loading...

Sunday, December 29, 2013

3 dari 5 Sahabat Maut Kemalangan




Inalillahi wainailaihi rojiun

30 Disember 2013
JITRA - Pertemuan lima sahabat di pasar malam bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka maut selepas motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 8, Jalan Kuala Nerang-Jitra, kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Syahid Salim, 21, dan Muhammad Akhbar Sanusi, 18, masing-masing dari Kampung Nai Teh, serta Mohd Amirul Akhbar Jaafar, 20, dari Kampung Paya Terap, Perik, di sini.

Seorang saksi, Hanafi Saka, 54, berkata dia terdengar bunyi dentuman kuat di hadapan rumahnya ketika keluar untuk menyimpan motosikal di garaj.

Katanya, kejadian itu berlaku kira-kira 20 meter dari rumahnya dan dia segera pergi melihat lalu mendapati sebuah kereta berhenti di hadapan rumahnya sebelum memecut ke arah Jalan Kuala Nerang.

“Apabila saya ke tempat kejadian, terdengar suara meminta tolong beberapa kali. Kemudian suara itu tidak kedengaran lagi.

"Saya nampak mangsa bergelimpangan (di jalan). Jadi saya guna lampu picit, beri isyarat kepada pemandu kenderaan lain supaya bergerak perlahan-lahan. Kemudian, saya terus hubungi bomba Kuala Nerang.

“Saya cuba bantu mereka (yang bergelimpangan), tapi dapati tiga sudah meninggal. Dua lagi cedera dan tercampak di tanah lapang di sebelah kanan jalan,” katanya.

Hanafi berkata, mereka yang cedera parah itu dibawa ke Hospital Kuala Nerang.

Menurutnya, setelah memeriksa keadaan mayat, motosikal dan makanan yang bertaburan di atas jalan, dia yakin kesemua mangsa itu datang dari pasar malam di Bukit Nyamuk.

Jarak tempat kejadian itu dari pasar malam terbabit, terletak kira-kira 1.5 kilometer.

"Jalan terlalu gelap. Jadi agak susah untuk mengenali kenderaan yang berhenti di depan rumah dan macam mana kemalangan itu berlaku," katanya.



Mohon maaf dengan rakan-rakan

Sementara itu, ibu Muhammad Syahid, Rosna Jusoh, 60, berkata, dia mendapat tahu mengenai kemalangan yang meragut nyawa anaknya itu selepas Maghrib.

Dia bergegas bersama anak saudaranya ke tempat kejadian, yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya.

"Apabila sampai (tempat kejadian), lutut mak cik tak mampu berdiri lagi dan mak cik berasa sebak melihat mayat-mayat bergelimpangan di situ.

"Mak cik tidak dibenarkan (oleh orang yang membantu di situ) melihat anak mak cik kerana cederanya sangat parah, terutama di kepala,” katanya.

Menurut Rosna, beberapa hari sebelum kejadian, anaknya itu ada menghantar mesej kepada kawan-kawannya meminta maaf jika dia ada melakukan kesalahan selama ini.

"Anak saya juga mengucapkan beberapa ayat seperti 'semasa hidup menggunakan bin bapa dan selepas mati bintikan ibu'.

"Sebelum ini, dia tidak pernah bercakap pelik. Dia seorang periang serta suka membantu orang ramai dengan melibatkan diri dalam pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO). Apa pun, mak cik reda pemergiannya itu kerana ALLAH lebih mengasihinya,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada Muhammad Akbar, Sanusi Hanafi, 57, pula berkata, dia mendapat tahu tentang kejadian tersebut daripada sepupunya kira-kira jam 9 malam.

"Semasa saya di tempat kejadian, semua mayat sudah ditutup dengan surat khabar hingga saya tak pasti apakah benar anak saya juga terlibat dalam kemalangan.

“Apabila pak cik angkat surat khabar, memang betullah (yang terbaring atas jalan itu) anak pak cik. Pak cik rasa seperti tak mampu berjalan lagi selepas menengok wajahnya,” katanya.

Kedua-dua mayat itu telah dikebumikan dalam satu liang lahad dekat masjid Kampung Nai Teh, pagi semalam.

Dalam pada itu, Pengerusi Tabung Kebajikan Al-Masakin Padang Terap (Terapcare), Hamizan Amzah, yang hadir ketika pengebumian berkata, sebelum kejadian itu, dia ada menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari Muhammad Syahid mengatakan solat Jumaat lalu adalah yang terakhir untuknya.

"Pada mulanya saya tidak faham pesanan yang dihantar itu, tapi selepas kemalangan ini, barulah saya faham.

"Saya sedih dengan pemergiannya itu kerana kami baru merancang untuk turun bersama menyampaikan sumbangan pakaian dan beg sekolah kepada pelajar-pelajar miskin," katanya.


Punca kejadian masih disiasat

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Ku Yaakob Ku Hamad berkata, kejadian berlaku ketika semua lima mangsa menaiki tiga motosikal.

Menurutnya, dalam kemalangan itu tiga mangsa maut di tempat kejadian, manakala dua lagi cedera parah dan dibawa ke Hospital Kuala Nerang oleh orang awam.

“Polis masih menyiasat punca sebenar kejadian dan kemungkinan terdapat kenderaan lain terlibat dalam kemalangan terbabit. Dalam siasatan awal, tiada kesan tayar kenderaan, di situ.

“Polis akan menunggu dua mangsa yang cedera hingga sembuh untuk mengambil keterangan mengenai punca kemalangan," katanya.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh hubungi balai polis di talian  04-786 6222.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/tiga-maut-dua-cedera-dirempuh-1.235308



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my