loading...

Sunday, October 5, 2014

Dua beranak maut berhampiran Terowong Menora


IPOH - Dua maut dan seorang lagi cedera parah dalam kemalangan di KM256.1 Lebuhraya Utara Selatan laluan ke utara selepas Terowong Menora dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh ketika dihubungi Bernama berkata kejadian yang berlaku lebih kurang 11 pagi ini membabitkan beberapa buah kenderaan.

"Setakat ini maklumat yang kita terima dua orang maut dan seorang lagi cedera parah," katanya.

Sementara itu jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, kemalangan itu membabitkan lima kenderaan iaitu masing-masing sebuah lori treler, lori, kereta jenis Perodua Myvi, kenderaan pelbagai guna jenis Alza serta kereta jenis Honda City.

"Operasi menyelamat dilakukan oleh pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar. Keseluruhan mangsa yang terlibat adalah 15 orang," katanya.

Jurucakap Plusline ketika dihubungi berkata lalu lintas di lebuh raya dari arah Ipoh masih mengalami kesesakan sepanjang 13 kilometer.

Bagaimanapun lalu lintas kembali lancar selepas kawasan kejadian, katanya. - Bernama


Kemalangan di Terowong Menora








VIDEO



Saya minta maaf mama - Yusriman

IPOH 4 Okt. - "Saya minta maaf mama, saya minta maaf."

Luahan pilu sambil diiringi tangisan itu berulang kali diucapkan Yusriman Ros­lan, 22, anak kepada Noor Hayati Wook, 50, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 256, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini hari ini.

Yusriman yang memandu kereta Proton Saga BLM untuk pulang berhari raya di Kampung Chain, Lenggong berkata, sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir, wanita tersebut yang dalam keadaan nazak sempat bercakap dengannya dan dua lagi adik-beradik lain.

Kemalangan yang melibatkan enam buah kereta dan dua buah treler itu bukan sahaja menyebabkan dia dan dua lagi adik beradiknya kehilangan ibu tersayang, malah turut mengorbankan seorang adik perempuannya, Siti Yuslianis, 20.

"Mama tersepit, saya cuma mampu pegang kepalanya sahaja. Dia sempat meminta maaf dan memaafkan kami sebelum menghembuskan nafas terakhir. Ketika itu, Yuslianis sudah tidak berge­rak," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Dua lagi anak mangsa, Yusrizal, 25, dan Siti Yusliana, 12, bagaimanapun hanya cedera ringan.

Menceritakan mengenai kejadian malang itu, Yusriman berkata, dia yang ketika itu memandu di lorong kanan jalan melihat sebuah treler yang dipandu laju melanggar sebuah treler lain sehingga terbalik di sisi kiri jalan.

Katanya, dia yang melihat melalui cermin pandang belakang bagaimanapun terkejut apabila treler tersebut menuju ke arah keretanya pula sebelum mengheret kenderaan tersebut.

"Kejadian berlaku sangat pantas dan saya tidak sempat buat apa-apa. Saya hanya mendengar bunyi dentuman yang sangat kuat dan cermin kereta pula pecah. Kami hanya mampu menjerit," katanya sambil mengesat air mata.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ismail Darus berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan Noor Hayati, Siti Yuslianis dan Yusrizal yang tersepit di tempat duduk masing-masing.

Katanya, Noor Hayati dan Siti Yuslianis yang masing-masing duduk di bahagian belakang pemandu dan penumpang hadapan maut di tempat kejadian manakala Yusrizal yang duduk di sebelah pemandu mengalami kecederaan ringan.

"Sebanyak 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar dan Meru serta Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS), Ipoh dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerim panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.37 pagi.

"Kesemua mangsa yang berjaya dikeluarkan dari kenderaan itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Dua lagi anak mangsa dikeluarkan dari kereta itu dengan bantuan orang awam," katanya yang memberitahu kereta mangsa diheret sejauh 200 meter.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ghuz­lan Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu pemandu treler berusia 40-an itu kini ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kejadian berlaku ketika wa­nita itu yang merupakan isteri kepada anggota polis di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Bukit Sentosa, Rawang, Selangor, bersama empat anaknya dalam perjalanan pulang ke kampung mereka di Lenggong.

"Kejadian dipercayai berlaku ketika menuruni bukit selepas Terowong Menora apabila treler yang dipandu lelaki terbabit gagal dikawal sebelum merempuh kereta yang dinaiki lima beranak itu," ujarnya.


Sumber:
http://www.bharian.com.my/node/9667
http://www.sinarharian.com.my/semasa/dua-maut-seorang-parah-dekat-terowong-menora-1.322725
http://utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141005/je_01/Saya-minta-maaf-mama---Yusriman
http://www.astroawani.com/




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my