Thursday, October 24, 2013

Warga emas parah langgar treler



25 Oktober 2013
BUKIT TINGGI – Seorang pemandu treler terkejut mendengar bunyi seakan tayar meletup di bahagian belakang kenderaan dipandunya dalam kejadian kemalangan di Kilometer 47.2 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur berhampiran persimpangan Berjaya Hills kira-kira jam 2.20 pagi semalam.

Pemandu lori berusia 55 tahun itu berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Padang Tengku, Lipis ke Kuala Lumpur.

Katanya, setibanya di tempat kejadian dia mendengar bunyi dari belakang trelernya.

“Saya memberhentikan lori dan melihat ke belakang.

“Saya terkejut kerana sebuah van melanggar sebelah kanan lori dan penumpang hadapan tersepit,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Zainal Abidin Nong Chik berkata, pihaknya menerima panggilan telefon kira-kira jam 2.31 pagi.

Menurutnya, lapan anggota dan satu jentera bomba bergegas ke tempat kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, kami dapati penumpang hadapan sebelah pemandu tersepit di bahagian kaki.

“Kami ambil masa lebih kurang tujuh minit untuk keluarkan mangsa dan dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan,” katanya.

Manakala Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, dalam kejadian itu, van dipercayai cuba mengelak treler yang berada di lorong kiri namun gagal, lalu terlanggar penjuru kanan treler.

Katanya, pemandu van cedera di bahagian mata kanan dan tangan kiri manakala penumpang hadapan berusia 61 tahun cedera parah di bahagian kaki dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/warga-emas-parah-langgar-treler-1.214232



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount