Inalillahi wainailaihi rojiun
1 November 2012
IPOH: “Saya sedih apabila dimaklumkan ayah meninggal dunia akibat dirempuh kereta dipandu pemandu mabuk ketika dalam perjalanan pulang ke rumah,” kata Azman Abdul Aziz, 45, mengenai kejadian langgar lari menimpa bapanya, Abdul Aziz Korteh, 74, di persimpangan Jalan Silibin-Jelapang, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, mangsa yang menunggang basikal dipercayai dirempuh sebuah kereta jenis Toyota sebelum melambung beberapa meter dan mengalami kecederaan parah di kepala.
Mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sebuah kilang disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, untuk menerima rawatan kecemasan.
Kereta yang dipandu pemandu berusia 40-an itu kemudian terbabas lalu melanggar tiang lampu isyarat ketika cuba melarikan diri dari tempat kejadian.
Azman berkata, bapanya yang bertugas di kawasan perindustrian berhampiran Jelapang dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Meru, di sini, selepas tamat syif bekerja.
“Arwah sudah bekerja di kilang itu lebih 10 tahun dan sering menggunakan basikal bergerak ke mana-mana.
“Saya tidak sangka dia menjadi mangsa langgar lari. Arwah seorang bapa yang lemah-lembut dan jarang memarahi anak-anak,” katanya ketika ditemui di HRPB, semalam.
Menurutnya, dia sering melawat bapanya kerana tinggal berhampiran rumah didiami arwah.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika kali terakhir saya menemuinya kelmarin dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.
Menurutnya, pemandu kereta dipercayai cuba melarikan diri sejauh satu kilometer selepas melanggar mangsa, namun keretanya terbabas dan merempuh lampu isyarat berhampiran sebuah tokong di sini.
“Pemandu kereta itu hanya cedera ringan manakala penunggang basikal disahkan meninggal dunia di HRPB akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.
Al-Fatihah
Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/2012110102021420121101020214/Article/index_html
No comments:
Post a Comment