loading...

Tuesday, March 12, 2013

Pemandu bas parah rempuh lori tangki minyak




12 Mac 2013
ALOR GAJAH - Seorang pemandu bas ekspres parah manakala dua penumpang cedera ringan selepas bas yang dinaiki merempuh belakang sebuah lori tangki minyak di Kilometer 205 Lebuhraya Plus arah utara di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, bas dipandu, Tengku Syed Iskandar Tengku Syed Fhakri, 23, bersama empat penumpang dari Larkin, Johor, menuju Kuala Lumpur, hilang kawalan sebelum merempuh belakang lori tangki dipandu, P Daniel, 34.

Jurucakap polis berkata, bas yang dipandu di lorong kiri terhuyung-hayang sebelum merempuh belakang lori tangki sehingga berlaku tumpahan minyak di atas jalan raya.

Menurutnya, selepas itu, bas itu hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh besi pembahagi lebuhraya.

“Rempuhan itu mengakibatkan pemandu bas berkenaan tersepit dan dikeluarkan orang awam sebelum bantuan kecemasan tiba," katanya.

Sementara itu, Daniel berkata, dia yang memandu di lorong kiri dari Singapura menuju Rawang, Selangor.

“Saya terkejut apabila lori tiba-tiba bergegar dan merasakan ia meluncur laju, namun saya berjaya mengawalnya dan berhenti di persimpangan ke kawasan Rehat dan Rawat Ayer Keroh.

"Sebaik turun, saya mendapati bahagian belakang lori sudah remuk dan berlaku tumpahan minyak,” katanya yang membawa muatan minyak hitam untuk diproses di sebuah kilang di Bukit Beruntung.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, PBK2 Mohd Asraf Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4.05 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Seramai sebelas anggota dengan dua jentera dihantar ke tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dua penumpang berkenaan adalah Salim Abdul Samad, 47, dan Mohamad Syukur, 22, yang juga warga Bangladesh.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pemandu-bas-ekspres-parah-1.138698


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount