loading...

Monday, January 30, 2012

Dilanggar Disamun RM200 000







SEREMBAN 30 Jan. – Sekumpulan perompak bertindak nekad merempuh sebuah kereta mewah milik seorang pengurus stesen minyak sebelum menyamun mangsa serta melarikan wang tunai sebanyak RM200,000 di Kilometer 287 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat sini hari ini.

Kejadian mencemaskan pukul 10.20 pagi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari stesen minyak tempat dia bekerja di Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) menuju ke sebuah bank di Bandar Baru Bangi, Selangor bagi memasukkan wang hasil jualan stesen berkenaan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, sebaik sahaja tiba di hentian rehat dan rawat Nilai, kenderaan BMW yang dipandu mangsa tiba-tiba dilanggar sebuah kereta Toyota Lexus dari arah belakang.

“Mangsa yang mengesyaki sesuatu dengan tindakan kereta itu, tidak berhenti sebaliknya terus memandu meneruskan perjalanan.

“Namun, penjenayah terbabit terus mengejar sejauh 400 meter dan melanggar sekali lagi di tepi kereta mangsa sehingga memaksa pengurus stesen minyak itu menghentikan kenderaannya di tepi lebuh raya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelasnya, dua lelaki bersenjatakan parang kemudian terus meluru ke arah mangsa yang ketika itu masih berada dalam keretanya.

“Pada masa sama, datang sebuah lagi kereta Honda Accord berwarna hitam yang dinaiki dua lagi lelaki dan terus berhenti berhampiran kereta mangsa.

“Kumpulan berkenaan kemudian mengambil wang tunai yang diletakkan di bonet kenderaan mangsa sebelum melarikan diri dengan kereta Honda Accord terbabit.

“Kereta Toyota Lexus itu yang turut mengalami kerosakan akibat rempuhan berkenaan ditinggalkan di bahu jalan lebuh raya terbabit,” ujarnya yang memberitahu kejadian berlangsung kurang lima minit.

Beliau percaya kereta Toyota Lexus yang digunakan untuk merempuh kenderaan mangsa itu adalah kenderaan curi dan hasil pemeriksaan mendapati nombor pendaftarannya palsu.

“Mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan menghubungi polis untuk memohon bantuan,” katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 395/394 samun berkawan dan bersenjata.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi kejadian mendapati pihak polis turut menggunakan khidmat unit udara helikopter bagi mengesan kereta Honda Accord berkenaan sejurus selepas insiden.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my