loading...
Friday, March 30, 2012
Sepasang Warga Emas Nyaris Maut
KAMPUNG LAMIR - Rutin sepasang suami isteri warga emas yang sering berulang alik dari rumah mereka di Indera Mahkota, Kuantan ke rumah saudara mara di sekitar kawasan Peramu setiap minggu bertukar mimpi ngeri apabila terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Kampung Lamir, baru-baru ini.
Pasangan warga emas berusia 80-an itu dikatakan bertolak dari rumah pada awal pagi untuk ke rumah salah seorang saudara mereka di Peramu Jaya 3.
Anak saudara mangsa, Kairuman Abu Salim berkata, dia terkejut apabila kereta Proton Saga yang dinaiki bapa saudara dan ibu saudaranya terlibat dalam kemalangan.
Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di rumah saudaranya yang terletak berhampiran sebelum menerima panggilan daripada seseorang yang memaklumkan mengenai nahas itu.
"Ketika tiba di tempat kejadian, saya terkejut melihat keadaan pakcik dan makcik saya yang cedera berlumuran darah serta tersepit, selain bekalan nasi lemak dan kuih muih yang dibawa bertaburan di dalam kereta.
“Saya dimaklumkan kereta yang dipandu pakcik saya dirempuh dari sebelah tepi oleh seorang pemandu wanita yang menaiki kereta jenis Toyota Vios ketika membelok ke arah Kampung Lamir di persimpangan lampu isyarat, di sini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di tempat kejadian.
Sebuah jentera bersama empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Peramu tiba di tempat kejadian bagi mengeluarkan kedua-dua warga emas yang tersepit.
Kairuman berkata, bapa dan ibu saudaranya dibawa ke Hospital Pekan untuk rawatan, manakala pemandu wanita berkenaan turut dibawa ke hospital sama kerana mengalami kecederaan ringan.
“Walaupun masih terkejut, namun saya dan ahli keluarga lega serta bersyukur selepas melihat mereka masih sedar sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.
“Mereka suami isteri selalu guna jalan ini kerana berulang alik dari rumah setiap minggu ke rumah saudara mara di sekitar daerah ini,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/suami-isteri-nyaris-maut-1.36267
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment