loading...
Friday, November 2, 2012
Terjunam dari Jambatan Pulau Pinang
2 November 2012
GEORGETOWN: Sebiji tayar di tengah jalan yang pada mulanya disangka sampah oleh seorang anggota peronda trafik membawa kepada penemuan tidak diduga apabila ia sebenarnya tayar kereta milik seorang lelaki yang terjunam ke laut di Kilometer 7.9, Jambatan Pulau Pinang, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 3 pagi itu, anggota terbabit yang melakukan rondaan rutin mulanya menyangka ‘sampah’ itu kemungkinan dibuang pengguna jambatan.
Anggota berkenaan memberhentikan kenderaan untuk mengambil ‘sampah’ itu kerana mahu mengelak sebarang kemalangan yang mungkin berlaku jika dibiarkan di tengah jambatan.
Bagaimanapun, anggota terbabit terkejut apabila mendapati objek disangka sampah itu sebenarnya tayar kereta sebelum dia terlihat kesan serpihan kaca bertaburan atas jambatan.
Anggota polis berkenaan memaklumkan kepada beberapa rakan setugas sebelum mereka terkejut apabila mendapati tiang lampu turut patah dan terjatuh dengan keadaan tergantung dan menjunam ke dalam laut.
Saya dapat ‘rasa’ mayat
GEORGETOWN: “Dalam keadaan air yang keruh, saya meraba-raba dan dapat rasa mayat mangsa berada di tempat duduk pemandu dan masih memakai tali pinggang keledar,” kata seorang anggota Unit Selam Pasukan Gerakan Marin Wilayah 1 yang terbabit dalam gerakan mencari Tan Lean Loon, 24, yang dipercayai terjunam bersama keretanya ke laut di Kilometer 7.9, Jambatan Pulau Pinang, di sini, semalam.
Menurutnya, keadaan air yang keruh menyebabkan pasukannya tidak dapat mengeluarkan mayat hingga terpaksa menggunakan khidmat kren bagi mengangkat kereta bersama-sama mangsa.
Katanya, kadar penglihatan dalam air ketika itu kurang jelas dan dia hanya dapat melihat pada jarak 0.4 meter.
“Pasukan kami dapat mengesan kereta mangsa pada kedalaman 10 kaki (empat meter) selepas melakukan penyelaman kali kedua jam 8.30 pagi.
“Sebelum itu, kami menggunakan kaedah membaling sauh dan tarik bagi mengesan kenderaan mangsa.
“Selepas sauh tersangkut pada kereta, kumpulan penyelam menjadikan tali sauh sebagai penunjuk arah ke kereta mangsa,” katanya ditemui di tempat kejadian, semalam.
Sumber:
hmetro.com.my/articles/Tayarbongkartragedi/Article
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment