loading...

Sunday, January 1, 2012

Putus Dua



KUALA LIPIS - Hasrat seorang lelaki yang menumpang kereta rakannya untuk pulang ke Kuala Lumpur tidak kesampaian apabila dia maut dalam satu kemalangan di Kilometer 7 Jalan Lipis - Merapoh, kira-kira jam 1.05 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hasan, berkata, mangsa, Lee Weng, 60, bersama dua lagi kenalannya, Lee Tong Kee, 53, dan S Sasitharan, 25, sedang dalam perjalanan dari arah Merapoh menuju ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian kereta Proton Wira yang dipandu Sasitharan dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan.

“Dalam masa sama sebuah Pajero yang dipandu seorang lelaki datang dari arah Kuala Lumpur menuju ke Merapoh, menyebabkan berlaku pertembungan menyebabkan kereta Wira tersebut terputus dua,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Abdul Razak berkata, Lee Weng yang duduk di bahagian sebelah pemandu mengalami kecederaan parah di kepada dan bahagian organ dalaman meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

“Selain itu, Tong Kee yang duduk di bahagian belakang kereta mengalami kecederaan parah di kepala, dibawa ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan dan kini dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh,” katanya.

Beliau berkata, Sasitharan dan pemandu Pajero, Juraidi Shahruni, 42, hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Lipis.

Menurutnya, mayat Lee Weng dibawa ke Hospital Lipis untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta berhubung dengan Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan di talian 09-312 2222 untuk membantu siasatan,” katanya.

Difahamkan ketiga-tiga mangsa yang menaiki kereta itu bekerja di Stesen Hidro Empangan Kenyir dan ingin pulang bercuti hujung minggu sempena menyambut Tahun Baru 2012.

Sumber: sinarharian.com.my/jenayah/lelaki-maut-kereta-terputus-dua-1.15751

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my