loading...

Monday, October 29, 2012

Nyaris maut dirempuh van

29 Oktober 2012 
REMBAU – “Nasib baik dia sempat melompat dari motosikal sebelum dirempuh van," kata saksi kejadian, Azizul Fazli Arifin, 14, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8.10 pagi itu, tiga kenderaan membabitkan sebuah motosikal, van kilang dan kereta jenis Proton Wira dari arah sama terbabit dalam kemalangan di Kilometer 31, Jalan Seremban - Tampin, dekat Chengkau, di sini.

Menurut Azizul, ketika kejadian, dia sedang membantu saudaranya bekerja di kedai makan yang terletak berhampiran lokasi kemalangan dan melihat dengan jelas penunggang motosikal yang juga penduduk kampung di situ melompat dari kenderaannya.

“Nasib baik mangsa cepat bertindak. Kalau tidak mangsa tentu turut sama dirempuh van kilang berkenaan. Mangsa berguling beberapa kali.

“Setelah van berkenaan merempuh dan mengheret motosikal, kereta Proton Wira itu juga dirempuhnya sebelum merempuh papan tanda arah jalan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati pemandu van, R Kumar, 18, dari arah Seremban dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh motosikal yang ditunggangi, Azhar Aris, 42, lalu menggelongsor dan melanggar pula bahagian belakang sebuah Proton Wira.

“Selepas itu, pemandu van melanggar pula papan tanda yang berada di bahu jalan. Pemandu van dan penunggang motosikal cedera dan dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Roshimi Mohd Ali, 52, berkata, sejak kebelakangan ini, kemalangan kerap kali berlaku di lokasi berkenaan.

Terbaru, katanya, kejadian 4 Oktober lalu membabitkan kematian seorang warga emas.

"Atas dasar itu, pihak bertanggungjawab perlu mengambil tindakan proaktif dengan meletakkan papan tanda amaran di lokasi terbabit sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/nasib-baik-sempat-lompat-1.98563


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my