loading...

Thursday, March 29, 2012

Bomoh Patah Maut Dirempuh Pelajar

 Inalillahi wainailaihi rojiun  

KOTA BHARU - Seorang bomoh patah tersohor di negara ini maut apabila motosikal yang ditunggangi bersama anak bongsunya dirempuh motosikal lain di hadapan rumahnya di Kampung Durian Hijau, Kok Lanas di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang, Alias Salleh, 65, yang juga terkenal di Singapura sebagai Pok Yah tukang urut, mati dalam perjalanan ke klinik berhampiran akibat cedera parah di kepala manakala anak bongsunya, Amirah Fauzan berumur lima tahun cedera ringan.

Isteri mangsa, Malkalsom Mohd Razif, 44, berkata, kejadian berlaku hanya 10 meter di hadapan rumahnya sebaik mangsa keluar dari kediaman sebelum dirempuh motosikal yang ditunggangi dua pelajar dari arah Kok Lanas.

Katanya, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar dentuman yang kuat dari luar rumah selepas beberapa minit suaminya keluar untuk mengambil anak sulungnya, Noratirah, 10, di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkal Kalong, di sini.

“Ketika itu saya mencuci pinggan di dapur selepas makan tengah hari bersamanya dan saya bergegas keluar sebaik terdengar dentuman. Saya terkejut apabila melihat suami saya terbaring di jalan raya bersama anak bongsu kami.

“Saya sempat memangku suami yang ketika itu berlumuran darah dan mengajar dia mengucap memandangkan pernafasannya sangat lemah,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Malkalsom berkata, jiran yang menyedari kejadian tersebut menghantar suaminya ke Klinik Kesihatan Kok Lanas dan disahkan meninggal dunia kemudiannya di rujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

Malkalsom memberitahu, beberapa hari sebelum kejadian suaminya yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai bomoh patah kurang selera makan dan menjadi pendiam.

Abang mangsa, Musta­pha, 71, terkejut dengan kematian adiknya itu kerana hampir empat bulan tidak berjumpa dengannya dan jenazah Alias yang me­ning­galkan 10 anak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Kemubu, kira-kira jam 2 pagi semalam.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Deputi Superintenden Ahmad Zaki Ibrahim mengesahkan kejadian tersebut.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/bomoh-patah-maut-nahas-1.35860

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my