16 Ogos 2013
PARIT BUNTAR - Kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Ipoh-Butterworth, berdekatan Kampung Sungai Rawa, di sini kelmarin nyaris meragut nyawa seorang ibu bersama empat anaknya.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Parit Buntar memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 4.10 petang dan mangsa berusia lingkungan 40an manakala anak-anaknya berusia lingkungan 2 hingga 11 tahun.
Menurutnya, mangsa dalam perjalanan dari Pusat Bandar Parit Buntar ke Bagan Serai untuk menziarahi abangnya semasa kejadian.
"Kereta jenis Kia Optima dinaiki mangsa bersama anak-anaknya dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki dua mekanik yang sendang membelok ke kanan untuk ke sebuah bengkel.
"Kedua-dua kereta terbabit terhumban ke dalam parit berdekatan selepas pelanggaran. Mangsa dan anak-anaknya bernasib baik kerana kereta yang mereka naiki tidak terbalik dan mereka dapat dikeluarkan dari dalam kenderaan dengan bantuan anggota bomba serta orang ramai," katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, saksi kejadian, Amran Abu, 24 berkata, dia yang sedang minum di gerai berhampiran tempat kejadian terkejut mendengar bunyi geseran tayar diselangi dentuman kuat sebelum melihat kedua-dua kereta terbabas ke dalam parit.
Katanya, nasib baik kereta yang dinaiki ibu bersama empat anaknya tidak mengalami kerosakan teruk membolehkan mereka di bawa keluar dari kenderaan terbabit tanpa sebarang kecederaan.
"Dua mekanik terbabit juga berjaya merangkak keluar dari kenderaan dengan selamat. Saya mohon pihak berkuasa meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di tempat kejadian kerana kerap berlaku kemalangan di sini.
"Sudah lebih tiga kemalangan ngeri berlaku di kawasan tersebut dan bagi saya, perlu disediakan papan tanda amaran atau lampu isyarat untuk elak kemalangan berulang," katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/ibu-empat-anak-nyaris-maut-1.192586
No comments:
Post a Comment