridah Ani, 60, dan dua anak mereka iaitu Ibtihal, 26, dan Nurul Faiz, 24. Keempat-empat mangsa mati di tempat kejadian.

Seorang lagi anak pasangan itu, Muhd Iqbal Zakuan, 15, parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Sementara itu, bapa saudara Muhd Iqbal Zakuan, Sharon Awang Kechik, 50, berkata keadaan Muhd Iqbal Zakuan semakin stabil dan telah dimasukkan ke wad biasa.

"Dia (Iqbal) sudah sedar malam tadi dan boleh bercakap. Dia ada bertanyakan tentang ahli keluarganya yang lain kepada abangnya tetapi abangnya masih belum memberitahu hal yang  sebenar.

Abang dia kata semua ahli keluarganya selamat kerana abangnya tidak mahu dia terkejut memandangkan keadaannya masih lagi lemah," katanya ketika ditemui pemberita di HSB hari ini.

Katanya Muhd Iqbal Zakuan belum menceritakan tentang kejadian semalam dan anggota keluarganya juga belum tahu siapa yang memandu kereta itu dan ke mana mereka hendak pergi.

"Biarlah Iqbal sihat dulu dan biar dia sendiri yang ceritakan kejadian itu.

Kami tidak mahu mendesak dia kerana kami tahu dia masih lagi trauma dengan kejadian itu," katanya sambil memeberitahu bahawa anak saudaranya itu mengalami kecederaan pada muka dan patah paha kanan.

Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazali ketika dihubungi berkata keadaan Muhd Iqbal Zakuan semakin stabil.

"Sekarang ini Muhd Iqbal sedang menunggu giliran untuk membuat pembedahan pada paha kanannya yang patah," katanya.

Sumber Jabatan Pengangkutan Jalan Kedah berkata orang ramai boleh memperoleh lesen memandu ketika berumur 17 tahun ke atas tetapi bagi lesen memandu kenderaan barang-barang (GDL), ia hanya dikeluarkan kepada mereka yang telah mempunyai lesen memandu dan berumur 21 tahun ke atas.

"Bagi kes kemalangan semalam, pemandu terbabit baru berumur 19 tahun dan sudah tentu dia tidak mempunyai lesen GDL," katanya. - Bernama


Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/pemandu-lori-padi-ditahan-polis-1.100180
ntv7.com.my/7edition/local-en/LORRY_DRIVER_HELD_UNTIL_NOV_5_FOR_INVESTIGATION.html
hmetro.com.my/articles/Menggigillihatkeretaayah/Article



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my