loading...
Sunday, August 11, 2013
Anggota peronda maut
Inalillahi wainailaihi rojiun
12 Ogos 2013
KOTA BHARU - Hajat seorang anggota unit peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur untuk bertemu rakan di kampung sempena sambutan Aidilfitri, tidak kesampaian selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Gong Dermin, Pasir Tumboh di sini, semalam.
Kejadian pada jam 6.10 pagi itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Zulkifflie Mohd Sanusi, 22, dalam perjalanan dari rumahnya di Kedai Menanti, Pasir Puteh ke Binjai untuk singgah di rumah rakannya.
Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125 Z secara sendirian, dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang lampu di kiri pembahagi jalan sebelum maut di tempat kejadian.
Abang mangsa, Mohamad Zairie Mohd Sanusi, 29, berkata, adiknya keluar dari rumah kira-kira jam 6 pagi untuk pulang ke Kuala Lumpur dan berhajat untuk singgah sebentar di rumah rakannya sebelum pulang.
“Saya hanya dikejutkan dengan berita adik terlibat kemalangan selepas menerima panggilan dan terus bergegas ke tempat kejadian. Sayu melihat mayat adik yang terbujur kaku, namun saya redha dengan pemergiannya dan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat,” katanya.
Menurutnya, adiknya yang merupakan anak ketiga dari lima beradik, merupakan seorang yang peramah dan mudah mesra dengan keluarga dan rakan-rakannya.
“Dia tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang pelik sebelum meninggal, namun dia sempat beraya bersama keluarga dan pulang ke kampung pada hari raya pertama.
“Apa pun kami tetap terima ketentuan dan segala yang berlaku terhadapnya dengan hati yang tabah,” katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Supritendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarganya untuk urusan pengebumian.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/anggota-peronda-maut-1.191343
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment