Tuesday, October 22, 2013

Pajero MADA Terhumban Dalam Sungai


21 Oktober 2013
JITRA: Seorang juruteknik awam Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dikhuatiri lemas apabila pacuan empat roda yang dinaikinya terhumban ke dalam sungai ketika mengelak seorang kanak-kanak yang melintas jalan di Kampung Telaga Batu, Sungai Korok, di sini, Isnin.

Wan Mohd Azri Wan Mansor, 25, dikatakan dalam perjalanan dari Jitra ke Kubang Sepat untuk melawat tapak Mada di sana pada pukul 9.45 pagi dengan menaiki sebuah Pajero yang dipandu seorang kontraktor, Adnan Ahmad, 44.

Bagaimanapun, ketika melalui jalan itu, seorang kanak-kanak lima tahun cuba melintas jalan, menyebabkan kenderaan itu mengelak lalu terhumban ke dalam sungai.

Rakan mangsa, Mohd Hasril Firdaus Hashim, 30, berkata beliau dimaklumkan bahawa rakannya dan pemandu kenderaan itu berjaya keluar daripada kereta dan cuba berpaut pada Pajero itu tetapi air sungai deras menyebabkan mereka dibawa arus.

Pada awalnya, pemandu kenderaan itu cuba menyelamatkan Wan Mohd Azri tetapi air deras yang disebabkan hujan menggagalkan usaha itu.

"Dia tak tahu berenang jadi orang ramai yang menyedari kejadian itu cuba membantu dengan menghulurkan buluh, tetapi dia gagal untuk berpaut," katanya.





Ketua Operasi Balai Bomba Jitra, Mohammad Darus berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.59 pagi dan sebuah bot dengan tujuh anggota dihantar untuk operasi mencari dan menyelamat.

"Unit skuba juga telah dipanggil untuk membantu mencari mangsa kerana kami bimbang mangsa ditindih oleh kenderaan yang dinaikinya. Kami juga telah minta kerjasama pihak Mada untuk menutup saliran air dari pintu B dan C sepanjang tiga kilometer bagi mengesan mangsa.

"Kira-kira pukul empat petang tadi, kenderaan Pajero yang terhumban ke dalam sungai telah dijumpai kira-kira 100 meter daripada tempat kejadian tetapi mangsa belum dijumpai. Operasi mencari ditamatkan pada pukul 6 petang ini dan akan disambung semula esok," katanya.

Pemandu dan kanak-kanak yang terlibat dalam kejadian itu dihantar ke Hospital Jitra untuk rawatan. - BERNAMA

Sumber:
mstar.com.my
yahoo.com
tv9.com.my
facebook.com


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount