loading...

Thursday, July 4, 2013

Kelindan maut lori terbalik



Inalillahi wainailaihi rojiun

4 Julai 2013
SEREMBAN – Seorang kelindan lori warga Bangladesh maut selepas lori satu tan bermuatan gril yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 10, Jalan Seremban–Kuala Pilah berhampiran stesen minyak di sini, semalam.

Kejadian  berlaku kira-kira jam 8.50 pagi ketika mangsa, Md Saiful Islam, 24, bersama pemandu lori dan seorang lagi kelindan dikatakan sedang dalam perjalanan dari Taman Tasik Jaya ke Kuala Pilah.

Jurucakap polis memberitahu, siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun itu cuba mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang tidak dikenal pasti.

“Motosikal berkenaan disyaki secara tiba-tiba meluru keluar dari simpang Forest Heights dan telah mengakibatkan kenderaan itu gagal dikawal lalu terbabas di bahu kiri jalan dan terbalik dengan keadaan empat tayar di atas.

“Akibatnya, mangsa dipercayai tersepit di tempat duduk hadapan penumpang sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan penyelamat dari Rahang yang bergegas ke tempat kejadian.

“Mangsa meninggal dunia ketika dibawa Jabatan Bomba dan Penyelamat ke Klinik Kesihatan Ampangan, namun pemandu dan seorang lagi kelindan yang juga warga Bangladesh berusia 42 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarga dan pihak kedutaan.

Katanya, polis meminta kerjasama daripada orang ramai yang melihat kejadian itu tampil ke balai berdekatan bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah yang mengesahkan kejadian itu berkata, punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kelindan-lori-maut-tersepit-1.178757




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my